Hepatitis C

Apakah Penyebab Penyakit Hepatitis C

Baca Soalan

  • Organisma penyebab hepatitis C ialah virus hepatitis C. Hepatitis C merupakan penyakit radang hati yang boleh menjejaskan fungsi hati.
  • Virus hepatitis C boleh menyebabkan sama ada hepatitis akut (jangka pendek) atau kronik (jangka panjang).

Punca hepatitis C

  • Hepatitis C biasanya disebarkan apabila darah seseorang yang dijangkiti virus hepatitis C memasuki tubuh seseorang yang tidak dijangkiti.
  • Pada suhu bilik, virus hepatitis C mampu bertahan di luar badan sehingga beberapa minggu walaupun darah penyebab hepatitis C telah mengering.
  • Terdapat beberapa jenis kejadian atau aktiviti yang boleh menyebabkan jangkitan hepatitis C ini ditularkan.
  • Contoh aktiviti penyebab hepatitis C termasuk:
    • Perkongsian jarum suntikan, picagari atau peralatan suntikan dadah yang lain

    • Kecederaan akibat jarum suntikan yang tercemar di pusat-pusat kesihatan seperti hospital dan klinik

    • Pemindahan darah, produk darah atau organ yang dijangkiti hepatitis C

    • Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang menghidap hepatitis C

  • Punca-punca lain seseorang boleh dijangkiti virus hepatitis C yang jarang berlaku termasuk:
    • Perkongsian barangan peribadi yang mungkin telah bersentuhan dengan darah orang yang dijangkiti hepatitis C seperti pisau cukur atau berus gigi

    • Hubungan seksual dengan seseorang yang dijangkiti virus hepatitis C

    • Mendapatkan tatu atau menindik badan menggunakan peralatan yang tidak steril dan tercemar dengan darah yang dijangkiti hepatitis C

  • Hepatitis C tidak disebarkan melalui susu ibu, air atau melalui sentuhan badan seperti berjabat tangan, ciuman dan pelukan. Selain itu, berbanding dengan hepatitis A, tidak terdapatnya apa-apa jenis makanan penyebab hepatitis C dan hepatitis C juga tidak boleh disebarkan melalui perkongsian makanan atau minuman dengan orang yang dijangkiti.

Risiko dapat hepatitis C

Risiko Hep C meningkat dalam kalangan golongan-golongan tertentu seperti:

  • Orang yang menyuntik dadah. Penyalahgunaan dadah dan hepatitis C berkait rapat dan perkongsian jarum suntikan dadah merupakan penyebab risiko hep C yang tertinggi. Walaupun anda telah menyuntik dadah hanya sekali, anda berisiko tinggi mendapatkan hepatitis C.

  • Pesakit dengan jangkitan HIV

  • Kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang dijangkiti hepatitis C

  • Penerima produk darah yang tercemar atau prosedur invasif di pusat kesihatan yang tidak mempunyai kawalan jangkitan yang mencukupi

  • Pekerja sektor kesihatan yang tercedara akibat jarum yang tercemar dengan darah yang dijangkiti hepatitis C

  • Penerima faktor pembeku darah (sejenis produk darah) yang dibuat sebelum tahun 1987, apabila kaedah kurang maju digunakan untuk membuat produk-produk tersebut

  • Penerima transfusi darah atau pemindahan organ sebelum tahun 1992, iaitu sebelum ujian saringan terhadap penderma darah dilakukan

  • Orang yang mempunyai pasangan seks yang dijangkiti hepatitis C

  • Pesakit hemodialisis

  • Orang yang dipenjarakan

  • Orang yang mengambil dadah melalui hidung (intranasal)

  • Orang yang mempunyai tindikan atau tatu badan yang dilakukan menggunakan instrumen tidak steril

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?