
shameen.azmi91
3 tahun
Batuk berlarutan yang lama
hi. Saya nak tanya tentang batuk saya. Dalam keadaan sekarang ni saya risau jika saya dijangkiti covid 19. Tapi saya tak de kemana selain kerja, beli barang dapur dan balik rumah terus mandi. Saya memang ada masalah batuk dah lama. Setiap kali batuk memang non stop susah nak stop. Saya dah check tibi, xray semua tapi tak de. Sekarang ni saya kerap batuk. Doc ada pesan saya tak boleh makan makanan yang pedas berminyak atau ayam. Tapi memang saya makan semua tu. Jadi perlu tak saya pergi buat screening test covid tu? Sebelum nikah haritu saya ada buat RTK test dan negative pada bulan 3. Saya masih batuk2 lagi masa tu. Baru2 ni ada pergi kk doc cakap saya memang batuk biasa. Saya check asma semua. Doc cakap tak de apa. Ada bagi saya antibiotik je. Dah okay sikit lepastu saya tak pantang makan je. Macam mana ya doc?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
3 tahun
Hai, terima kasih kerana menghubungi kami untuk bertanyakan masalah anda.
Umum mengetahui, wabak COVID-19 negara masih belum berakhir, justeru, kami memahami kebimbangan anda dalam hal ini. Untuk makluman anda, secara umum, batuk yang berpanjangan boleh disebabkan oleh pelbagai perkara. Antaranya ialah:
- Penyakit tibi - tibi kadang-kala sukar untuk ditemui dalam x-ray
- Penyakit asma - asma kerap menyerang pada waktu malam
- Asid refluks (gastrik) - asid perut yang memasuki saluran udara boleh menyebabkan refleks batuk berpanjangan
- Jangkitan saluran udara oleh virus
Menurut KKM, kumpulan yang wajib membuat ujian saringan ( swab test ) adalah kontak rapat dan mereka yang mempunyai gejala. Kontak rapat COVID-19 adalah mereka yang berhubung rapat dalam lingkungan SATU meter dengan kes yang telah DISAHKAN POSITIF.
Menurut KKM juga, kontak rapat adalah dikategorikan kepada kumpulan berikut:
- Pendedahan daripada penjagaan kesihatan, seperti petugas kesihatan yang mengendalikan kes Covid-19 tanpa kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) sewajarnya, pelawat, dan pesakit di dalam wad sama dengan pesakit Covid-19.
- Orang yang bekerja bersama pesakit Covid-19 dalam persekitaran yang rapat, atau berkongsi bilik kelas dengannya.
- Orang yang membuat perjalanan bersama pesakit Covid-19 dalam apa jenis pengangkutan pun.
- Orang yang tinggal dalam rumah yang sama dengan pesakit Covid-19.
Selain itu, sebagai makluman awal, gejala yang dialami oleh seseorang individu ke individu yang lain adalah berbeza. Tiada corak tetap yang boleh menunjukkan bahawa gejala yang dialami pasti disebabkan oleh COVID-19. Menurut WHO, simptom-simptom COVID-19 yang lebih lazim dilaporkan ialah:
- Demam (lebih daripada 37.5 darjah celsius)
- Keletihan
- Batuk
- Lenguh dan sakit sendi
- Sakit tekak
- Sakit kepala
- Kesukaran bernafas
- Hilang deria bau
Walaubagaimanapun, sukar untuk menentukan adakah ianya jangkitan covid atau masalah lain yang boleh menyebabkan gejala sama seperti yang tertera dengan hanya menilai simptom sahaja. Oleh itu, penilaian risiko hendaklah dilakukan bagi membantu pakar perubatan membuat keputusan.
Justeru, anda digalakkan agar melakukan ujian penilaian risiko COVID-19 untuk menilai status kesihatan anda berkenaan dengan wabak ini.
Melalui ujian ini anda akan dikelaskan kepada beberapa kategori dan ikuti nasihat yang tertera di penghujung kuiz untuk langkah seterusnya.
Tingkatkan ketahanan sistem imun tubuh dengan mengambil makanan seimbang dan berkhasiat.
Jika anda mempunyai keraguan, kami nasihatkan anda untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan kesimpulan yang lebih tepat. . Sila klik link ( DoctorOnCall ) untuk berhubung dengan doktor kami secara peribadi.Anda juga boleh mengklik pautan ini untuk meminta secara langsung ujian saringan COVID-19 . Atau hubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis ( CPRC ).
Talian CPRC:
0388810200
+60178429454
cprc@moh.gov.my
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Terima kasih.