Sulit
3 tahun
Masalah keputihan dan haid tidak teratur
Saya berumur 20 tahun dan masih bujang. Saya memang mempunyai masalah keputihan. Saya juga kadang-kadang terlewat datang haid. Anggaran dalam setahun 2,3 kali terlewat datang haid.
Untuk bulan ini, haid saya sudah lewat hampir 40 hari. Dan keputihan saya keluar dalam pelbagai jenis tekstur untuk bulan ini. Tetapi, pada pagi tadi, saya cek terdapat cecair berwarna coklat, keruh, agak pekat dan tidak berbau. Kemudian saya cek pada waktu tengahari, cecairnya sudah berkurang, dan warnanya bercampur antara hijau dan kuning. Saya keliru samada cecair coklat yang keluar pada waktu pagi itu, keputihan atau haid? Adakah masalah keputihan saya kritikal?
3 tahun
Hai! Selamat sejahtera dan terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami.
Kami memahami kebimbangan anda tentang masalah keputihan yang anda hadapi. Untuk makluman anda, walaupun keputihan merupakan fenomena normal yang sering berlaku keatas wanita, namun ia juga boleh menjadi petanda kepada pelbagai penyakit. Bagi memudahkan pemahaman, keputihan boleh dicerakinkan kepada dua klasifikasi besar iaitu keputihan yang berlaku disebabkan fisiologi normal badan ataupun berpunca daripada sakit penyakit atau juga dikenali sebagai patologik.
- Keputihan fisiologi
Keputihan fisiologi selalunya hadir pada ketika wanita itu sedang subur ataupun sebelum datang haid. Bagi keputihan normal, kelazimannya ia berwarna putih atau krim dan ada kalanya berlendir. Namun, lendir bagi keputihan fisiologi bersifat cair, tidak melekat, tidak berbau dan dalam kuantiti yang sedikit. Jika perkara yang sebaliknya berlaku, ia berkemungkinan merupakan keputihan patologik.
- Keputihan patologik
Bertentangan dengan ciri-ciri keputihan fisiologi, keputihan patologik kebiasaannya berwarna kuning, hijau dan ada kalanya berwarna kelabu mengikut jenis patologi atau penyakit yang berlaku. Keputihan patologik berlaku pada ketika seseorang itu mengalami jangkitan atau keradangan. Ciri tambahan yang ada pada keputihan patologik ialah ia selalunya menyebabkan pesakit mengalami kegatalan pada kawasan kemaluan. Permukaan kulit pada faraj pesakit juga akan kelihatan kemerah-merahan dan berbintik. Bagi keputihan jenis ini pula, tekstur lendir yang dikeluarkan terasa melekat dan berbau. Keputihan patologik memerlukan rawatan yang terperinci kerana ia menandakan bahawa seseorang itu mengalami penyakit.
Terdapat beberapa punca keputihan patologik, antaranya ialah:
- jangkitan kuman (parasit, bakteria dan yis)
- ketidaksemibangan hormon
- masalah kesihatan
- gaya hidup yang tidak sihat
Terdapat beberapa penjelasan atau faktor dan penyakit yang boleh menjelaskan masalah anda iaitu:
- Ketidakseimbangan hormon yang boleh disebabkan oleh pelbagai faktor
- Gangguan stress
- Senaman yang berlebihan
- Berat badan yang tidak seimbang
- Jangkitan STI ( Sexual transmitted infection ) atau jangkitan salur kencing (UTI)
- Penyakit sista ovari (PCOS) yang boleh menyebabkan gangguan atas hormon kitaran haid
- Masalah tiroid. Ini selalunya disampingi oleh simptom-simptom tiroid seperti menggigil, kegelisahan, berpeluh malam serta degupan jantung laju.
- Ketumbuhan fibroid atau polip dalam rahim, yang boleh menggangu kelancaran pengeluaran darah. Selalunya akan ada ketulan darah atau lendiran coklat
- Ketumbuhan tisu rahim pada luar organ rahim ( Endometriosis )
- Kanser ovari atau rahim
- Penyakit keradangan pelvis yang boleh disebabkan oleh jangkitan STI ( Sexual transmitted infection ). Namun, ia akan disampingi oleh sakit perut bawah pusat serta masalah kencing sakit.
- Masalah pendarahan yang boleh menyebabkan haid berpanjangan
Tempuhi waktu datang bulan anda dengan selesa tanpa kebocoran.
Kami sarankan anda mencuba demikian untuk memperbaiki kitaran haid anda iaitu:
- Kurangkan stress
- Amalkan pemakanan yang sihat mengandungi fiber dan vitamin
- Cukupkan rehat dan tidur
- Amalkan senaman yang seimbang (tidak kurang dan tidak lebih).
- Banyakkan minum air
- Kurangkan pemakanan yang kurang berkhasiat
- Kurangkan merokok dan minum alkohol.
Sekiranya gejala ini berlarutan, kami nasihatkan anda untuk berjumpa dengan doktor anda mengenai perkara ini untuk mendapatkan siasatan kesihatan lebih lanjut bagi mengenal punca masalah anda, serta mendapatkan rawatan yang sesuai.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tambahan, anda boleh klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian bagi mendapatkan penerangan dan nasihat atau rawatan yang diperlukan. Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Terima kasih.
Anda masih risau tentang haid tidak teratur ? Pakar sakit puan (Gynaecologist) boleh membantu!