Strok

Rawatan Penyakit Strok

Baca Soalan

Rawatan akut strok

Apabila seorang pesakit disyaki menghidap serangan strok, dia akan dirawat mengikut langkah -langkah yang tersusun di dalam Panduan Pengendalian Strok. Langkah ini bermula dengan rawatan akut atau rawatan awal stroke yang terdiri daripada perkara – perkara berikut:

Pertolongan cemas:

A – Airway (Saluran pernafasan): Memastikan tiada gangguan di rongga pernafasan pesakit

B – Breathing (Pernafasan): Memastikan pesakit boleh bernafas

C – Circulation (Peredaran darah): Memastikan fungsi peredaran darah pesakit dengan memeriksa nadi

D – Disability (Ketidakupayaan): Memastikan apakah ketidakupayaan yang dialami pesakit

E – Exposure (Pendedahan): Memastikan sebarang kecederaan yang dialami pada mana-mana bahagian badan pesakit.

Selepas itu, paras gula dalam darah dan tekanan darah pesakit akan diperiksa. Kedua-duanya perlu perlu berada pada paras yang selamat.

Langkah seterusnya adalah (Swallow Screening) iaitu pemeriksaan kebolehan menelan. Pesakit yang disyaki menghidap strok akan diarahkan berpuasa sehingga (Swollow screening) ini dijalankan. Masalah ini akan menyebabkan pesakit mudah tersedak makanan dan mengakibatkan jangkitan kuman di dalam paru – paru.

Pesakit yang disyaki menghidap serangan penyakit ini akan menjalani ujian pengimejan kecemasan (Emergency Imaging) dengan CT Scan tanpa kontras atau MRI. Ini adalah untuk memastikan sama ada pesakit menghidap strok iskemik atau strok berdarah.

Rawatan stroke iskemik

Selepas Ujian Imejan dilakukan, sekiranya pesakit didapati tidak mengalami sebarang pendarahan di otak, atau mempunyai risiko pendarahan, pesakit akan diberikan rawatan strok pertama yang dipanggil agen anti – platelet iaitu aspirin.

Pesakit strok iskemik tidak akan diberikan rawatan untuk menurunkan tekanan darah kerana ianya adalah tindak balas normal.

Rawatan untuk memecahkan (Thrombus) yang menyumbat saluran darah atau dipanggil (Thrombolysis) akan diberikan kepada pesakit yang boleh tiba di bilik rawatan thrombolysis dalam masa 90 minit atau sekurang-kurangnya sebelum 4.5 jam dari saat diserang strok. Namun begitu ia tidak boleh diberikan kepada pesakit yang mempunyai salah satu daripada kriteria berikut:

  • Mengalami pendarahan di otak atau mana-mana organ atau bahagian tubuh

  • Tekanan darah melebihi 185/110

  • Baru sahaja menjalani pembedahan, kecederaan serius atau mengalami serangan strok sebelum ini

  • Mengalami masalah darah terlalu cair

  • Mengalami sawan ketika diserang simptom strok

  • Skor bagi NHISS (Skala Strok) melebihi 21

  • Paras gula dalam darah kurang dari 2.7mmol/L

Terdapat juga kaedah lain untuk mengeluarkan darah beku yang menyumbat saluran darah di otak menggunakan kaedah yang dipanggil (Thrombectomy). Prosedur ini hanya dilakukan kepada pesakit tertentu iaitu yang boleh sampai ke tempat rawatan dalam tempoh 6 jam selepas saat diserang strok.

Rawatan strok berdarah

Rawatan strok berdarah terdiri dari beberapa perkara iaitu pencegahan sawan, penurunan tekanan darah tinggi dan mengurangkan tekanan di dalam otak. Oleh itu, kebanyakan pesakit yang menghidap serangan strok berdarah akan diberikan jenis-jenis ubat berikut:

  • (Anticonvulsant) Ubat anti sawan: Mencegah sawan dari berlaku

  • (Antihypertensive agents) Ubat menurunkan tekanan darah – Tekanan darah perlu diturunkan dalam pesakit yang diserang strok berdarah untuk mengelakkan berlakunya lebih banyak pendarahan di dalam otak

  • (Osmotic diuretics) – Ubat ini mengurangkan tekanan di dalam otak dengan mengurangkan cecair yang berkumpul di dalam otak (cerebral odema) yang berlaku akibat serangan strok berdarah.

