Mati Pucuk

Diagnosis Impotensi (Mati Pucuk / Disfungsi Ereksi)

Baca Soalan

Bagaimanakah diagnosis impotensi dibuat oleh doktor?

  • Pada mulanya, doktor memerlukan sejarah kesihatan dan psikoseksual anda. Pemeriksaan yang teliti juga akan dilakukan. Pasangan anda digalakkan berkongsi maklumat supaya diagnosis yang tepat boleh dibuat.
  • Oleh sebab impotensi selalunya berkaitan dengan penyakit-penyakit seperti diabetes, darah tinggi, penyakit jantung koroner, masalah tulang belakang dan masalah pituitari, doktor mungkin menjalankan ujian lanjut untuk mengetahui penyebab impotensi anda.  
  • Antara ujian yang mungkin dijalankan termasuklah:
    • Ujian darah

    • Ujian air kencing

    • Ujian tahap gula

    • Ujian kolesterol

    • Ujian tahap testosterone (hormon lelaki)

    • Ujian tahap prolactin

  • Bergantung pada keputusan ujian-ujian ini, doktor akan berbincang dengan anda dan pasangan anda supaya rawatan yang berkesan dapat diberikan.
  • Doktor juga mungkin mencadangkan pemeriksaan atau ujian yang lain untuk mengenal pasti punca impotensi anda. Anda digalakkan memberitahu doktor anda sebarang ubat atau dadah yang anda sedang ambil.
  • Hal ini kerana sesetengah ubat dan dadah telah didapati menyebabkan impotensi.
  • Terdapat juga penilaian yang boleh anda jalankan sendiri di rumah untuk membuat diagnosis impotensi.
  • Antara contoh penilaian ini ialah International Index of Erectile Function yang mengandungi 15 item untuk menilai fungsi seksual dan tahap impotensi.

Ujian-ujian lanjut yang mungkin dijalankan

  • Ujian lanjut yang pertama ialah Nocturnal Penile Tumescence (NPT) Test. Ujian ini menilai ereksi yang dialami oleh kaum lelaki pada waktu malam semasa tidur.
  • Biasanya, kaum lelaki mengalami 3 hingga 5 ereksi semasa tidur. Setiap ereksi mengambil masa 30 hingga 60 minit. Dengan usia yang lebih lanjut, jangka masa ereksi yang dialami setiap malam menurun.
  • Para pesakit yang menjalani ujian ini biasanya diberi sejenis alat yang akan merekodkan nombor dan jangka masa ereksi serta ketegangan dan lilitan zakar semasa ereksi.
  • Penilaian psikologi juga mungkin dijalankan. Antara masalah yang perlu dinilai ialah keresahan, hubungan dengan pasangan dan masalah psikologi yang lain seperti kemurungan.
  • Penilaian lebih lanjut selalunya akan dijalankan oleh seorang pakar psikiatri. Penilaian ini amatlah penting terutamanya bagi mereka yang menghadapi masalah impotensi pada usia muda kerana masalah psikologi atau psikiatri telah dikenal pasti sebagai penyebab impotensi yang penting bagi golongan ini.
  • Rawatan yang berkesan sentiasa ada dan terapi yang digunakan juga mungkin melibatkan pasangan anda.
  • Penilaian dengan ultrasound juga mungkin dijalankan. Alat ultrasound yang digunakan dapat menunjukkan imeg pengaliran darah di dalam zakar. Penilaian ini penting kerana gangguan pengaliran darah telahpun dikenal pasti sebagai salah satu penyebab impotensi yang penting.
  • Semasa penilaian ini, doktor anda mungkin menyuntik ubat ke dalam zakar untuk membaiki pengaliran darah dan untuk menghasilkan ereksi.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?