Mati Pucuk

Apakah Disfungsi Seksual Dan Cara Merawat?

Baca Soalan

Definisi disfungsi seksual

Apabila seorang lelaki atau wanita mengalami masalah ketika melakukan hubungan seksual dan menyebabkan kepuasan seks tidak dapat dicapai ia merupakan disfungsi seksual. Ini juga adalah pengertian gangguan seksual. Masalah ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira jantina dan peringkat umur. Namun ia selalunya lebih kerap berlaku kepada golongan berusia 40 tahun ke atas.

Keadaan ini boleh terbahagi kepada beberapa jenis gangguan seksual:

- Masalah tiada keinginan atau kemahuan terhadap seks atau dipanggil masalah libido

- Masalah tidak mampu merasa ghairah walaupun telah dirangsang ketika melakukan hubungan seksual

- Masalah untuk mencapai orgasma atau klimaks – tidak boleh atau lambat mencapai orgasma

- Masalah kesakitan – sakit ketika melakukan hubungan seksual (Dyspareunia)

Masalah ini boleh dihadapi pada mana mana tahap kitaran response seksual (Sexual Response Cycle). Tahap – tahap tersebut adalah keinginan (libido), keghairahan (arousal), orgasma atau klimaks dan (resolution).

Simptom -simptom disfungsi seksual

Simptom disfungsi seksual pada lelaki:

  • (Erectile Dysfunction) Mati pucuk – tidak berjaya mencapai atau mengekalkan ereksi pada batang zakar

  • (Retarded Ejaculation) – tidak boleh mencapai tahap ejakulasi atau lewat mencapai ejakulasi walaupun telah mendapat ransangan seksual

  • (Premature Ejaculation) Ejakulasi pramatang – Mencapai ejakulasi atau pancutan terlalu awal atau tidak dapat mengawal ejakulasi.

Simptom disfungsi seksual pada wanita:

  • Tidak dapat mencapai orgasma atau klimaks

  • Faraj tidak mengeluarkan lendir pelincir sebelum dan sewaktu melakukan hubungan seksual

  • Tidak berjaya melonggarkan otot faraj bagi membolehkan hubungan seksual dilakukan

Simptom bagi wanita dan lelaki:

  • Tiada keinginan untuk melakukan seks

  • Tidak merasa ghairah walaupun telah dirangsang

  • Sakit ketika melakukan hubungan seksual

Punca disfungsi seksual

Punca Fizikal - masalah akibat penyakit

  • Diabetes Mellitus

  • Sakit jantung

  • Masalah pembuluh darah

  • Masalah fungsi saraf

  • Hormon tidak stabil

  • Sakit buah pinggang

  • Masalah hati

  • Kesan sampingan pengambilan alcohol, dadah dan ubat-ubatan seperti anti-depressant

  • Menopause

  • Masalah kelenjar tiroid

  • Artritis

  • Tidak boleh mengawal aliran air kencing

  • Kanser dan rawatan kanser seperti kemoterapi dan radioterapi

  • Kesan komplikasi pembedahan

Punca Psikologi – gangguan seksual psikologi abnormal

  • Tekanan di tempat kerja

  • Kemurungan (Depression)

  • Gemuruh (Anxiety)

  • Perasaan bersalah

  • Menghadapi masalah dalam hubungan dengan pasangan

  • Rendah diri dengan bentuk fizikal tubuh

  • Risau tentang kebolehan seks

  • Kesan trauma dalam hubungan seksual yang lampau

  • Kekeliruan jantina

Bagaimana disfungsi seksual dikenal pasti

Masalah disfungsi seksual selalunya didiagnos secara klinikal dengan berpandukan maklumat dari pesakit dan pemeriksaan fizikal. Ujian makmal jarang digunakan dalam mengenal pasti masalah ini. Namun begitu, sekiranya punca disfungsi seksual adalah disyaki disebabkan oleh masalah kesihatan seperti diabetes, ujian makmal bagi mengesahkan penyakit tersebut haruslah dilakukan.

Selain itu maklumat lanjut mengenai pandangan seseorang mengenai seks serta perkara yang boleh menyumbang kepada masalah ini seperti perasaan gemuruh, masalah kemurungan, ketakutan atau trauma akibat penderaan seksual yang pernah dilalui, masalah dalam hubungan, pengambilan ubat-ubatan tertentu, alkohol dan juga penyalahgunaan dadah haruslah diselidik agar punca disfungsi ereksi pesakit dapat dikenal pasti dan di atasi.

