Ejakulasi Pramatang

Penyebab, Gejala, Diagnosis, Rawatan Dan Ubat Ejakulasi Pramatang (PE)

Baca Soalan

Ejakulasi Pramatang di Malaysia

Apakah masalah pancut awal? Pernahkan anda tertanya soalan ini?

Masalah pancut awal juga dikenali sebagai ejakulasi pramatang. Di Malaysia, dianggarkan sebanyak 47% dari lelaki berumur 18 tahun ke atas mempunyai masalah ejakulasi pramatang atau lebih popular dikenali sebagai premature ejaculation (PE). Di Malaysia, ia juga dikenali sebagai pancut awal, pancut cepat dan lelaki dianggap kurang ‘lelaki’ jika mereka mengalami masalah PE.

Malah di Amerika, 1 daripada 3 lelaki mempunyai masalah ini. Ia adalah salah satu masalah utama bagi disfungsi seksual selain daripada masalah mati pucuk. Masalah mati pucuk juga di kenali sebagai erectile dysfunction (ED) dan kedua-dua masalah ini berbeza namun mereka boleh datang serentak. Kesan masalah seksual disfungsi ini adalah besar dan tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh menganggu emosi pasangan dan kebahagiaan rumah tangga. Lagi mengeruhkan keadaan, hampir 8 daripada 10 lelaki yang mengalami PE tidak tahu mereka mengalami masalah ini. Hampir separuh dari pesakit tidak mengambil inisiatif untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan sebarang rawatan kerana stigma negetif dan perasaan malu. Bagi wanita yang mempunyai pasangan menghidap PE pula, sebanyak hampir 40% tidak menggalakkan pasangan mereka untuk mendapatkan rawatan.

Kesan buruk PE bukan sahaja memberi kesan kepada lelaki malah memberi kesan kepada pasangan dan rumah tangga. Sesetengah pasangan mengakui bahawa hubungan mereka terdapat jurang kerana masalah ini. Si lelaki menjauhkan diri, si wanita berasa tidak puas dan berbagai lagi alasan perkara ini terjadi akibat PE. Oleh itu, seseorang perlu mengetahui bahawa PE boleh dirawat dan perlu membuang sifat malu untuk mendapatkan khidmat nasihat doktor.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang bagaimana ejakulasi pramatang berlaku, kita perlu memahami terlebih dahulu apa itu ejakulasi.

Ejakulasi merupakan satu proses di mana badan melepaskan semen dari zakar. Semen ini mengandungi sperma yang penting untuk kemandirian spesies. Ejakulasi ini dikawal oleh sistem saraf utama. Apabila lelaki terangsang secara seksual, signal akan dihantar kepada otak dan saraf tunjang. Ketika ini proses ereksi juga berlaku. Setelah lelaki mencapai satu tahap kegersangan yang tertentu, signal kepada akan dihantar semula dari otak dan saraf tunjang kepada zakar dan organ reproduksi yang lain. Ini akan menyebabkan ejakulasi iaitu pelepasan cecair semen keluar badan. Terdapat 2 fasa ejakulasi, iaitu pelepasan (emission) dan pengusiran (expulsion).

Fasa 1: Pelepasan - fasa ini ialah ketika sperm bergerak dari testis ke prostate and bercampur dengan cecair seminal untuk menghasilkan semen oleh vasa deferentia.

Fasa 2: Pengusiran - fasa ini berlaku apabila otot di pangkal zakar mengecut. Ini akan memancutkan semen keluar dari zakar. Kebiasaannya ejakulasi dan orgasm (klimaks) berlaku serentak. Namun selepas ejakulasi, ereksi akan hilang.

Apakah maksud ejakulasi pramatang


Ejakulasi pramatang ialah situasi di mana seseorang mengalami ejakulasi lebih cepat daripada apa yang lelaki dan pasangan mahu. Pesakit mengalami ejakulasi kurang daripada 2 minit selepas ereksi. Selepas ejakulasi, zakar tidak lagi akan mengalami ereksi menjadikan sebarang hubungan seksual tidak boleh diteruskan. Ereksi diperlukan untuk penetrasi dan jika ini tidak boleh terjadi ia pasti akan memberi tekanan perasaan kepada lelaki dan pasangan.

Ejakulasi pramatang boleh dibahagikan kepada dua, iaitu ejakulasi pramatang primer atau sekunder.

Ejakulasi pramatang primer juga dikenali sebagai lifelong PE. Pesakit mengalami masalah ini bermula dengan hubungan seksual yang pertama lagi dan ini boleh berterusan sehingga ke hujung hayat. Kebanyakan pesakit ini hanya boleh bertahan selama 1 minit selepas ereksi sebelum ejakulasi.

Ejakulasi pramatang sekunder pula pesakit yang mempunyai masalah PE tetapi normal sebelum ini. Kebanyakkan pesakit ini adalah dari golongan orang yang lebih berumur dan mempunyai penyakit kronik yang lain.

Terdapat banyak sebab mengapa terjadinya ejakulasi pramatang. Ini boleh dibahagikan kepada 2 kumpulan besar iaitu disebabkan oleh masalah psikologi dan fizikal.

Psikologi bermakna seseorang mendapat masalah PE disebabkan oleh fikiran, perasaan dan emosi. Contoh adalah depressi, panik, cemas, masalah dalam hubungan dan perasaan gemuruh. Manakala itu, PE yang disebabkan oleh masalah fizikal adalah disebabkan oleh penyakit yang mungkin menyebabkan kerosakan pada organ reproduksi, sistem saraf, atau masalah sistemik secara amnya. Contoh penyakit adalah kencing manis, penyakit kelenjar tiroid, dan penyakit prostate.

Kebanyakan pesakit yang mengalami PE adalah disebabkan oleh masalah psikologi. Kebanyakan pesakit muda berasa gemuruh atau cemas ketika mula-mula melakukan aktiviti seksual menjadikan mereka mengalami ejakulasi pramatang walaupun sebelum sebarang penetrasi. Namun majoriti daripada mereka hanya memerlukan sekitar 2-3 bulan untuk mengatasi masalah ini tanpa memerlukan sebarang rawatan khusus. Jika ini masih tidak berhasil, kelas fisioterapi seksual boleh membantu untuk membasmi masalah PE yang disebabkan oleh psikologi.

Buat masa sekarang kajian menunjukkan seseorang yang mengalami masalah PE akan mempunyai tahap serotonin yang rendah. Serotonin ialah sejenis neurotransmitter yang mengawal mood dan emosi gembira. Seperti masalah depresi, masalah PE yang disebabkan oleh rendah tahap serotonin boleh dirawat dengan menggunakan ubat SSRI iaitu (Selective serotonin reuptake inhibitors). Namun, penggunaan ubat ini haruslah dirujuk terlebih dahulu kepada pakar kerana mempunyai beberapa kesan sampingan yang tidak diingini. Sekiranya pesakit juga mempunyai masalah erectile dysfunction atau mati pucuk bersama, masalah PE boleh hilang dengan sendiri sekiranya mati pucuk ini dirawat.

Sebagai konklusinya, masalah ejakulasi pramatang merupakan antara masalah disfungsi seksual utama yang membebankan pesakit dan pasangan. Dengan rawatan yang betul oleh doktor yang bertauliah ia boleh dirawat dan pesakit dan pasangan boleh mendapatkan hubungan seksual yang lebih berkualiti.

Perlu Bantuan?