Hepatitis A

Penyebab, Gejala, Diagnosis, Rawatan, Ubat Penyakit Hepatitis A

Baca Soalan

Apa Itu Hepatitis A

Hepatitis A adalah sebuah jangkitan pada organ hati yang disebabkan oleh jangkitan virus Hepatitis A (HAV). Sebagai pengenalan jangkitan hepatitis a, manusia sahaja yang dikenal pasti merupakan perumah (host) yang boleh dijangkiti oleh penyakit ini. Kebiasaannya penyakit ini berlaku di dalam tempoh masa yang singkat dan tidak berlanjutan sehingga menjadi kronik. Kegagalan fungsi hati berlaku hanya kurang daripada 1% kes sahaja dan pesakit pada kebiasaannya akan mendapat imuniti sepanjang hayat apabila mendapat jangkitan ini. Oleh yang demikian, vaksin dapat digunakan sebagai pencegahan daripada mendapat jangkitan ini.

Virus ini telah ditemui pada sekitar tahun 1970-an dan semenjak itu kemajuan di dalam teknologi perubatan telah membantu di dalam mendapatkan maklumat-maklumat yang lebih mendalam untuk lebih memahami dengan lebih lanjut tentang jangkitan ini. 

Terdapat beberapa istilah-istilah lain yang digunakan juga merujuk kepada penyakit yang sama iaitu ‘epidemic jaundice’, ‘acute catarrhal jaundice’ dan ‘campaign jaundice’. Semua ini adalah istilah-istilah lama yang merujuk kepada maksud hepatitis A.

Penjagaan kebersihan yang lebih teliti dan rapi, polisi-polisi kesihatan awam (public health) yang lebih baik serta teknik-teknik sanitasi yang baik telah membantu di dalam mencegah penularan penyakit ini. Vaksinasi dan ‘passive immunization’ juga turut menyumbang di dalam membendung virus ini daripada tersebar kepada golongan-golongan yang berisiko tinggi.

Epidemiologi Penyakit Hepatitis A

Jangkitan Hepatitis A Virus berlaku secara global. Sebanyak 1.4 juta kes yang dilaporkan berlaku setiap tahun dan ia boleh berlaku secara rawak ataupun berlaku secara penyebaran bawak. Penyebaran HAV berlaku secara apa yang digelar sebagai ‘faecal-oral transmission’. Di dalam bahasa mudah, penyebaran berlaku sekiranya makanan yang diambil tersebut tidak bersih dan tercemar dengan najis yang mempunyai kandungan virus HAV. Ia tidak terhad kepada makanan sahaja, bersentuhan dengan tangan yang kotor, meminum minuman yang tercemar dengan HAV juga turut menyumbang kepada keadaan ini.

Program-program vaksinasi yang dijalankan oleh beberapa negara telah menunjukkan penurunan kes-kes hepatitis A yang berlaku. Sebagai contoh:

  1. Sejak program vaksinasi untuk HAV dilaksanakan di negara Amerika Syarikat pada tahun 1996 untuk individu-individu yang mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapatkan jangkitan, kanak-kanak yang mendiami wilayah-wilayah yang mempunyai insiden yang tertinggi dengan penyakit HAV (tahun 1999) dan kepada anak-anak kecil (tahun 2006), insiden penyakit Hepatitis A yang akut berkurangan secara mendadak daripada 6 kepada 0.4 kes untuk setiap 100,000 orang di antara tahun 1999 hingga 2014. Dianggarkan terdapat sebanyak 2500 kes hepatitis A yang berlaku pada tahun 2014.

  1. Di negara China pula, rekod yang paling rendah telah dirakamkan berlaku dalam kalangan individu-individu yang berumur bawah 19 tahun pada sebuah wilayah pada tahun 2014, manakala insiden yang paling tinggi pula berlaku dalam kalangan individu-individu yang berumur lebih daripada 20 tahun.