Rawatan bagi pendarahan akibat darah terlalu cair kesan penggunaan ubat mencairkan darah adalah dengan menggunakan agen seperti vitamin K, plasma yang telah dibekukan, (Prothrombin complex concentrate) dan Faktor 7a.

Bagi pesakit yang mengalami serangan ini akibat aneurysm yang pecah, rawatan yang dinamakan (Edovascular coil embolization) atau (Clipping of aneurysm) untuk menghalang masalah ini daripada berlaku sekali lagi.

Unit Strok

Pesakit yang telah menerima rawatan akan dimasukkan ke Unit Strok. Tujuan kemasukan ke unit ini adalah bagi memastikan pesakit-pesakit strok mendapat penjagaan yang terbaik dari pelbagai bidang kepakaran seperti terapi percakapan, fisioterapi, dan jururawat khas untuk pesakit strok. Unit ini dapat membantu pemulihan pesakit.

Pemulihan dan penjagaan selepas strok

Aspek yang paling penting dalam menyembuhkan penyakit stroke selepas serangan adalah penjagaan dan aktiviti pemulihan selepas strok. Selain memastikan pesakit kembali memperoleh fungsi-fungsi badan yang terjejas dengan fisioterapi, pesakit juga haruslah dielakkan dari mengalami masalah lain seperti jangkitan paru-paru, sembelit dan juga (Pressure sore) iaitu luka pada permukaan kulit akibat terlalu lama berbaring. Hal ini juga sekaligus dapat mengurangkan tekanan kepada penjaga pesakit yang diserang strok.

Kebanyakan langkah – langkah yang perlu dilakukan untuk memulihkan pesakit strok adalah cara terapi stroke di rumah. Namun sebahagiannya perlu dilakukan dibawah pengawasan pegawai terlatih. Antara langkah tersebut adalah:

  • Mengembalikan fungsi menelan dengan betul. Langkah ini selalunya dilakukan dengan pertolongan jurulatih percakapan atau (Speech therapist). Pesakit akan menjalani ujian menelan atau (Swallow assessment) dan perlu berpuasa sekiranya dikhuatiri berpotensi untuk tersedak makanan ke dalam peparu. Kemudian pesakit akan diberi makanan atau minuman yang dipekatkan secara perlahan – lahan sehingga pesakit boleh makan dan minum seperti biasa.

  • Langkah kedua adalah memastikan pesakit selamat dari sebarang kecederaan. Pesakit strok berisiko untuk jatuh, maka hal ini perlu diberi perhatian terutamanya bagi penjaga. Penjaga juga perlu berhati-hati apabila mengangkat pesakit kerana mereka mungkin boleh mendapat kecederaan ketika itu.

  • Pastikan pesakit membuang air kecil dan besar dengan normal dan seboleh bolehnya elakkan penggunaan tiub kencing kepada pesakit.

  • Elakkan lepuh atau (Pressure sore) dengan kerap membalikkan badan pesakit. Galakkan mereka duduk di kerusi atau di tepi katil dan kurangkan berbaring.

  • Perhatikan emosi pesakit. Ubat untuk mengurangkan kemurungan mungkin diperlukan bagi sesetengah pesakit.

  • Bantu pesakit untuk lebih bersemangat melakukan aktiviti pemulihan dengan fisioterapi atau terapi lain. Ini boleh dilakukan dengan membuat sesi terapi dengan pesakit lebih menyeronokkan.

  • Penglibatan ahli keluarga seperti anak-anak dan pasangan pesakit dalam aktiviti pemulihan ini dapat memberi impak lebih postif terhadap perkembangan pesakit.

  • Peralatan untuk pesakit stroke seperti kerusi roda, tongkat juga perlu disediakan bagi memudahkan pesakit dan penjaga.

Written by: Dr Sri Viknarajan

Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

18 Aug 2018
Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy