Sifilis

Tanda Dan Gejala Jangkitan Sifilis (Syphilis)

Baca Soalan

  • Siflis merupakan penyakit kelamin yang sangat biasa di seluruh dunia. Jangkitan sifilis dikenali sebagai “The Great Imitator” atau penyamar yang terhebat oleh Sir William Osler kerana jangkitan sifilis boleh mengakibatkan pelbagai tanda dan gejala yang mirip dengan penyakit-penyakit lain.
  • Gejala sifilis pada wanita biasanya adalah sama dengan golongan lelaki. Jangkitan sifilis biasanya dikategorikan kepada 4 tahap. Ciri-ciri sifilis di setiap tahap adalah berlainan.

Primary syphillis (sifilis tahap pertama)

  • Gejala sifilis yang berlaku pada tahap pertama juga dikenali sebagai gejala sifilis ringan kerana jangkitan sifilis pada tahap ini biasanya tidak mendatangkan komplikasi yang serius.
  • Simtom-simtom sifilis pada tahap pertama ialah ulser atau primary chancre dan bengkak kelenjar limfa di bahagian peha. Ulser sifilis ini biasanya berwarna kemerah-merahan.
  • Ulser ini boleh menyebabkan kesakitan dan kegatalan pada sebahagian kecil pesakit.
  • Ulser ini boleh timbul di bahagian:
    • Zakar
    • Faraj
    • Dubur
    • Mulut
  • Primary chancre biasanya muncul 3 hari hingga 3 bulan selepas jangkitan sifilis dan akan hilang beberapa bulan kemudian.

Secondary syphillis (sifilis tahap kedua)

  • Jika jangkitan sifilis tidak dirawat, ruam sifilis akan timbul di seluruh badan. Ruam ini sering muncul di:
    • Tapak tangan
    • Tapak kaki
    • Bibir
    • Mulut
    • Kerongkong
    • Bahagian kemaluan dan dubur
  • Selain itu, pesakit juga boleh mengalami demam, selesema dan keletihan badan. Gejala sifilis tahap kedua biasanya akan hilang dalam masa satu hingga dua minggu tanpa rawatan.

Latent syphillis (sifilis terpendam)

  • Jangkitan sifilis yang tidak dirawat akan berterusan sebagai jangkitan sifilis yang terpendam. Pesakit sifilis pada tahap ini tidak akan mengalami sebarang gejala dan tanda. Tahap ini boleh berlarutan selama beberapa tahun.
  • Oleh itu, banyak pesakit pada tahap ini tidak menyedari bahawa mereka telah menghidap jangkitan sifilis dan golongan ini boleh terus menyebarkan kuman sifilis kepada orang lain melalui hubungan seks tanpa perlindungan atau perkongsian jarum dadah.
  • Walaupun tahap sifilis ini jarang menyebabkan gejala, kuman sifilis tetap boleh dikesan menggunakan ujian darah seperti VDRL.

Tertiary syphilis (sifilis tahap ketiga)

  • Sifilis tahap ketiga merupakan tahap yang paling serius. Gejala dan tanda sifilis tahap ketiga hanya muncul selepas bertahun-tahun.
  • Pada tahap ini, kuman spirochete telah merebak ke seluruh badan dan menjangkiti pelbagai organ dalaman seperti:
    • Otak
    • Jantung
    • Sistem saraf 
    • Tulang
  • Pesakit sifilis tahap ketiga sering mengalami masalah kesukaran berjalan, kekebasan, kebutaan dan pembengkakan pembuluh darah aorta.
  • Selain itu, gumma iaitu sejenis ketumbuhan sifilis boleh muncul di bahagian kepala, hidung, muka dan organ dalaman seperti hati dan otak.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?