Mati Pucuk

Mencegah dan Mengatasi Impotensi (Mati Pucuk/Disfungsi Ereksi)

Baca Soalan

Bagaimana Mengelakkan Impotensi

  • Untuk mengelakkan impotensi daripada berlaku, kita harus mengenalpasti penyebab impotensi dan cara mengatasinya. Terdapat pelbagai sebab dan faktor risiko yang boleh menyebabkan impotensi.  
  • Contoh-contohnya termasuk:
    • Umur meningkat

    • Penyakit jantung

    • Saluran darah yang tersumbat (aterosklerosis)

    • Kolesterol tinggi

    • Tekanan darah tinggi

    • Diabetes

    • Obesiti

    • Penyakit Parkinson

    • Multiple Sklerosis

    • Kesan sampingan ubat-ubat preskripsi

    • Merokok

    • Penyalahgunaan alkohol dan bahan-bahan lain

    • Rawatan untuk kanser prostat atau pembesaran prostat

    • Pembedahan atau kecederaan yang telah menjejaskan pelvis atau saraf tunjang

    • Penyakit kemurungan

    • Stres

    • Hubungan pasangan yang tegang

  • Seperti yang dilihat, kebanyakan penyebab ini adalah masalah kesihatan yang berkaitan dengan gaya hidup seseorang.  
  • Oleh itu cara-cara pencegahan impotensi termasuk:
    • Amalkan diet yang sihat. Tingkatkan jumlah buah-buahan dan sayur-sayuran yang dimakan dan kurangkan makanan berlemak, digoreng, dan diproses.

    • Amalkan berat badan yang sihat. Kurangkan berat badan jika perlu.

    • Jaga tekanan darah anda. Sering memantau / menyemak tekanan darah anda dan dapatkan rawatan sekiranya perlu.

    • Minum alkohol secara sederhana atau elakkannya.

    • Lakukan senaman yang mencukupi. Gaya hidup yang aktif membantu memastikan aliran darah yang baik bagi mencegah impotensi.

    • Hentikan merokok. Merokok menjejaskan saluran darah dan aliran darah ke zakar dan menyebabkan masalah impotensi.

    • Kurangkan tahap kolesterol - Kolesterol tinggi boleh terkumpul di dinding saluran darah sehingga menyebabkan mereka menjadi sempit. Ini akan melambatkan aliran darah ke zakar dan menyebabkan kesukaran mencapai ereksi. Dapatkan rawatan untuk menurunkan tahap kolesterol jika perlu.

    • Dapatkan rawatan untuk penyakit diabetes anda sekiranya perlu.

    • Dapatkan ujian untuk memantau tahap hormon testosterone anda. Hormon ini penting untuk ereksi berlaku tetapi ia biasanya berkurang semakin usia meningkat.Sekiranya ia terlalu rendah, masalah ini boleh dirawat.

    • Elakkan supplemen steroid.

    • Kurangkan tekanan stres anda.

Cara mengatasi impotensi

  • Pasangan atau isteri pihak lelaki yang menghadapi impotensi memainkan peranan yang penting bagi membantu untuk mengatasi masalah impotensi ini.  
  • Cara-cara mengatasi suami lemah syahwat yang boleh dilakukan adalah:
    • Mencari informasi mengenai impotensi. Dengan memahami keadaan ini, isteri lebih bersedia menghadapi kondisi ini bagi membantu mengelakkan ketidaksefahaman daripada berlaku.

    • Berbincang dengan suami mengenai masalah ini. Sifat empati dan sokongan isteri boleh membantu meningkatkan keyakinan suami dan mengurangkan tekanan emosi suaminya.

    • Ajak suami berjumpa doktor untuk diperiksa. Dengan mendapatkan pemeriksaan lanjut, sebab impotensi tersebut dapat dikenalpasti dan dirawat dengan efektif.

    • Amalkan gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko-risiko impotensi dan mengelakkan penyakit-penyakit yang menyebabkan impotensi. Galakkan suami untuk berhenti merokok dan kurangkan minuman beralkohol. Lakukan akitiviti senaman dan amalkan diet yang sihat bersama suami.

    • Cuba sesuatu yang baru bagi meningkatkan kegairahan dalam hubungan seks. Contohnya, lakukan “foreplay” untuk merangsangkan diri sebelum hubungan seks atau baca/ tonton sesuatu yang merangsangkan bersama-sama.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?