Hepatitis A

Penyebab Penyakit Hepatitis A

Baca Soalan

Hepatitis A: Gejala dan kesannya kepada komuniti

  • Hepatitis A adalah penyakit yang memberi kesan buruk kepada hati manusia dan ianya disebabkan oleh virus hepatitis A. Penyakit ini bukan seperti Hepatitis B dan C, di mana virus tersebut akan menyebabkan penyakit hati kronik seperti sirosis dan kanser hati.
  • Satu perkara yang dikhuatiri berlaku walaupun kejadian ini jarang adalah hepatitis fulminant iaitu kegagalan hati akut, yang boleh membawa maut. Hepatitis A adalah satu penyakit yang terjadi di seluruh dunia dan boleh memberi kesan buruk dari segi ekonomi dan sosial dalam komuniti.
  • Ini kerana ia boleh mengambil masa berminggu-minggu ataupun berbulan untuk pesakit sembuh dan kembali ke sekolah, kerja, ataupun kehidupan seharian.

Cara penularan Hepatitis A

  • Hepatitis A menular melalui laluan dubur-mulut (faeco-oral route) iaitu apabila seseorang yang tidak pernah dijangkiti virus ini, menelan makanan atau air yang telah tercemar dengan najis atau air kencing orang yang dijangkiti.
  • Antara penyebab hepatitis A adalah seperti yang berikut:
    • Makan makanan yang disediakan oleh seseorang yang mempunyai jangkitan tersebut dan tidak membasuh tangan dengan bersih, atau penyedia makanan membasuh tangan dalam air kumbahan.

    • Meminum air yang tercemar (termasuk kiub ais)

    • Makan kerang mentah atau kurang masak

    • Melakukan hubungan seks dengan seseorang yang mempunyai jangkitan, terutamanya jika anda menyentuh rektum mereka (laluan belakang) dengan jari, mulut atau lidah anda.

    • Peralatan untuk memberi suntikan ubat tercemar dengan virus hepatitis A

Gejala hepatitis A

  • Individu yang mengalami hepatitis A akan mengalami gejala-gejala seperti:
    • Demam
    • Keletihan
    • Kurang selera makan
    • Loya dan muntah
    • Putih mata dan kulit kekuningan (jaundice)
    • Air kencing warna “teh O” 
    • Sakit perut
  • Sakit ini lebih kuat di bahagian atas kanan perut. Kanak-kanak selalunya akan mengalami sakit ringan ataupun tiada gejala langsung, tetapi orang dewasa akan mengalami gejala-gejala ini dengan teruk.

Cara mencegah jangkitan hepatitis A

  • Walaupun punca hepatitis A sudah diketahui, ia tidak begitu senang untuk mencegahnya kerana penyakit ini sudah pun mula berjangkit 2 minggu sebelum gejala timbul di badan pesakit.
  • Namun begitu, terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil oleh populasi untuk mengelakkan penyakit ini.
  • Antara langkah-langkah tersebut adalah untuk mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi, iaitu dengan membasuh tangan menggunakan air dan sabun selepas berkunjung ke tandas dan juga sebelum menyediakan makanan.
  • Selain itu, hanya makan makanan yang telah dimasak dengan sempurna ataupun makanan panas. Elakkan minum air yang telah dimasak di restoran, dan pilih air mineral yang telah dibotolkan.
  • Terdapat juga vaksin hepatitis A (vaccination), yang boleh diambil dan juga sangat disarankan jika anda hendak melancong ke luar negara. Penularan hepatitis A hanya boleh dielakkan dengan kerjasama seluruh populasi.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?