Strok

Penyebab Penyakit Stroke

Baca Soalan

Faktor-faktor risiko

Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan serangan strok. Sebahagian faktor boleh diubah untuk mengurangkan risiko serangan masalah ini. Berikut merupakan faktor risiko serangan strok:

Tidak boleh diubah

  • Umur: Peningkatan umur merupakan salah satu faktor risiko strok yang kuat. Risiko mendapat serangan ini berganda bagi mereka yang berusia 55-85 tahun. Namun begitu, golongan muda dan kanak-kanak juga boleh menghidapnya walaupun jarang berlaku.

  • Keturunan: Mereka yang berketurunan Asia atau Afrika, lebih berisiko menghidap masalah jantung sekaligus mempunyai risiko serangan strok yang lebih tinggi

  • Jantina: Seorang lelaki lebih berisiko terhadap serangan strok. Pada usia muda, lelaki mempunyai risiko yang lebih tinggi terhadap masalah ini berbanding wanita yang belum mencapai menopaus. Namun begitu, selepas usia menopaus, risiko serangan strok bagi kedua-dua lelaki dan wanita adalah sama.

  • Faktor genetik: Sekiranya seseorang itu mempunyai ahli keluarga terdekat (first degree relative) yang menghidap serangan strok, terutamanya ahli keluarga lelaki yang diserang sebelum usia 55 tahun atau wanita yang diserang sebelum usia 65 tahun, maka individu ini berisiko.

  • Faktor hormon: Penggunaan ubat mengandungi hormon seperti pil perancang kehamilan, atau kadar hormon yang tinggi ketika kehamilan.

Boleh diubah

    Faktor cara hidup seperti:

    Merokok atau perokok pasif (terdedah kepada asap rokok)

    Masalah berat badan berlebihan

    Mengamalkan pemakanan yang tidak seimbang. Makanan yang tinggi kandungan lemak, gula dan garam adalah antara jenis makanan penyebab stroke.

    Tidak bersenam dan kehidupan yang tidak aktif

    Mengambil alkohol atau dadah seperti kokain atau amphetamin

    Tekanan emosi

    Faktor masalah kesihatan lain:

    Hipertensi

    Kolesterol tinggi

    Mempunyai masalah jantung

    Kencing manis

    Pembuluh darah karotid tersumbat

    Masalah darah pekat

    Penyebab strok iskemia (Ischemic Stroke)

    Kebanyakan kes serangan strok adalah disebabkan oleh iskemia. Strok iskemia atau (ischemic stroke) merangkumi kira-kira 80% kes yang berlaku. Punca strok jenis ini adalah disebabkan oleh pembuluh darah yang membekalkan oksigen dan nutrient ke otak tersumbat atau mengecil. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu:

    Strok Iskemia Bertumpu (Focal Ischemic Stroke)

    Saluran darah yang tersumbat membekalkan oksigen dan nutrient kepada satu kawasan serebrum otak sahaja. Apabila keadaan ini terjadi, sel-sel di kawasan tersebut akan mengalami kekurangan oksigen dengan cepat dan mati atau dikenali sebagai (Cerebral infarction). Keadaan ini boleh disebabkan oleh sama ada thrombus atau embolus yang menyumbat salur darah tersebut. Apabila ini berlaku, ia mungkin menjadi penyebab stroke sebelah kiri sahaja atau sebaliknya.

    • Trombotik (Thrombotic) – Thrombus terjadi akibat sel endothelial terluka atau terganggu, perjalanan darah tidak lancar serta darah yang cepat beku (hypercoagulabilty). Pada mulanya, plak lemak akan berkumpul pada lapisan epithelium salur darah yang luka, kemudian menyebabkan perjalanan darah tidak lancar dan lama kelamaan berkumpul menjadi thrombus dan menyumbat salur darah tersebut.

    • Embolik (Embolic) – Embolus adalah ketulan darah beku atau ketulan lain yang datang dari salur darah di kawasan lain dalam badan, biasanya dari jantung. Ia menyebabkan pembuluh darah yang sempit di kawasan otak tersumbat, sekaligus menyebabkan iskemia.

