Vaksin Tetanus Pencegah Kancing Gigi, Bukan Untuk Kanak - Kanak Sahaja

Vaksin Tetanus: Penting Untuk Anak-Anak & Dewasa - DoctorOnCall

Pengenalan

Pernahkah anda terdengar tentang penyakit kancing gigi? Kancing gigi ataupun tetanus merupakan penyakit yang boleh membawa maut dan merupakan penyakit yang tiada penyembuh. Antara langkah yang boleh dilakukan untuk melindungi diri daripada kancing gigi adalah dengan mendapatkan suntikan vaksin. Suntikan vaksin tetanus berfungsi untuk mencegah kancing gigi. Sebelum kita kenali vaksin tetanus dengan lebih mendalam, mari kita kenali penyakit tetanus atau kancing gigi ini.

Tetanus ataupun dikenali sebagai kancing gigi oleh warga Malaysia adalah penyakit yang melibatkan sistem saraf seseorang dan menyebabkan kekejangan otot. Penyakit ini adalah punca daripada jangkitan Clostridium tetani yang boleh dijumpai di dalam tanah, habuk dan baja. Antara gejala jangkitan kancing gigi adalah:

  • Gejala biasanya bermula dengan kekejangan pada otot rahang (lockjaw)
  • Kekejangan juga berlaku pada otot-otot lain seperti otot pernafasan, leher, peha, belakang dan lain-lain 
  • Kesakitan pada otot seluruh badan akibat kekejangan
  • Kesukaran untuk menelan
  • Perubahan pada tekanan darah

Penyakit ini disebarkan melalui titisan daripada batuk atau bersin seperti coronavirus. Seseorang boleh dijangkiti jika terdapat luka yang terdedah kepada tanah atau objek lain yang dicemari kuman ini. Ramai mengaitkan kancing gigi dengan besi berkarat. Sememangnya kecederaan yang disebabkan besi berkarat boleh menyebabkan kancing gigi, namun, karat bukanlah penyebabnya. Objek besi seperti paku, gunting dan sebagainya mudah berkarat apabila tidak disimpan dengan baik dan ini menyebabkan bakteria seperti Clostridium tetani mudah membiak di permukaannya. Kita boleh terkena kancing gigi tanpa terkena besi berkarat seperti cedera ketika membersihkan kandang haiwan. Kanak-kanak juga boleh dijangkiti sekiranya mendapat kecederaan ketika bermain di luar rumah. Jadi, adakah kita tidak boleh membela haiwan ternakan atau perlu melarang kanak-kanak bermain tanah untuk mengelakkan kancing gigi? Tidak sama sekali, mari kenali vaksin tetanus yang boleh mencegah anda daripada penyakit ini.

Apakah Itu Vaksin Tetanus?

Mungkin anda tertanya-tanya mengapa kita memerlukan vaksin tetanus? Bukankah menjaga kebersihan diri sudah mencukupi? Jadi,  vaksin tetanus untuk apa?

Walaupun penyakit tetanus jarang berlaku, untuk seseorang mendapat penyakit ini bukanlah mustahil. 10-20% pesakit yang mendapat kancing gigi akan mendapat komplikasi yang membawa maut. Seperti yang telah dinyatakan, penyakit tetanus akan menyebabkan kekejangan otot termasuklah kekejangan otot pernafasan yang akan menyebabkan kesukaran bernafas. Oleh kerana itu, vaksin ini sangat penting untuk melindungi anda. 

Vaksin tetanus adalah antara suntikan vaksin yang diperkenalkan di dalam Jadual Imunisasi Kebangsaan. Untuk pengetahuan anda, Clostridium tetani akan mengeluarkan toksin yang akan melibatkan sistem saraf dalam tubuh badan. Dengan kebijaksanaan para saintis, mereka telah menciptakan vaksin tetanus yang mengandungi komponen spora Clostridium tetani tetapi dengan membuang toksinnya dan dikenali sebagai tetanus toxoid. Vaksin akan diberikan melalui suntikan pada bahagian bahu.Suntikan vaksin ini dapat membina imuniti bagi melawan costridium tetani sekiranya dijangkiti, sekaligus mengurangkan risiko komplikasi yang serius. Bolehkah anda membezakan antara fakta dan mitos vaksin?

Jenis-jenis Vaksin Tetanus

Terdapat 4 jenis vaksin yang boleh berfungsi untuk melindungi anda daripada penyakit tetanus atau kancing gigi.

Jenis Vaksin
Penyakit Yang Disasarkan
Golongan Yang Menerima Suntikan
DTaP
Difteria, Tetanus, Pertussis (Batuk Kokol)
Bayi seawal 6 minggu sehingga kanak-kanak berusia 6 tahun


DT
Difteria, Tetanus, Pertussis (Batuk Kokol)
Bayi seawal 6 minggu sehingga kanak-kanak berusia 6 tahun yang tidak boleh menerima vaksin pertussis
Tdap
​Difteria, Tetanus dan Pertussis
- Golongan remaja (11-12 tahun)

- Golongan dewasa


-Ibu mengandung

Td
Difteria dan Tetanus
Golongan kanak-kanak berusia 7 tahun ke atas dan orang dewasa



Siapakah Yang Memerlukan Suntikan Vaksin Tetanus?

