Sifilis

Penyebab, Gejala, Diagnosis, Rawatan, Ubat Penyakit Sifilis (Syphilis)

Baca Soalan

Apakah Penyakit Sifilis

Seringkali ditanya, apa itu sifilis. Sifilis adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan daripada bakteria Treponema pallidum. Kebanyakan kes sifilis yang baru adalah di berpunca daripada transmisi melalui hubungan seksual. Ia mempunyai beberapa tanda-tanda yang menunjukkan tahap klinikal yang sedang dialami oleh pesakit. Kebiasaannya tahap-tahap klinikal ini dibahagikan kepada 3 iaitu; ‘primary’, ‘secondary’ dan ‘tertiary’ syphilis. Namun terdapat juga keadaan di mana bayi juga menghidapi penyakit ini disebabkan oleh jangkitan daripada ibunya. Ia dikenali sebagai ‘congenital syphilis’.

Kebanyakan jangkitan daripada penyakit ini berlaku secara sentuhan terutamanya sentuhan yang berlaku di dalam hubungan seksual. Sebahagian daripada cara lain penyakit ini boleh tersebar adalah dengan cara yang dikenali sebagai ‘vertical infection’. Ia adalah istilah yang digunakan di dalam menunjukkan penyebaran penyakit yang tersebar daripada seorang ibu kepada anaknya di dalam kandungan ataupun penyebaran jangkitan yang berlaku ketika proses kelahiran.

Epidemiologi Penyakit Sifilis

Pada tahun 2012, WHO telah menganggarkan terdapat sebanyak 18 juta kes sifilis yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa yang berumur dalam lingkungan 15 hingga 49 tahun. Sebanyak 5.6 juta kes-kes baru pula ditemui.

Sehingga tahun 2014, secara purata terdapat 17.2 kes-kes baru yang berlaku dalam kalangan 100,000 populasi wanita dan 17.7 kes-kes baru yang berlaku dalam kalangan 100,000 populasi lelaki. Kes yang tertinggi berlaku pada kawasan Pasifik Barat (93 kes daripada 100,00 populasi dewasa), diikuti dengan wilayah Afrika (46.6 kes daripada 100,000 populasi dewasa) dan wilayah Amerika (18 kes daripada 100,00 populasi dewasa).

Organisma Penyebab Sifilis

Penyakit sifilis berpunca daripada jangkitan oleh sejenis organisma yang dikenali sebagai Treponema pallidum. Ia pertama kali ditemui pada tahun 1905 dan berada di dalam keluarga bakteri yang dikenali sebagai Spirochaetales. Spirocehetes adalah sebuah keluarga bakteria yang berbentuk seperti pembuka penutup gabus ataupun ‘corkscrew opener’. Saiz bakteria ini hanyalah 10 hingga 13 micron panjang dan 0.15 micron lebar. Sangat kecil sehingga menyebabkan ianya sukar untuk dilihat menggunakan mikroskop biasa.

Transmisi Penyakit Sifilis

Bakteria Treponema pallidum boleh tersebar dengan sentuhan secara terus bersama kawasan berpenyakit semasa hubungan seksual. Ia juga boleh tersebar daripada seorang ibu yang mengandung kepada bayi yang berada di dalam kandungannya melalui sambungan uri.

Amat jarang sekali sifilis berjangkit melalui penerimaan derma darah. Hal ini kerana penderma darah akan disaring terlebih dahulu sebelum menderma dan Treponema pallidum juga tidak dapat hidup lebih daripada 24 hingga 48 jam di dalam suasana bank simpanan darah atau blood bank.

Penyebaran penyakit melalui hubungan seksual boleh berlaku sekiranya terdapat sentuhan kepada permukaan yang terdedah dan mempunyai organisma yang aktif pada sifilis tahap ‘primary’. Pada sifilis tahap ‘secondary’ pula, jangkitan boleh tersebar dengan sentuhan pada kawasan-kawasan dikenali sebagai ‘mucus patches’ dan ‘condyloma lata’ yang terbentuk pada tahap ini. Kawasan-kawasan yang telah disebutkan ini mempunyai kadar penyebaran jangkitan yang amat tinggi.

Namun, perkara sebaliknya berlaku kepada kawasan kulit yang terlibat pada sifilis tahap ‘secondary’. Kadar penyebaran yang berlaku pada tahap ini tidaklah setinggi kawasan-kawasan yang disebutkan di atas walaupun ia sedang berada di dalam tahap yang sama.

