Mati Pucuk

Kesan Mati Pucuk (Erectile Dysfunction)

Baca Soalan

  • Impotensi adalah ketidakupayaan untuk mencapai ereksi yang memuaskan untuk melakukan hubungan seks apabila diinginkan. Masalah ini seringkali menjejaskan kesihatan mental seseorang kerana menimbulkan rasa bersalah, malu dan tekanan emosi.
  • Oleh itu, tidak hairanlah mengapa masalah ini seringkali menjejaskan hubungan seseorang bersama pasangannya. Gangguan emosi serta masalah rumah tangga boleh menyebabkan impak luas sehinggakan pekerjaan seseorang itu juga boleh terjejas secara tidak langsung.
  • Biasanya soalan-soalan yang ditimbulkan berkaitan dengan impotensi adalah jika seseorang dengan mati pucuk boleh dapat anak atau adakah mati pucuk boleh sembuh.
  • Sama ada keadaan ini boleh sembuh adalah bergantung kepada sebab mati pucuk itu dan jika ia boleh dirawat. Manakala kebolehan untuk mendapat anak adalah lebih bergantung kepada tahap kesuburan berbanding dengan tahap impotensi seseorang.
  • Masalah impotensi biasanya tidak menyebabkan apa-apa komplikasi fizikal yang serius.   
  • Beberapa contoh komplikasinya termasuk:
    • Kemurungan:

      • Impotensi boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang sehingga menyebabkan kemurungan. Kajian telah menunjukkan bahawa lelaki dengan impotensi dua kali lebih berpotensi untuk mendapat kemurungan jika dibandingkan dengan mereka yang tidak mempunyai impotensi.
    • Masalah reproduktif:

      • Soalan yang sering ditanya ialah adakah seseorang yang menghadapi masalah mati pucuk boleh dapat anak? Jawapannya ialah ya, seseorang itu masih mampu mendapat anak tetapi mereka mungkin akan menghadapi kesukaran.  

    • Impotensi menjadi penghalang untuk membantu pasangan wanita menjadi hamil secara semulajadi kerana kesukaran untuk melakukan hubungan seksual akibat kesukaran untuk mencapai ereksi.
    • Seseorang yang mempunyai masalah mati pucuk juga berisiko mempunyai masalah-masalah seksual lain seperti ejakulasi pramatang atau ketidakupayaan untuk ejakulasi. Masalah-masalah ini boleh menjejaskan lagi keupayaan seseorang untuk mendapat ereksi.
    • Walau bagaimanapun, seseorang yang mempunyai impotensi tidak bermaksud mereka mempunyai masalah kesuburan. Mereka masih boleh mempunyai sperma yang sihat yang diperlukan untuk mensenyawakan telur wanita.
    • Ini bermaksud seseorang dengan masalah mati pucuk masih boleh mendapat anak. Cuma jika masalah impotensi adalah teruk, bantuan pakar kesuburan mungkin diperlukan bagi menuai sperma dari testis supaya inseminasi artificial boleh dilakukan.

    Written by: Dr Ilias Yee

    MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

    18 Aug 2018
    Perlu Bantuan?