Setiap manusia perlu mendapatkan pelindungan melalui vaksin kerana penyakit tetanus boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira usia.

1. Bayi dan kanak-kanak bawah 6 tahun

Mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bayi yang berumur 2, 3 dan 5 bulan perlu mendapatkan suntikan DTaP sebagai langkah perlindungan daripada jangkitan ini. Pada umur 18 bulan mereka memerlukan satu dos booster kerana vaksin ini tidak akan melindungi seumur hidup akibat tahap imuniti yang semakin berkurangan. Jadi, dos booster berperanan untuk meningkatkan kembali tahap imuniti bagi mengekalkan pencegahan terhadap penyakit ini.

Vaksin yang terakhir dalam golongan kanak-kanak bawah umur 6 tahun boleh diambil pada lingkungan umur 4-6 tahun. Hal ini kerana, DTaP adalah vaksin yang sesuai digunakan untuk kanak-kanak bawah umur 7 tahun sahaja.

2. Kanak-kanak dan remaja

Pada umur 7 hingga 18 tahun, seorang remaja perlu mendapatkan dos booster Tdap atau Td sekali sahaja pada umur 11 atau 12 tahun sebagai rutin jadual imunisasi. Vaksin ini dijangka mampu membina imuniti yang boleh bertahan selama 10 tahun. Pemberian dos tambahan perlu diambil selepas 10 tahun dan setiap 10 tahun berikutnya.

Kebiasaannya, premberian imunisasi akan dilakukan di sekolah supaya tiada kanak-kanak yang tercicir daripada mendapat suntikan vaksin. Jika anak anda terlepas daripada mendapat suntikan, mereka perlu mendapatkan di mana-mana klinik berdekatan.

3. Dewasa

Seorang dewasa perlu mendapatkan vaksin tetanus dewasa iaitu vaksin Tdap atau Td setiap 10 tahun. Anda juga memerlukan suntikan vaksin tetanus jika anda tidak pernah disuntik sewaktu kanak-kanak ataupun sudah melebihi 10 tahun selepas kali terakhir anda mendapat suntikan dos booster. Keterangan ini dapat menjawab persoalan vaksin tetanus tahan berapa lama? Pengambilan suntikan ini haruslah diperbaharui pada selepas setiap 10 tahun bagi memastikan anda terlindung daripada jangkitan clostridium tetani yang boleh membawa maut.

4. Ibu Mengandung

Ibu mengandung perlu mendapatkan suntikan dos booster pada trimester ketiga. Vaksin tetanus untuk ibu hamil akan memberikan perlindungan kepada ibu mengandung dan bayi dalam kandungan daripada tetanus. Selain daripada melindungi ibu mengandung, vaksin TDaP diberikan untuk melindungi bayi dalam kandungan daripada dijangkiti penyakit Pertussis atau batuk kokol. Bayi yang baru lahir boleh dijangkiti penyakit tetanus jika tali pusat dipotong menggunakan peralatan yang tidak disteril atau akibat penjagaan tali pusat yang tidak bersih.

Golongan Yang Tidak Boleh Mendapat Suntikan Vaksin Tetanus

Terdapat beberapa kondisi di mana suntikan tetanus tidak boleh diberikan kerana boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

  • Orang yang mempunyai alahan terhadap bahan kandungan dalam vaksin
  • Pernah mendapat tindak balas yang buruk terhadap vaksin DTaP sewaktu kecil.

Anda perlu memberitahu doktor anda jika anda mempunyai sejarah sawan ataupun kesakitan dan pembengkakkan yang teruk selepas mendapat suntikan. Jika anda sakit, anda perlu menunggu sehingga sihat untuk mendapatkan suntikan.

Kesan Sampingan Yang Mungkin Dialami

Kebiasaannya kesan suntikan tetanus adalah ringan dan akan sembuh selepas beberapa hari. Antara kesan sampingan yang akan dialami adalah:

  • Sakit, merah dan bengkak di bahagian suntikan
  • Demam
  • Keletihan
  • Sakit perut, cirit birit dan muntah
  • Hilang selera makan

Tanggapan bahawa suntikan vaksin ini menyebabkan penyakit tetanus itu sendiri adalah tidak benar, oleh itu anda tidak perlu takut untuk mengambil suntikan vaksin tetanus.


Kesimpulan

Selepas membaca artikel ini, diharap anda memahami sedikit sebanyak mengapa suntikan vaksin tetanus penting untuk menjaga dan melindungi kesihatan anda. Selain daripada suntikan vaksin, penjagaan luka dengan rawatan yang betul juga memainkan peranan dalam pencegahan daripada penyakit ini. Sila rujuk anak atau ahli keluarga anda kepada doktor untuk rawatan sekiranya mengalami luka atau kecederaan yang serius serta pastikan keluarga anda mendapat suntikan vaksin tetanus seperti yang disarankan.


Ragu-ragu tentang vaksin? Konsult Doktor Kami Secara PERCUMA!


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall