Mati Pucuk

Penyebab, Gejala, Diagnosis Dan Ubat Sesuai Untuk Penyakit Impotensi

Baca Soalan

Apakah itu impotensi

Apabila kita berbicara tentang impotensi, ia lebih dikenali sebagai masalah lelaki. Pengertian impotensi adalah lelaki yang susah mencapai ereksi atau zakar susah tegang dan juga boleh dikenali sebagai (erectile dysfunction) atau mati pucuk. Ereksi diperlukan untuk sebarang aktiviti seksual oleh itu tanpa ereksi ini akan menjadikan hubungan seksual kurang menarik dan boleh memberi tekanan kepada lelaki dan pasangan.

Dalam jangka masa yang panjang ini boleh mengganggu kebahagian rumah tangga. Keadaan ini tidak boleh dianggap remeh dan memerlukan rawatan yang sepatutnya. Satu lagi masalah disfungsi seksual yang jugak agak kerap berlaku ialah Ejakulasi Pramatang atau (Premature Ejaculation) dan ini tidak sama dengan masalah mati pucuk. Ia berbeza dari segi simptom, penyebab dan juga rawatan. Namun kedua-dua masalah ini boleh hadir pada satu-satu masa dan memerlukan rawatan yang berkaitan

Masalah impotensi ini adalah agak kerap terjadi di seluruh dunia, terutamanya kepada golongan umur 40 tahun ke atas. Walaupun ia adalah kerap berlaku, namun ia tidak normal dan bukan termasuk dari proses penuaan. Menurut WHO, sebanyak 30 juta lelaki di Amerika Syarikat mengalami masalah ini. Ketika berumur 80 tahun ke atas, sebanyak 75% lelaki akan mengalami masalah ini. Masalah ini juga begitu besar di Malaysia di mana terdapat begitu banyak lambakan produk-produk yang dikatakan mampu merawat masalah mati pucuk namun keberkesanan ubat ini boleh dipertikai dan tidak disarankan untuk dicuba tanpa rujukan doktor bertauliah.

Impotensi pada lelaki

Untuk lebih memahami tentang masalah impotensi lelaki, kita perlu lebih dahulu mengetahui anatomi zakar dan organ reproduktif lain dan bagaimana ereksi terjadi. Zakar merupakan organ reproduktif utama untuk fungsi seksual seperti penetrasi dan mengeluarkan sperma dan ia juga berperanan untuk mengeluarkan air kencing yang mengandungi bahan kumbahan dari badan.

Zakar atau penis terdiri daripada beberapa bahagian iaitu:

  • Kepala Zakar (Glan - head of penis). Pada hujung saluran kepala, terdapat satu pembukaan kecil yang merupakan tempat keluar kencing dan air mani. Untuk individu yang tidak berkhatan, terdapat kulit lebihan yang menutupi gland ini, manakala untuk lelaki berkhatan, mukosa glans yang pada awlanya basah bertukar menjadi kulit kering.

  • Korpus Kavernosum. Ini adalah dua tisu yang besar yang bersebelahan. Darah akan mengisi tisu ini dan menyebabkan ereksi.

  • Korpus spongiosum. Satu tisu yang mempunyai struktur seperti sponge. Bermula dari depan zakar dan berakhir di glans zakar. Darah diisi di sini ketika ereksi dan ia juga mengandungi urethra dan membawa air kencing keluar dari badan.

Ereksi berlaku apabila terdapat peredaran darah ke zakar. Apabila lelaki dirangsang secara seksual, urat saraf akan menghantar signal yang menyebabkan saluran darah di zakar berkembang. Banyak darah akan masuk ke zakar dan ini akan menegangkan dan membesarkan zakar dengan mengisi darah ke tisu korpus spongiosum. Impotensi terjadi apabila salah satu langkah ini terganggu. Akibatnya darah tidak mengisi ke zakar dan tiada ereksi yang akan berlaku.

Terdapat 3 jenis impotensi untuk lelaki, iaitu primer, sekunder dan situasi (situational).