    Strok Iskemia Global (Global Ischemic Stroke)

    • Iskemia global adalah jenis strok yang lebih teruk. Ia berlaku apabila bekalan oksigen ke otak berkurangan atau terhenti. Ia menyebabkan seluruh otak kekurangan oksigen. Contoh masalah yang boleh menyebabkan keadaan ini adalah serangan jantung (heart attack) atau keracunan karbon monoksida.

    Penyebab strok berdarah (Hemorrhagic Stroke)

    Strok berdarah atau (Hemorrhagic stroke) berlaku apabila pembuluh darah di otak bocor atau pecah. Masalah ini boleh berlaku akibat beberapa perkara:

    • Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal (Uncontrolled high blood pressure)

    • Pengambilan ubat cair darah berlebihan

    • Terdapat dinding pembuluh darah yang lemah (Aneurysms)

    Pendarahan ini boleh berlaku pada dua bahagian:

    • Di dalam serebrum otak (Intracerebral haemorrhage)

    Apabila salur darah kecil yang membekalkan oksigen dan nutrient di dalam serebrum otak pecah, sel-sel darah mengalir keluar dan merosakkan sel otak di sekitarnya. Sel otak di kawasan sekelilingnya turut mati disebabkan tiada bekalan oksigen. Masalah ini seringkali disebabkan oleh tekanan darah yang terlalu tinggi atau penggunaan ubat cair darah yang tidak dipantau.

    • Di bahagian subarachnoid (Subarachnoid haemorrhage)

    Pendarahan berlaku pada salur darah di lapisan arachnoid yang terletak di permukaan otak. Ia selalunya disebabkan oleh pecahnya aneurysm berbentuk bebola atau (berry aneurysm). Darah akan mengalir di kawasan permukaan otak. Keadaan ini akan menyebabkan salur darah lain di otak mengecut untuk mengurangkan pendarahan. Namun ia menyebabkan kematian sel otak akibat kekurangan oksigen.

    Punca-punca lain

    Terdapat punca lain yang boleh menyebabkan serangan stok. Kebanyakan masalah ini menjadi punca kepada serangan strok dalam pesakit yang berusia muda terutamanya yang berusia kurang dari 50 tahun. Ia boleh menjadi penyebab stroke ringan di usia muda atau boleh menyebabkan strok yang teruk.

    Penyakit pada salur darah atau abnormality pada kandungan darah

    • Masalah melibatkan salur darah besar

      • Fibromuscular dysplasia – abnormaliti yang berlaku pada dinding arteri menyebabkan ia semakin menebal, menyebabkan salur darah semakin sempit.

      • Dissection – dinding salur darah terkoyak contohnya pada arteri karotid

    • Masalah melibatkan salur darah kecil

      • Vasculitis – salur darah bengkak

      • Drug induced – dadah seperti kokaine dan amphetamine menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi akibat pengecutan saluran darah (Vasospasm)

      • Sickle cell anemia – sickle cell anemia boleh menyebabkan strok ketika krisis sickle sel berlaku. Ketika keadaan ini berlaku sel darah merah menjadi bentuk bulat sabit dan menyumbat salur darah yang sempit

      • Anti-phospholipid syndrome – merupakan penyakit autoimun. Autoantibodi terhadap phospholipid menyebabkan darah menjadi pekat dan mudah menyumbat salur darah yang kecil.

    Penyakit jantung atau komplikasi penyakit jantung

    • Valve prolapses – thrombus mudah terjadi pada injap jantung yang rosak

    • Patent foramen ovale – lubang yang sepatutnya tertutup selepas lahir ini tidak tertutup dalam sesetengah pesakit dan membolehkan darah beku dari vena pergi ke arteri dan sampai ke otak

    • Ventricular septal defect (paradoxical embolism) – terdapat lubang yang abnormal antara ventricle. Sama seperti diatas. Ia menyebabkan darah beku dari vena berpindah ke arteri dan sampai ke otak.

    Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran

    Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

    18 Aug 2018
    Perlu Bantuan?