Sulit
4 tahun
Sakit lenguh di bahagian dada dan belakang bahu
Doktor,saya wanita berumur 28,kebelakangan ni saya mengalami sakit lenguh di bahagian dada hingga ke belakang bahu,ia juga membuat saya semput,kadang kadang dada saya akan sakit tersangat dengan sekejap,kebelakangan ni badan saya terasa lenguh letih kepala sering pening dan kaki tangan terasa sejuk tiada selera makan,doktor,simptom simptom ini adakah saya mengalami penyakit jantung?
Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Selamat sejahtera dan terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami.
Kami memahami kebimbangan anda tentang masalah yang anda hadapi iaitu sakit dada. Untuk makluman anda, masalah sakit dada ini boleh disebabkan oleh pelbagai perkara. Antaranya:
- Pedih ulu hati disebabkan oleh gangguan asid dari perut
- Sakit bahagian abdomen yang merebak hingga ke dada
- Sakit luaran seperti otot, sendi dan tulang rusuk
- Penyakit berkaitan paru-paru seperti asma, jangkitan paru-paru
- Serangan jantung
- Gangguan emosi
Selain itu, gejala yang merujuk kepada masalah sakit jantung adalah:
- Sakit dada - Pesakit kerap mengalami sakit dada secara tiba-tiba dan kebanyakan daripada mereka mengalami ketegangan dada atau sensasi dada dihempap sesuatu yang amat berat.
- Peluh berlebihan - Pesakit akan mengalami peluh berlebihan dan sejuk secara tiba-tiba. Jika pesakit menghidap kencing manis, berpeluh tanpa sakit dada boleh berlaku.
- Sakit pada bahu kiri dan rahang bawah kiri - Pesakit kadangkala mengalami simtom sakit pada bahagian bahu kiri atau rahang bawah kiri sebelum sakit dada atau sakit dada yang merebak kebahagian tersebut.
- Mual/loya - Pesakit berasa loya atau mual sehingga menyebabkan muntah-muntah
- Sesak nafas secara tiba-tiba - Pesakit boleh mengalami kesukaran bernafas secara tiba-tiba walaupun keadaan asal pesakit adalah normal
- Palpitasi - Pesakit boleh mengalami jantung berdegup kencang atau perlahan berdasarkan lokasi dinding jantung yang terjejas akibat saluran darah tersumbat
- Sakit epigastrik - Pesakit juga boleh mengalami sakit perut lebih-lebih lagi pada bahagian atas perut dan di bawah dada.
Akan tetapi, jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Untuk mengetahui punca masalah yang anda hadapi dengan tepat, maklumat lanjut serta pemeriksaan adalah diperlukan sebelum kesimpulan boleh dibuat. Oleh itu, anda amat disarankan untuk merujuk masalah ini kepada doktor.
Jangan tunggu sehingga sakit menyerang. Jaga jantung anda bermula sekarang.
Anda juga boleh klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian bagi mendapatkan penerangan dan nasihat atau rawatan yang diperlukan. Terima kasih.
Sakit dada boleh disebabkan oleh masalah jantung. Dapatkan nasihat daripada pakar kardiologi


































