Gonorea

Penyebab, Gejala, Diagnosis, Rawatan, Ubat Penyakit Gonore (Gonorrhea)

Baca Soalan

Pengenalan Gonorea

Gonorrea merupakan suatu jangkitan yang disebabkan oleh sejenis bakteria yang dikenali sebagai Neisseria gonorrhea. Ia merupakan masalah global yang dialami oleh masyarakat. Di negara Amerika Syarikat, penyakit ini merupakan penyakit berjangkit yang kedua paling kerap dialami oleh warganegaranya dan penyakit jangkitan seksual kedua yang paling kerap berlaku.

Antara simptom-simptom yang kerap boleh ditemui pada pesakit-pesakit yang menunjukkan simptom-simptom jangkitan gonorrhea adalah:

  • urethritis untuk gonore pada lelaki iaitu radang pada saluran kencing
  • cervicitis untuk wanita iaitu radang pada kawasan serviks
  • Merujuk kepada gambar penyakit gonore yang tidak dapat dirawat, pesakit boleh mengalami epididymitis iaitu sebuah kondisi yang menyebabkan saluran yang mematangkan sperma mengalami radang.
  • Ciri gonore pada wanita pula akan mengalami sebuah kondisi yang dikenali sebagai ‘pelvic inflammatory disease’ iaitu sebuah keadaan di mana kawasan pelvis wanita dipenuhi dengan jangkitan yang teruk dan jika tidak dibendung boleh menyebabkan kemandulan, kehamilan berlaku di luar rahim dan kesakitan yang berpanjangan pada bahagian pinggang.
  • Kencing kotor ataupun kencing nanah yang dikeluarkan oleh pesakit-pesakit yang mengalami jangkitan gonorrea merupakan salah satu simptom yang membuatkan seseorang itu berjumpa dengan seorang doktor.

Epidemiologi Penyakit Gonorea

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menganggarkan pada tahun 2008 terdapat sebanyak 106 juta kes-kes gonorea yang berlaku. Kawasan yang mempunyai insiden yang paling tinggi adalah kawasan Afrika dan Pasifik Barat. Terdapat beberapa keadaan di mana kes-kes gonorrea boleh meningkat sebagai contoh pada wilayah sub-Saharan Africa, peningkatan kes berlaku bersama peningkatan kes HIV yang berlaku.

Apakah Bakteria Yang Menyebabkan Gonorrea

Bakteria yang menyebabkan berlakunya jangkitan gonorea adalah bakteria yang dikenali sebagai Neisseria gonorrhea. Ia adalah bakteria yang berbentuk dua bulatan yang bergabung bersama dan membentuk sebuah bentuk yang dikenali sebagai dipplococci apabila dilihat melalui mikroskop. Ia adalah sebuah bakteria di bawah kategori ‘gram-negative’.

Terdapat beberapa peringkat di dalam jangkitan penyakit gonorrea. Bermula dengan cantuman pada bahagian permukaan sel mukosa dan kemudian pencerobohan bakteria ke dalam tisu tubuh. Bakteria akan membiak pada lokasi tersebut dan tubuh akan bertindak dengan memulakan proses radang sebagai tindak balas.

N. gonorrhea merupakan bakteria yang hanya boleh disebarkan dan berjangkit kepada manusia. Tidak terdapat sebarang haiwan ataupun hidupan yang dikenalpasti terlibat di dalam penyebaran bakteria ini. Keberkesanan bakteria ini mencerobohi tubuh badan manusia telah dikenalpasti dengan kemampuan bakteria:

  1. Mengetahui dengan tepat cara-cara untuk berpaut pada alat kelamin kedua-dua jantina lelaki dan perempuan walaupun kedua-duanya mempunyai struktur anatomi yang jauh berbeza.

  2. Mampu menyamar dengan baik dengan menukar-nukar antigen yang berada pada permukaan bakteria dengan pantas sehingga sistem imun tubuh badan manusia tidak dapat mengesan bakteria ini dengan baik.