  1. Selain daripada itu, kes-kes kanak-kanak yang terlibat dengan dengan jangkitan HAV berkurangan seiring dengan peningkatan taraf sosioekonomi pada negara-negara yang sedang membangun. Golongan dewasa yang tidak mempunyai perlindungan vaksin pula yang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat jangkitan ketika berlakunya wabak.

Wabak boleh berlaku di dalam pelbagai keadaan termasuklah di dalam komuniti-komuniti yang mengalami pencemaran air dan makanan. Kadang-kala makanan yang dimasak juga masih boleh menyebarkan jangkitan kerana suhu yang digunakan untuk memasak tidak cukup tinggi untuk membunuh virus ataupun makanan tercemar selepas dimasak secukupnya. Penyebaran wabak HAV jua boleh berlaku dalam pusat rawatan kesihatan dan juga dalam kalangan gelandangan.

Penyebaran wabak ini pada peringkat antarabangsa berlaku apabila terdapat makanan yang tercemar dieksport keluar daripada negara yang mempunyai endemik penyakit HAV. Sebagai contoh, terdapat sebuah kes di mana penyebaran penyakit kelihatan berlaku secara sporadic (secara rawak) kerana berlaku pada lokasi yang berjauhan di antara satu sama lain. Di dalam sebuah laporan, sebanyak 213 kes hepatitis A telah dikesan berlaku pada 23 buah sekolah di wilayah Michigan dan 29 kes yang berlaku pada wilayah Maine yang mana terletak sejauh 1281 km di antara satu sama lain. Apabila dikesan, ianya berpunca daripada sumber buah strawberi yang berasal daripada kawasan yang sama.

Virus Hepatitis A

Terdapat beberapa jenis hepatitis di yang setiap satunya boleh menghasilkan jangkitan hepatitis. Virus Hepatitis A adalah sejenis virus yang berada di dalam keluarga Picornaviridae dan berada di bawah kategori spesis genus Hepatorvirus. Manusia dan haiwan yang mempunyai tulang belakang adalah hos yang boleh mendapat jangkitan ini.

Hepatovirus A tidak mempunyai lapisan perlindungan yang dikenali sebagai ‘envelope’ dan mempunyai ‘single-standed RNA’ (iaitu rantaian bebenang yang mempunyai data-data gene di dalam sesebuah entiti kehidupan).

Virus ini tersebar ke dalam tubuh badan manusia melalui jalan ‘feco-oral’ atau melalui darah. Selepas memasuki tubuh melalui makanan, HAV akan memasuki aliran darah melalui lapisan sel-sel epithelium yang berada di sepanjang saluran penghadaman. Oleh kerana setiap aliran darah daripada sistem penghadaman yang memasuki tubuh badan akan melalui aliran darah ke organ hati (hepatic circulation) untuk diproses, Virus Hepatitis A dengan mudahnya mendapat laluan yang terus ke organ hati. 

Pembiakan virus di dalam sel-sel ini dipanggil sebagai proses ‘replication’ atau replikasi. Virus akan keluar daripada sel-sel ini dengan proses ‘lysis and virosporin’. Virus-virus baru yang terhasil daripada proses replikasi ini akan dirembeskan ke dalam aliran ‘bile’ dan akan keluar daripada tubuh melalui najis. Lebih kurang 11 hari sebelum munculnya simptom-simptom dan penemuan antibodi IgM di dalam ujian darah, kandungan HAV di dalam najis berada pada konsentrasi yang paling tinggi.

Penyebaran jangkitan kebiasaannya berlaku apabila terdapat keadaan sekeliling yang kotor dan ‘overcrowding’ iaitu berada di dalam keadaan sekeliling yang padat. Kebiasannya disebarkan melalui makanan tetapi boleh juga tersebar melalui darah dan produk-produk darah. Pencemaran melalui makanan adalah kejadian yang sering berlaku apabila berlakunya wabak bagi penyakit ini. Selain daripada itu, terdapat juga kes-kes di mana penyebaran berlaku disebabkan oleh memakan makanan-makanan laut seperti kerang, lala, udang, siput dan tiram yang diternak di dalam air yang tercemar dengan virus Hepatitis A.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?