
Anonymous
6 tahun
Kemaluan saya keluar nanah, adakah akan berjangkit pada kekasih saya?
Pada 4 hari lepas saya ada melakukan hubungan sex dengan kekasih saya. Selama saya menyedari ade keluar cecair nanah dari kemaluan saya. Apa yg saya perlu saya lakukan. Saya risau saya mudah utk mendapat penyakit hiv. Saya risau kekasih saya dapat berjangkit kepadanya. Apakah ubat yang perlu saya beli untuk saya dan kekasih saya? Selain itu apakah kesan jangka panjang untuk wanita itu?

6 tahun
Salam sejahtera.
Punca utama nanah keluar dari bahagian kelamin adalah jangkitan kelamin. Jangkitan kelamin boleh disebabkan oleh pelbagai jenis organisma termasuk bakteria seperti gonorrhoea dan chlamydia, virus seperti herpes simplex dan HIV dan organisma lain seperti sifilis. Kebanyakan jangkitan kelamin boleh menyebabkan ruam dan nanah di bahagian kemaluan.
Jangkitan HIV sering menyebabkan tanda-tanda yang tidak spesifik seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak, ruam, sakit sendi, bengkak kelenjar limfa, sakit sendi dan mudah letih. Secara amnya, jangkitan HIV tidak menyebabkan ruam bernanah di bahagian kemaluan. Oleh itu, nanah dari kemaluan anda berkemungkinan besar adalah disebabkan oleh jangkitan lain. Namun demikian, jika anda pernah mengadakan hubungan seks tanpa perlindungan, anda tetap mempunyai risiko tinggi untuk menghidap jangkitan HIV.
Anda harus berjumpa dengan doktor secepat mungkin dan anda digalakkan untuk membawa kekasih anda bersama. Doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal dan mejalankan ujian HIV serta ujian jangkitan kelamin lain untuk anda. Rawatan yang diberi adalah bergantung kepada diagnosa anda. Anda tidak digalakkan untuk membeli ubat sendiri atau menggunakan rawatan alternatif kerana ia adalah tidak berkesan untuk merawat jangkitan kelamin terutamanya jangkitan HIV.

6 tahun
Hai. Salam sejahtera dan terima kasih kerana bertanyakan soalan ini.
Mengikut apa yang telah anda jelaskan, cecair nanah yang keluar dari kemaluan anda itu bukanlah berpunca daripada jangkitan HIV. Sebaliknya ia disebabkan oleh penyakit kelamin yang dinamakan sebagai gonorrhoea. Penyakit ini disebabkan oleh bakteria yang bernama Neisseria gonorrhoea dan ia tersebar kepada anda melalui hubungan seks dengan pasangan anda, yang terlebih dahulu sudah dijangkiti.
Lebih 80% dari individu yang terjejas oleh bakteria ini akan mengalami cecair putih yang keluar dari kemaluan dan hampir separuh akan mengalami kesakitan semasa membuang air kecil. Setelah terdedah, individu tersebut bakal mengahadapi simptom-simptomnya dalam masa 2 hingga ke 5 hari. Ini bertepatan dengan tempoh masa yang anda sebutkan, iaitu 4 hari. Simptom-simptom lain yang mungkin terjadi adalah cecair keluar dari dubur, sakit dubur, bengkak dan sakit testis, demam, ruam dan sakit sendi.
Walaubagaimanapun, adalah penting untuk anda segera berjumpa doktor bagi menjalani ujian dan mendapatkan rawatan yang secukupnya. Rawatan hanya akan boleh diberikan oleh doktor di klinik atau hospital.