Sulit
2 tahun
Tompok merah kemudian keputihan
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Sudah seminggu saya hadapi tompok merah/ coklat dalam satu titik macamtu saja. Maksudnya dalam seminggu tu ada dalam 3-4 hari datang macamtu. Lepas tompok merah/ coklat setitik tu akan datang keputihan macam biasa. Saya mmg alami keputihan setiap hari. Jadi saya musykil, adakah tompok merah/ coklat yg datang cuma setitik utk beberapa hari dalam seminggu tu membahayakan ataupun tidak. Mohon pencerahan daripada doktor. Terima kasih
Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
2 tahun
Selamat sejahtera dan terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami.
Kami memahami kebimbangan anda tentang masalah yang anda hadapi iaitu tompokkan darah coklat/merah selama seminggu. Untuk makluman anda, masalah ini merujuk kepada pendarahan spotting. Spotting merupakan pendarahan secara minima seperti titisan darah sahaja pada seluar dalam atau pantyliner ataupun semasa mengelap bahagian kelamin dengan tisu. Spotting berlaku dalam tempoh yang singkat sahaja di luar masa haid yang biasa. Spotting boleh disebabkan oleh banyak perkara, antaranya:
- Pendarahan implantasi kehamilan
- Pengambilan perancang kehamilan boleh menyebabkan spotting
- Sesetengah wanita mengalami spotting sewaktu ovulasi
- Perubahan hormon akibat perkara seperti gangguan emosi, tekanan, aktiviti harian yang sibuk dan kegiatan lasak
- Terdapat ketumbuhan polip atau fibroid di dalam rahim
Anda harus berjumpa dengan doktor sekiranya spotting didatangi dengan simptom lain seperti:
- haid yang lebih panjang dan banyak
- faraj gatal dan merah
- haid tidak teratur atau lewat
- mual
- sakit semasa kencing atau melakukan hubungan seks
- sakit bahagian ari-ari atau pelvis
- lendiran yang abnormal atau berbau keluar dari faraj
- berat badan bertambah
Anda amat disarankan untuk menghubungi doktor kami secara atas talian bagi mendapatkan penerangan lebih lanjut mengenai masalah yang anda alami
Semoga jawapan ini dapat membantu anda.
Terima kasih