Gonorea

Penyebab Dan Punca Penyakit Kelamin Gonore (Gonorrhoea)

Baca Soalan

Organisma penyebab gonorea

  • Gonorea merupakan sejenis jangkitan kelamin yang boleh berlaku kepada kedua-dua jantina. Organisma penyebab gonorea pada wanita dan lelaki ialah sejenis bakteria yang dikenali sebagai Neisseria gonorrhoeae.
  • Bakteria ini telah dikenal pasti oleh seorang doktor German bernama Albert Neisser pada tahun 1879. Bakteria ini dikatakan mempunyai keupayaan untuk mengubah struktur protein di permukaannya dan keupayaan ini membantu bakteria gonorea untuk bersembuyi daripada pemantauan sistem pertahanan badan.
  • Oleh itu, orang yang pernah menghidap jangkitan gonorea boleh menghidap semula jangkitan oleh bakteria yang sama.
  • Bakteria gonorea telah menjadi semakin lali kepada banyak ubat-ubat antibiotik. Sebagai contohnya, ubat suntikan antibiotik ceftriaxone memerlukan dos yang lebih tinggi untuk menyembuhkan jangkitan gonorea berbanding dengan masa dahulu.
  • Untuk masa sekarang, vaksin yang berkesan untuk mencegah jangkitan gonorea belum dicipta lagi.

Bagaimana seseorang boleh dijangkiti gonorea

  • Cara penularan penyakit gonorea adalah melalui hubungan seks faraj, oral atau dubur. Golongan yang berisiko tinggi adalah golongan yang menjalankan hubungan seks tanpa perlindungan dan golongan yang menjalankan hubungan seks rambang atau mempunyai ramai teman hubungan seks.
  • Ada orang yang mungkin tertanya-tanya adakah gonorea boleh berjangkit melalui ciuman? Jawapannya adalah tidak.
  • Pernah ada kes yang melaporkan bahawa bakteria gonorea boleh disebarkan melalui perkakasan yang tercemar dengan cecair badan pesakit gonorea, tetapi kes-kes tersebut adalah jarang kerana bakteria gonorea tidak boleh hidup lama di luar badan dan akan mati dalam masa beberapa jam sahaja.
  • Golongan lelaki yang menjalankan hubungan kelamin tanpa perlindungan dengan seorang pesakit gonorea wanita mempunyai risiko 20% untuk dijangkiti dengan bakteria gonorea. Golongan lelaki yang menjalankan hubungan seks tanpa perlindungan dengan lelaki lain mempunyai risiko jangkitan gonorea yang lebih tinggi.
  • Untuk wanita pula, seseorang wanita yang menjalankan hubungan seks tanpa perlindungan dengan seorang lelaki yang telah menghidap jangkitan gonorea mempunyai risiko 60 hingga 80 peratus untuk dijangkiti dengan bakteria gonorea.
  • Oleh itu, risiko untuk jangkitan gonorea dalam kalangan wanita adalah sangat tinggi berbanding dengan golongan lelaki.
  • Selain lelaki dan wanita muda, golongan bayi juga merupakan salah satu golongan yang sering dijangkiti oleh bakteria gonorea. Bakteria gonorea boleh disebarkan dari ibu ke anak semasa proses kehamilan.
  • Bakteria gonorea juga boleh menjangkiti anak semasa proses kelahiran dan bakteria tersebut biasanya akan menjangkiti mata bayi. Jangkitan mata bayi oleh bakteria gonorea dikenali sebagai gonococcal ophthalmia neonatorum.
  • Jangkitan mata ini harus dirawat dengan ubat antibiotik dengan segera untuk mengelakkan kebutaan. Jangkitan mata bayi boleh dicegah dengan merawat ibu dengan ubat antibiotik sebelum melahirkan anak.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy