Chlamydia

Apakah tanda penyakit Klamidia dan bagaimana rawatan dan langkah pencegahan

Baca Soalan

Apa itu Klamidia

Penyakit Klamidia (Chlamydia) adalah sejenis penyakit yang tergolong dalam sakit jangkitan seksual atau Sexual Transmitted Disease (STD) yang disebabkan oleh bakteria Chlamydia trachomatis. Ia boleh menjangkiti alat reproduksi sama ada lelaki atau wanita, seperti rahim, pelvik, urethra, zakar dan faraj. Klamidia adalah antara salah satu penyakit STD yang paling biasa di seluruh dunia. Hampir 3 juta kes dilaporkan pada setiap tahun, di mana 2 daripada 3 kes baru berlaku di antara pesakit berumur 15-24 tahun. Oleh itu, sangat penting agar umum mengetahui dengan lebih lanjut tentang penyakit klamidia. Di Malaysia pula, kes baru klamidia semakin meningkat saban hari dan ini amat membimbangkan.

Selain daripada klamidia, antara contoh lain penyakit STD ialah sifilis, gonorea, herpes dan bermacam lagi. Penyakit-penyakit ini tergolong dalam kumpulan sama kerana cara penularan yang hampir sama iaitu melalui hubungan seksual dan petanda-petanda dijangkiti yang hampir serupa. Doktor perlu membuat diagnosis dengan tepat kerana setiap penyakit mempunyai penyebab dan rawatan berbeza.

Risiko mendapat Klamidia

Cara penularan penyakit klamidia adalah dengan hubungan seksual, sama ada melalui faraj, dubur atau pun oral (mulut). Ejakulasi tidak perlu berlaku untuk membuatkan seseorang dijangkiti. Selain itu juga, ia juga boleh berjangkit dari seorang ibu kepada bayinya melalui proses kelahiran. Bayi yang dijangkiti boleh mendapat penyakit mata dan paru-paru.

Oleh itu, mereka yang berisiko mendapat klamidia adalah:

  • Aktif dalam hubungan seksual

  • Mempunyai lebih daripada seorang pasangan seksual

  • Mempunyai pasangan seksual yang telah dijangkiti

  • Tidak menggunakan perlindungan seperti kondom

  • Lelaki yang melakukan hubungan seksual dengan lelaki

  • Mengamalkan seks bebas dengan menukar-nukar pasangan

Tanda dan Gejala Klamidia

Walaupun ia merupakan salah satu penyakit STD, namun bukan semua individu akan mengalami tanda dan simptom. Malah, jika pemeriksaan dilakukan, terdapat kemungkinan untuk tidak mempunyai sebarang tanda. Hanya sebanyak 10% lelaki dan 30% wanita mempunyai simptom. Oleh itu, pemeriksaan dan ujian perlu dilakukan untuk mengenal pasti jangkitan ini.

Selepas terdedah kepada jangkitan klamidia, pesakit boleh mendapat simptom dan tanda selepas satu hingga tiga minggu. Simptom berbeza mengikut individu dan jantina.

Untuk wanita, ia boleh menyebabkan jangkitan serviks menyebabkan mereka mengalami terkeluarnya cecair putih pekat seperti nanah dan pendarahan dari faraj. Mereka juga boleh mengalami sakit ketika kencing dan hubungan seksual. Jika jangkitan naik lebih ke atas di dalam organ peranakan mereka boleh mendapat penyakit radang pelvik, yang boleh menyebabkan kemandulan dan sakit di bahagian abdomen.

Untuk lelaki, simptom termasuklah cecair putih pekat seperti nanah yang keluar daripada zakar, sakit ketika hubungan seksual dan kencing, kencing berdarah dan juga bengkak buah zakar.

Ia juga boleh menjangkiti saluran dubur jika mereka terlibat dalam aktiviti seks yang berkaitan. Simptomnya termasuklah sakit, berdarah dan keluar lendir dari saluran dubur.

Jika mereka terlibat dalam aktiviti seks oral, mereka juga boleh mendapat jangkitan klamdia di dalam mulut, tetapi majoritinya adalah tidak memmpunyai simptom.

Sekiranya terlibat dalam aktiviti berisiko, seeloknya pergi ke klinik untuk mendapatkan ujian bagi mengenal pasti jangkitan klamidia.