Rawatan disfungsi seksual

Rawatan bagi masalah ini adalah bergantung kepada puncanya. Kebanyakan pesakit mengalami masalah disfungsi seksual yang berpunca daripada gangguan psikologi. Oleh itu, dengan bantuan psikoterapi, sesi bimbingan dan kaunseling dapat mengatasi masalah ini. Pesakit biasanya disarankan untuk menghadiri sesi rawatan dengan pasangan untuk pemulihan yang lebih berkesan.

Terdapat banyak bantuan lain seperti terapi seks yang dikendalikan oleh ahli terapi untuk membantu pasangan yang bermasalah dalam mencapai kepuasan dalam hubungan seksual. Terapi tingkah laku pula adalah untuk membantu pesakit atau pasangan dalam mengetahui tabiat seks yang selamat dan tabiat yang membahayakan hubungan. Ia juga mengajar pesakit kemahiran seperti teknik rangsangan bagi mereka yang menghadapi masalah mencapai keghairahan dalam seks.

Rawatan lain adalah seperti psikoterapi yang boleh membantu pesakit mengatasi trauma akibat penderaan seksual, mereka yang merasa gemuruh atau bimbang dengan prestasi seks dengan pasangan, atau pesakit yang merasa rendah diri dengan keadaan fizikal mereka. Pendidikan seks turut memainkan peranan dalam memperbaiki masalah ini. Komunikasi antara pasangan adalah antara perkara penting dalam mencapai perkembangan positif rawatan, selain membantu pasangan lebih memahami antara satu sama lain, ia juga membolehkan hubungan seks yang sihat dan selamat boleh berlaku.

Selain yang dinyatakan di atas, penggunaan ubatan dan alatan boleh membantu dalam merawat masalah disfungsi ereksi. Ubatan yang boleh digunakan adalah seperti ubat yang mengandungi hormon bagi wanita dan lelaki yang mengalami masalah kekurangan hormon dalam tubuh. Bagi lelaki yang mengahidap masalah disfungsi ereksi, ubat-ubatan seperti Viagra atau Levitra dapat membantu memberikan ketegangan pada zakar dengan meningkatkan pengaliran darah ke bahagian tersebut. Alatan yang wujud di pasaran untuk membantu lelaki mencapai ereksi adalah seperti alat vakum atau alat implan pada zakar. Bagi wanita, alat yang dinamakan (Dilator) digunakan bagi membantu mereka yang menghidap masalah lubang faraj sempit.

Sebagai seorang individu, cara mengatasi gangguan seksual ini haruslah bermula dari dengan langkah dari dirinya sendiri. Antara langkah yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:

  • Sekiranya anda merasa keinginan seksual anda berkurang atau lebih rendah dari yang anda ingini, anda boleh cuba membuat perubahan terhadap rutin yang biasa dan lakukan ketika melakukan hubungan seksual.

  • Bagi wanita yang mengalami masalah kesakitan ketika melakukan hubungan seks iaitu ketika “penetrasi”, anda boleh menggunakan cecair pelincir untuk mengurangkan iritasi pada faraj. Pasangan kepada wanita yang mengalami masalah ini boleh cuba memanjangkan waktu (Arousal) bagi memastikan faraj wanita diselaputi lendir yang melincirkan kawasan tersebut sebelum melakukan “penetrasi”.

Cara lain yang boleh dilakukan dalam merawat dan mencegah disfungsi ereksi dalam kehidupan seharian adalah:

  • Meningkatkan kepercayaan dalam diri

  • Menerima bentuk fizikal diri dengan rasa syukur

  • Kurangkan tekanan dari tempat kerja atau tekanan sosial

  • Mengamalkan gaya hidup sihat dengan kerap bersenam, bersantai dan beriadah untuk menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan, mengambil makanan seimbang, tidak merokok dan kurangkan pengambilan alkohol

  • Dapatkan pandangan dan nasihat doktor sekiranya anda mengalami masalah dalam hubungan seksual seperti tidak berkeinginan dalam melakukan hubungan seksual, sakit ketika melakukan hubungan seksual, sukar mencapai tahap orgasma atau ejakulasi, mengalami tekanan perasaan atau kemurungan, atau menghadapi penderaan fizikal atau seksual.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?