Hepatitis C

Cara Mencegah Jangkitan Hepatitis C

Baca Soalan

Bahaya hepatitis C

  • Hepatitis C merupakan penyakit yang berbahaya kerana berpotensi menjadi jangkitan kronik lalu memudaratkan fungsi hati dan meningkatkan risiko kanser hati.
  • Hepatitis C lebih berisiko menjadi penyakit yang kronik berbanding dengan hepatitis B. Penyakit ini juga mudah berjangkit.  
  • Virus hepatitis C merebak melalui cecair badan seperti:
    • Darah
    • Air mani
    • Lendir faraj 
    • Air liur
  • Orang ramai disarankan supaya mempunyai kesedaran untuk mencegah hepatitis C.

Cara hepatitis C merebak

  • Kita harus mengetahui cara virus ini berjangkit supaya cara pencegahan Hepatitis C boleh dilaksanakan dengan berkesan.  
  • Virus ini merebak dengan pelbagai cara seperti yang disenaraikan di bawah:
    • Sekiranya transfusi dilakukan dengan darah yang tercemar, virus hepatitis C boleh masuk ke dalam badan pesakit melalui salur darah.Selain transfusi darah, sebarang luka di kulit, tatu, tindik dan akupuntur yang tidak bersih juga mungkin menjadi cara virus ini merebak.

    • Kecederaan yang disebabkan oleh jarum yang tercemar turut menjadi punca hepatitis C. Oleh sebab itu, para pekerja kesihatan menghadapi risiko hepatitis C yang lebih tinggi berbanding dengan orang ramai.

    • Perkongsian alat-alat peribadi.

    • Penagih dadah turut terdedah kepada risiko hepatitis C ketika berkongsi jarum.

    • Mereka yang mengamalkan hubungan kelamin berisiko tinggi atau hubungan kelamin tanpa perlindungan. Ini termasuklah mereka yang tidak menggunakan kondom semasa hubungan seksual dan mereka yang mempunyai banyak pasangan.

    • Virus juga mungkin disebarkan kepada bayi melalui uri sekiranya ibunya menghidap hepatitis C.

    • Ahli keluarga pesakit hepatitis C turut menghadapi risiko hepatitis C.

  • Mereka yang didapati berisiko menghidap hepatitis C seharusnya menghindarkan perkara dan amalan berbahaya yang telah disenaraikan untuk elak hepatitis C.

Langkah-langkah pencegahan

  • Walaupun hepatitis B boleh dicegah dengan vaksin, vaksin yang berkesan untuk hepatitis C belum dijumpai. Oleh sebab itu, langkah pencegahan hepatitis C menjadi lebih penting untuk mengurangkan risiko jangkitan.  
  • Elak hepatitis C dengan cara-cara berikut:
    • Ahli keluarga pesakit hepatitis C disarankan supaya mendapatkan ujian saringan. Hal ini adalah untuk mengetahui status jangkitan sendiri. Jika didapati positif, rawatan yang sesuai boleh diberikan dengan lebih awal.

    • Alat-alat peribadi seperti ketip kuku, berus gigi, pisau cukur dan sebagainya tidak harus dikongsi dengan orang lain. Hal ini kerana alat-alat ini boleh menyebabkan luka yang memudahkan kemasukan virus.

    • Amalkan hubungan kelamin yang selamat. Gunakan perlindungan seperti kondom kerana kondom dapat mengurangkan pendedahan terhadap cecair badan yang mungkin tercemar. Kurangkan hubungan seksual berisiko tinggi dengan bersikap setia terhadap pasangan.

    • Bersihkan titisan darah dengan segera. Agen peluntur boleh digunakan untuk tujuan ini.

    • Pesakit hepatitis C tidak dibenarkan menderma darah kerana virus boleh merebak ke badan penerima.

    • Jika pendedahan terhadap virus berlaku, sila dapatkan nasihat doktor dengan segera.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?