Cara mengesan Klamidia

Doktor membuat diagnosis klamidia melalui maklumat temu bual, pemeriksaan dan test klamidia di makmal. Maklumat seperti kehidupan seksual diri dan pasangan sangat penting. Seterusnya pemeriksaan fizikal juga boleh memberi jawapan kepada diagnosis bagi membezakan jenis-jenis penyakit STD. Namun, test klamidia yang paling tepat ialah;

  • Ujian air kencing

  • Ujian swabdari cecair yang keluar dari faraj

Seeloknya kedua-dua pasangan haruslah melakukan ujian saringan walaupun tidak mempunyai simptom supaya rawatan lebih awal boleh diberikan.

Selain itu golongan yang berisiko seperti di bawah ini dinasihatkan juga untuk mengambil ujian saringan:

  • Wanita mengandung

  • Wanita berumur 25 tahun dan ke bawah tetapi aktif dalam aktiviti seksual

  • Golongan yang berisiko tinggi

Cara merawat dan ubat Klamidia

Ubat yang digunakan ialah antibiotik sama ada satu dos sahaja atau beberapa dos dalam 5 hingga 10 hari, bergantung kepada doktor dan individu.

Pesakit juga dinasihatkan untuk tidak terlibat dalam aktiviti seksual selama seminggu atau dua minggu. Namun, walaupun ia boleh pulih sepenuhnya dengan antibiotik, ia tidak memberi pesakit sebarang imunisasi untuk jangkitan seterusnya. Oleh itu cara terbaik bagi merawat klamidia ialah dengan mencegah dan menghentikan penularan penyakit ini.

Cara mencegah Klamidia

Langkah pencegahan penyakit klamidia adalah sama seperti langkah pencegahan penyakit STD lain.

Antaranya ialah:

  • Tidak melibatkan diri langsung dari sebarang aktiviti seksual, sama ada bersama berlainan jantina atau sama jantina

  • Menggunakan kondom getah bagi lelaki

  • Mengelakkan seks bebas dan bertukar pasangan

  • Mengekalkan hanya satu pasangan seks dan keduanya tidak terlibat dalam aktiviti berisiko dan bebas dari sebarang jangkitan seksual.

  • Membuat ujian saringan secara berkala

Setakat ini,masih belum terdapat sebarang vaksin yang boleh digunakan untuk memberikan imunisasi kepada badan.

Sila bercakap dengan doktor anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Kesan Klamidia

Komplikasi penyakit ini banyak dan boleh dibahagikan kepada kesan jangka masa pendek dan panjang.

Komplikasi bagi lelaki:

  • Radang testis - jangkitan di bahagian ini boleh menyebabkan buah zakar membengkak dan sangat menyakitkan. Namun, ia boleh dirawat menggunakan antibiotik. Jika ia tidak dirawat dengan betul, ini boleh menyebabkan masalah kemandulan dalam jangka masa panjang.

  • Reactive arthritis - jangkitan ini menyebabkan radang di sendi, mata dan saluran kencing. Penyakit ini merupakan penyakit yang tidak boleh disembuhkan, hanya penggunaan ubat tahan sakit seperti NSAIDs (Ibuprofen) untuk melegakan simptom sakit sendi, sakit ketika kencing dan sakit mata.

Komplikasi bagi wanita:

  • Penyakit Radang Pelvik - juga dikenali sebagai Pelvic Inflammatory Disease (PID). Jangkitan bakteria ini boleh merebak ke ovari, saluran ovari dan rahim, dan menyebabkan keradangan di situ dan kondisi ini dikenali sebagai PID. Simptomnya termasuklah pendarahan dari faraj dan sakit di bahagian abdomen. Terdapat masalah yang serius jika mendapat PID seperti masalah kemandulan, masalah hamil luar rahim dan juga boleh menyebabkan komplikasi ketika hamil dan bersalin. Bayi yang dilahirkan daripada ibu yang positif klamidia dan tidak dirawat juga boleh mendapat jangkitan bakteria ini dan petandanya ialah kesukaran bernafas dan jangkitan mata. PID biasanya dirawat dengan antibiotik selama dua minggu. Risiko untuk mandul lebih rendah jika ia dirawat dengan lebih awal.

  • Risiko untuk mendapat bayi pra matang - bayi lahir bawah 37 minggu atau kurang berat. Ini meningkatkan risiko yang bahaya kepada bayi tersebut.

Selain kesan fizikal, jangkitan klamidia juga boleh menyebabkan emosi pesakitnya terganggu dan menimbulkan persepsi negatif kepada si pesakit. Namun, berita baik ialah penyakit ini boleh sembuh sepenuhnya dengan rawatan dan langkah pencegahan yang sepatutnya.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?