Hepatitis C

Penyebab, Gejala, Diagnosis Dan Ubat Sesuai Untuk Penyakit Hepatitis C

Baca Soalan

Pengenalan Hepatitis

Hepatitis ialah sejenis penyakit radang hati yang boleh disebabkan oleh sama ada jangkitan kuman, alkohol, dadah atau penyakit autoimun. Kebanyakan hepatitis adalah disebabkan jangkitan virus. Malah, hepatitis akibat kuman adalah antara penyumbang utama penyakit hati selain daripada penyakit hati akibat alkohol. Terdapat pelbagai jenis virus yang berlainan yang menyebabkan hepatitis berlainan dari satu sama lain. Ia juga boleh dibahagikan kepada dua, iaitu jangkitan hepatitis akut dan jangkitan hepatitis kronik. Hepatitis kronik boleh menyebabkan kerosakan kekal kepada organ hati yang lebih dikenali sebagai cirrhosis atau parut pada tisu hati. Hepatitis juga menular melalui cara yang berbeza bergantung kepada jenis hepatitis.

Hati merupakan salah satu organ dalaman yang terbesar. Fungsi hati sangat penting untuk aktiviti harian badan. Ia berfungsi untuk menapis bahan kumuhan berbahaya daripada darah seperti sel mati, toksik, lemak, hormon dan bilirubin iaitu sejenis bahan produk apabila sel darah merah dipecahkan. Jika bilirubin berkumpul dalam badan ini akan menyebabkan satu situasi dipanggil jaundice atau kekuningan. Jika hati keradangan dan menjadi bengkak, ini boleh mengubah struktur dalaman sel hati, menyebabkan ia tidak boleh berfungsi seperti normal.

Bahan kumuhan yang sepatutnya dibuang daripada badan oleh hati kini akan berkumpul di dalam badan dan sesetengah nutrisi penting tidak boleh dihasilkan dan disimpan dengan normal. Badan akan kekurangan nutrisi yang penting di samping mempunyai kadar bahan toksik yang tinggi dalam badan. Kekuningan adalah tanda biasa dan ini digelar (jaundice).

Apakah penyakit Hepatitis C

Jadi apa itu hep C?

Ia adalah hepatitis yang disebabkan oleh virus yang berasal daripada keluarga Flaviviridae, iaitu Virus RNA kecil bersaiz 30-38 nm. Jangkitan hepatitis yang menular ini boleh jadi akut atau kronik dan simptom bermula dari simptom ringan sehingga simptom teruk sehingga sepanjang hayat. Jangkitan akut Hep C biasanya tiada simptom dan boleh sembuh dengan sendiri dalam masa 4-6 bulan. Manakala untuk jangkitan kronik, sebanyak hampir 85% pesakit ini tidak menyedari mereka mempunyai hepatitis. Penyakit ini mula ditemui pada tahun 1989. Menurut WHO, dianggarkan sebanyak 71 juta orang di dunia yang mempunyai jangkitan hepatitis C secara kronik, menjadikan ia penyebab utama jangkitan kronik hep dan hepatitis yang paling berbahaya di seluruh dunia. Membahayakan lagi, ini juga boleh menyebabkan kanser hati. WHO juga berkata sebanyak hampir 400 000 pesakit meninggal dunia setiap tahun akibat cirrhosis dan kanser hati.

Penyakit ini menular melalui pertukaran darah. Virus akan memasuki badan apabila terdapat percampuran darah dengan individu yang telah dijangkiti. Ini dikenali sebagai penyakit berjangkit bawaan darah (bloodborne disease). Antara cara penularan adalah:

  • Penagih dadah yang berkongsi jarum picagari untuk menagih dadah. Ini adalah cara majoriti penyakit ini menular.

  • Penggunaan semula instrumen medikal atau kaedah sterile yang tidak cukup terutamanya picagari dan jarum di dalam sektor kesihatan awam. Biasanya terjadi di negara yang mempunyai sistem kesihatan yang miskin.

  • Transfusi produk darah yang tidak diuji terlebih dahulu. Ini agak jarang berlaku pada masa sekarang.

  • Melalui hubungan seksual namun ia jarang terjadi.

  • Ia tidak berjangkit melalui sentuhan terus seperti memeluk dan bercium atau berkongsi pakaian atau makanan.

Terdapat beberapa ujian makmal yang boleh dilakukan untuk mengesan jangkitan ini. Oleh kerana akut hepatitis C kebanyakkannya tiada simptom, ujian ini boleh dibahagikan kepada 2 fasa.

Fasa pertama- ujian saringan untuk antibodi anti-HCV. Jika ia positif, ini bermakna individu tersebut pernah dijangkiti Hepatitis C. Namun ia tidak memberitahu sama ada seseorang mempunyai jangkitan yang aktif, atau telah sembuh sepenuhnya atau mempunyai jangkitan yang kronik.

Fasa kedua- ujian PCR untuk HCV ribonucleic acid (RNA). Ujian ini jika positif bermakna seseorang masih mempunyai virus ini di dalam badan mereka. Seterusnya melalui ujian viral load, ini akan memberikan jumlah virus ini dalam badan mereka dan boleh menentukan jika ia adalah jangkitan akut atau kronik.

Seterusnya jika ia adalah jangkitan kronik, ujian biopsi hati boleh dilakukan untuk mengesan sejauh mana kerosakan hati telah terjadi dan mengesan sel kanser di peringkat awal jika ada.

Jenis Hepatitis

Setakat ini, terdapat 5 jenis hepatitis yang disebabkan oleh jangkitan virus berbeza. Nama hepatitis bergantung kepada nama virus. Sebagai contoh seperti yang dibincangkan di atas, maksud hepatitis C ialah jangkitan disebabkan oleh virus hepatitis C. 5 jenis hepatitis tersebut ialah Hepatitis A, Hepatitis B, Hepatitis C, Hepatitis D dan Hepatitis E.

Hepatitis A : juga dikenali sebagai (infectious hepatitis) kerana ia lebih senang menular berbanding hepatitis lain. Ia merebak melalui pengambilan makanan dan minuman yang telah tercemar dengan bahan najis manusia. Namun jangkitan ini jarang membawa maut.

Hepatitis B : dikenali sebagai (serum hepatitis). Ia boleh merebak melalui seorang ibu kepada anak ketika proses bersalin, melalui aktiviti seksual, transfusi darah tercemar dan juga perkongsian jarum untuk menagih dadah. Ia boleh merosakkan hati secara kekal (cirrhosis) dan menyebabkan kanser hati.

Hepatitis C : Jenis paling banyak di dunia dan paling berbahaya. Cara merebak adalah sama seperti Hep B. Sebanyak 1 daripada 4 dari pesakit HIV ini juga mempunyai Hep C dan ia lebih parah jika mendapat kedua-dua HIV dan Hepatitis C dalam satu masa.

Hepatitis D : Ia merebak hanya dengan kehadiran Hepatitis B dan cara merebak adalah sama. Ia adalah serius kerana dijangkiti oleh Hep B dan Hep D pada satu masa boleh membawa maut.

Hepatitis E : Sama dengan Hepatitis A, ia hanya berlaku di tempat di mana terdapat sistem air yang teruk dan kotor. Ia juga jarang membawa maut.


Walaupun terdapat beberapa persamaan cara ia merebak, namun perbezaan hepatitis b dan c adalah terdapat vaksinasi untuk heptitis B manakala tiada vaksin untuk mencegah hepatitis C, ini menjadikan hepatitis C lebih banyak dan lebih bahaya secara keseluruhannya.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?