Sebagai maklumat umum, Treponema pallidum boleh memulakan jangkitan apabila terdapat penyebaran bakteria yang berlaku sama ada sentuhan secara terus ataupun sentuhan dengan cecair-cecair yang dikeluarkan oleh jangkitan. Sebarang sentuhan yang mengandungi bakteria seperti ciuman, sentuhan mulut, kulit, alat kelamin dan di mana-mana sahaja boleh menyebabkan jangkitan.

Pesakit yang mendapat jangkitan sifilis juga turut boleh mendapat jangkitan penyakit-penyakit seksual yang lain. Sebagai contoh, jangkitan HIV. Sebuah kajian telah dijalankan dalam kalangan lelaki yang mengalami jangkitan sifilis primary dan secondary. Setiap seorang daripada 20 orang yang didiagnos mempunyai sifilis didapati mengalami HIV setahun selepas diagnosis sifilis telah diputuskan.

Tahap-tahap Penyakit Sifilis

Tahap utama bagi penyakit sifilis boleh dibahagikan kepada beberapa tahap iaitu:

  1. Sifilis tahap awal (Early syphilis):

    1. Sifilis tahap awal boleh dikategorikan kepada sifilis ‘primary’ dan sifilis ‘secondary’ yang biasanya berlaku di dalam jangka masa beberapa minggu sehingga beberapa bulan selepas jangkitan bermula.

    2. ‘Early latent syphilis’ juga termasuk di dalam kategori ini. Iaitu suatu keadaan di mana tiada sebarang simptom ditunjukkan walaupun seseorang itu telah dijangkiti sifilis selama 12 bulan.

  1. Sifilis tahap ‘lewat’ (Late syphilis):

    1. Berlaku kepada pesakit-pesakit yang tidak mendapatkan rawatan awal selepas jangkitan bermula.

    1. Juga boleh dikategorikan kepada pesakit yang mengalami komplikasi yang teruk disebabkan oleh penyakit ini.

    1. Tanda-tanda klinikal kepada pesakit-pesakit akibat daripada jangkitan ini boleh berlaku di dalam masa satu hingga 30 tahun selepas jangkitan telah bermula

Rumusan

Sebagai rumusan, penyakit sifilis boleh berjangkit pada mana-mana sahaja tahap. Pesakit yang berada di dalam tahap ‘early latent syphilis’ juga dikira mudah untuk menyebarkan jangkitan disebabkan oleh kawasan yang pada asalnya menunjukkan kawasan yang aktif. Namun setelah beberapa ketika, kawasan aktif tersebut hilang daripada kelihatan ataupun terlepas daripada pemeriksaan awal, ianya masih aktif di dalam menyebarkan jangkitan.

Pesakit sifilis boleh muncul dengan pelbagai simptom dan tanda-tanda klinikal bergantung kepada tahap sifilis yang sedang dilalui. Sesetengah daripada pesakit didapati mempunyai sifilis hanya setelah ujian makmal dilakukan namun tidak menunjukkan sebarang simptom langsung seperti ‘latent syphilis’.

Bakteria Treponema pallidum mendapat akses untuk memasuki kulit melalui bukaan yang berlaku kepada kulit disebabkan oleh geseran yang berlaku walaupun bukaan tersebut amat kecil untuk dilihat dengan mata kasar. Walaupun bakteria ini dikira membahagikan diri dengan kadar yang perlahan berbanding bakteria-bakteria lain, namun ia bertindak dengan pantas untuk mengelak daripada diserang sistem imun tubuh badan dan menunjukkan tanda-tanda pertama penyakit sifilis iaitu ‘chancre’ (akan dibincangan dengan lebih lanjut). Pada peringkat awal, bakteria melaksanakan aktiviti replikasi pada bahagian yang terlibat dan sebahagian daripada bakteria sifilis ini bergerak menuju kepada saluran limfa serta menyerang nod limfa berdekatan.

Secara ringkas, tanda-tanda contoh sifilis pada tahap ‘primary’ adalah dengan tanda-tanda pada kulit yang dikenali sebagai chancre dan pembengkakan nod limfa yang berdekatan dengan kawasan pertama terkena jangkitan.

Tahap ‘secondary’ pula adalah dengan munculnya ruam-ruam, demam, kelenjar-kelenjar yang bengkak. Kehilangan berat badan, rambut-rambut gugur, pening kepala, berasa amat penat dan sengal-sengal otot.

Tahap ‘tertiary’ pula adalah tahap terakhir dan ia boleh muncul selepas sehingga 10 hingga 30 tahun selepas terkena jangkitan pertama. Komplikasi-kompikasi yang boleh berlaku termasuklah masalah urat saraf serta pada otak, masalah stroke, radang pada sekeliling otak dan saraf tunjang, berasa kebas-kebas, kehilangan pendengaran dan penglihatan serta lain-lain.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?