  3. Juga berkemampuan untuk mengelak daripada serangan sistem pertahanan tubuh badan

Apabila jangkitan ini dibiarkan sahaja tanpa rawatan, ia akan terus berlanjutan dan menyebabkan komplikasi yang kronik. Serangan-serangan seterusnya akan terus berlaku sehinggalah ianya dirawat dengan baik. Tambahan pula, bakteria ini juga turut mampu untuk mengatasi serangan daripada antibiotik lantas menyebabkan jangkitan ini tidak dapat dirawat!

Apabila bakteria dapat berpaut pada permukaan sel mukosa, gonococci (bakteria gonorrhea) akan ditelan oleh sel tubuh badan. Sebuah proses yang dikenali sebagai ‘parasite-directed endocytosis’. Gonococci akan terus dapat membiak di dalam sel-sel tubuh (intracellular replication) pada ‘phagocytic vacuole’ dan di dalam sel-sel columnar yang melepasi bahagian paling luar tisu kulit.

Bakteria ini telah mengatur strategi yang sangat mapan agar ia boleh mengelak daripada diserang oleh sistem pertahanan badan. Tisu primer yang diserang oleh bakteria ini adalah permukaan mukosal dan ‘subepithelial tissue’ yang terletak pada lapisan bawah kulit.

Jangkitan Pada Bayi

Buat pengetahuan, gonorrea juga boleh berjangkit kepada bayi yang baru lahir. Kebiasaannya bayi mendapat jangkitan ini semasa proses kelahiran dan 30-40% daripada kes yang berlaku adalah apabila ibu mempunyai jangkitan yang aktif. Jangkitan semasa di dalam kandungan juga boleh berlaku terutamanya selepas air ketuban pecah.

Ibu yang mempunyai jangkitan gonorrea boleh menyebabkan bayi lahir dengan pramatang. Bayi pramatang bermaksud bayi yang lahir lebih awal daripada 37 minggu di dalam kandungan.

Mata merupakan tisu yang paling kerap diserang pada bayi yang baru lahir dan ia dikenali sebagai ophthalmia neonatorum. Walaupun jangkitan pada bayi ini tidak kerap bahkan pada negara-negara membangun, namun amat merbahaya jika ianya berlaku kepada bayi dan boleh menyebabkan buta. Jangkitan biasanya akan menunjukkan gejala konjuntivitis beserta nanah (purulent conjuctivitis), mata berair dan bengkak pada kelopak mata.

Tanpa rawatan, keadaan jangkitan boleh merebak pada permukaan biji mata dan kornea. Keadaaan ini boleh menyebabkan ulser terbentuk pada mata, penyembuhan yang berlaku akan menyebabkan parut dan gangguan penglihatan.

Jangkitan pada kebiasaanya disedari selepas 2 hingga 5 hari selepas lahir. Jika langkah-langkah pencegahan yang sepatutnya diambil dan dilaksanakan dengan betul, ia boleh mengelakkan jangkitan yang lebih teruk daripada berlaku.

Selain daripada mata, jangkitan yang memasuki tubuh bayi boleh juga turut tersebar di dalam tubuh badan. Jangkitan yang tersebar ini boleh menyebabkan sepsis (kuman di dalam darah), arthritis (radang sendi) dan meningitis (radang pada lapisan yang membaluti otak dan saraf tunjang). Septic athritis adalah gejala yang kerap ditemui berbanding sepsis dan meningitis namun ia boleh berlaku sebagai komplikasi daripada insiden ophthalmia neonatorum.

Ujian darah dan cerebrospinal fluid (air tulang belakang) haruslah dilakukan untuk mendiagnosis penyakit ini. Jika terdapat jangkitan pada bahagian sendi, ujian cecair daripada sendi dapat dilakukan untuk analisis jangkitan. Ujian-ujian ini dilakukan supaya diagnosis yang tepat dapat dicapai dan agar rawatan antibiotik yang diberikan adalah tepat kepada jenis jangkitan yang sedang dialami oleh pesakit.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?