  • Impotensi primer ialah apabila seseorang lelaki tidak pernah mencapai ereksi sepanjang hayat beliau walaupun selepas akil baligh. Kebanyakan pesakit jenis ini adalah muda dan mempunyai masalah kesihatan.
  • Impotensi sekunder pula ialah apabila seseorang lelaki mempunyai masalah ereksi walaupun sebelum ini normal dan pernah mempunyai ereksi yang normal. Impotensi sekunder lebih kerap berlaku berbanding jenis impotensi lain dan mempunyai banyak penyebab, termasuklah masalah fizikal dan psikologi.
  • Impotensi situasi pula ialah apabila seseorang mengalami masalah ereksi apabila berdepan dengan situasi tertentu seperti kali pertama melakukan aktiviti seksual atau pasangan baru. Ia juga boleh digelar (performing anxiety). 

Antara penyebab mati pucuk ialah umur yang meningkat. Dengan umur yang meningkat, fisiologi badan berubah dan pelbagai masalah kesihatan yang mungkin dihidapi boleh menyebabkan mati pucuk. Seseorang dengan sakit jantung, kencing manis, tinggi kolesterol, rendah tekanan darah, dan ubat untuk tekanan tinggi boleh menyebabkan impotensi kerana ia akan mengurangkan darah ke zakar. Selain itu stress juga merupakan penyebab utama masalah impotensi. Pengurusan stress dengan baik boleh mengembalikan ereksi tanpa sebarang rawatan khusus. Alkohol dan penyalahgunaan dadah juga boleh menyebabkan mati pucuk. Selain itu juga, masalah sistem saraf seperti Strok, penyakit Parkinson, penyakit Alzheimer dan sebagainya juga boleh menyebabkan impotensi primer dan sekunder.

Untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya, seseorang perlu mengetahui jenis penyakit potensi mereka terlebih dahulu. Antara rawatan yang ada ialah rawatan psikoterapi seksual dan ubatan seperti Viagra. Viagra merupakan antara ubat yang paling berkesan dalam rawatan mati pucuk. Ia juga boleh dikira sebagai ubat yang selamat untuk digunakan dengan kesan sampingan yang sangat minimal. Sila bercakap dengan doktor sebelum mencuba rawatan ini.

Impotensi pada wanita

Masalah ini bukan sahaja boleh dialami oleh lelaki tetapi wanita juga boleh mengalami impotensi.

Apakah pengertian impoten bagi wanita?

Jika bagi lelaki ia impotensi adalah masalah zakar susah tegang, namun apa itu impoten bagi wanita adalah apabila wanita tersebut menghadapi masalah seksual seperti:

  • Tiada respon seksual
  • Rendah libido atau keinginan untuk bersama
  • Susah untuk mencapai klimaks atau orgasm 
  • Sakit ketika melakukan aktiviti seksual.

Masalah ini juga dikenali sebagai disfungsi seksual. Penyakit disfungsi seksual ialah masalah yang terjadi dalam sebarang fasa kitaran respon seksual yang menghalang individu untuk mencapai kepuasan dalam aktiviti seksual.

Kitaran tersebut ialah : ghairah (excitement), mendatar (plateu), klimaks (orgasm) dan resolusi (resolution).

Punca penyakit disfungsi seksual boleh dibahagikan kepada dua iaitu masalah fizikal atau masalah psikologikal. Masalah fizikal termasuklah kencing manis, penyakit jantung, penyakit neurologi, hormon tak seimbang, menopos, dan juga penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang dan hati. Selain itu penggunaan alkohol melampau dan dadah terlarang dan kesan sampingan ubat seperti anti-depressi
juga menyebabkan impotensi. Masalah psikologi yang boleh menyumbang kepada masalah impotensi wanita ialah stress, gemuruh, risau terlampau, masalah hubungan, kemurungan, rasa bersalah atau malu yang amat atau trauma dengan hubungan seksual yang lepas. Semua ini boleh dirawat dengan rawatan yang betul.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?