Gallstone

Penyebab, Gejala, Diagnosis, Ubat Penyakit Gallstones (Batu Karang Hempedu)

Baca Soalan

Penyakit batu hempedu

Penyakit batu hempedu merupakan sebuah penyakit yang dikenali sebagai ‘gallstone’. Ia adalah suatu keadaan yang boleh disebabkan oleh pengumpulan bahan-bahan semulajadi seperti kolesterol, kalsium, garam bilirubin, dan juga bendasing seperti jangkitan-jangkitan parasit ataupun bakteria di dalam hempedu. Bahan-bahan ini akan membentuk ketulan-ketulan yang kelihatan seperti batu-batu pelbagai saiz.

Ia merupakan sebuah kondisi yang tidak jarang berlaku terutamanya kepada populasi barat. Di negara Amerika Syarikat, keadaan ini dialami oleh seramai 6% daripada kalangan lelaki dan 9% daripada kalangan wanita. Di negara Itali pula sebuah kajian telah mendapati bahawa seramai 18% daripada kalangan wanita dan 9.5% daripada kalangan lelaki mengalami batu hempedu. Faktor-faktor etnik juga turut mempengaruhi kekerapan insiden-insiden penyakit yang berlaku.

Di dalam kebanyakan kes, jika batu hempedu ini tidak diuruskan dengan baik, kejadian yang dikenali sebagai ‘acute cholecystitis’ di mana pesakit akan mengalami kesakitan yang berlaku secara mendadak pada bahagian ulu hati dan kadang kala kesakitan yang dikenali sebagai referred pain dapat dirasai pada bahagian bahu kanan. ‘Acute cholecystitis’ merupakan keadaan yang berlaku apabila dinding hempedu mengalami keradangan.

Seramai 20% daripada kalangan pesakit-pesakit yang mempunyai batu hempedu akan menunjukkan simptom-simptom. Manakala selebihnya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ataupun simptom.

Apa Itu Hempedu

Hempedu merupakan sebuah organ kecil yang terletak bersebelahan kanan hati. Ia berbentuk seperti buah pir dan ia boleh diibaratkan sebagai sebuah kantung untuk menakung cecair ‘bile’ yang dihasilkan oleh organ hati. Ia berukuran lebih kurang 7 hingga 10 centimeter panjang dan 4 centimeter pada diameter apabila ia diisi penuh serta mempunyai kapasiti sebanyak 50 mililiter.

Ia dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu ‘fundus’, ‘body’ (badan) dan ‘neck’ (leher). Fundus adalah bahagian yang terletak paling hujung dan menghadap bahagian hadapan dinding dalam abdomen. ‘Body’ pula terletak pada bahagian yang bersentuhan dengan organ hati manakala ‘neck’ pula adalah bahagian yang bersambung dengan ‘cystic duct’. Cystic duct adalah seperti paip yang menjadi saluran keluar-masuk ‘bile’ daripada hempedu.

Organ ini mempunyai pelbagai variasi seperti bentuk, saiz dan lokasi bergantung kepada individu-individu tertentu.

Fungsi hempedu

Fungsi utama hempedu adalah untuk menyimpan cecair yang dihasilkan oleh hati. Ianya dikenali sebagai ‘bile’. Ia adalah cecair berwarna hijau-coklat yang bersifat alkali, berperanan di dalam proses penghadaman ‘lipid’ iaitu molekul yang paling kecil untuk lemak. ‘Bile’ dihasilkan oleh hati secara berterusan dan ianya akan disimpan di dalam hempedu untuk sehingga menjadi pekat.

Apabila makanan yang dimakan memasuki usus, bile akan dirembeskan ke dalam sistem pencernaan untuk membantu penghadaman lemak. Ia turut membantu di dalam penyerapan vitamin-vitamin yang akan diserap ke dalam tubuh bersama lemak iaitu vitamin A, D, E dan K. Sifat alkali ‘bile’ akan meneutralkan makanan yang berasid daripada perut dan juga akan turut memusnahkan bakteria-bakteria yang berada di dalam makanan.

Semasa seseorang itu tidak makan, hempedu akan mengumpulkan dan menjadikan ‘bile’ yang dihasilkan daripada hati supaya pekat. Apabila makanan memasuki sistem pencernaan, hempedu akan mengecut, ‘bile’ akan dirembeskan untuk bercampur dengan makanan. Selepas beberapa jam, kantung hempedu akan kembali mengembung dan ‘bile’ akan diisi semula.

Dalam sesetengah pendapat, terdapat beberapa makanan penyebab batu hempedu yang boleh dielakkan.

Batu Hempedu

Apakah itu batu hempedu dan adakah ianya berbahaya? Batu hempedu adalah satu istilah yang digunakan apabila terdapat ketulan-ketulan seperti batu terbentuk di dalam hempedu. Sesetengah orang memanggilnya dengan nama batu karang hempedu dan batu hempedu dalam English adalah gall stone. Ia boleh datang dengan pelbagai saiz sekecil-kecil seketul batu biasa sehinggalah bersaiz sebesar hempedu itu sendiri. Namun, kebiasaannya ia bersaiz kurang daripada 2.5 cm.

Terdapat dua jenis batu hempedu yang biasa ditemui iaitu batu hempedu kolesterol dan batu hempedu pigmen. Amat penting supaya dibezakan jenis batu hempedu yang dialami oleh pesakit. Hal ini kerana batu hempedu jenis kolesterol yang biasanya boleh diuruskan tanpa menggunakan kaedah pembedahan berbanding batu hempedu pigmen.

  1. Batu Hempedu Jenis Kolesterol

    1. Ia adalah jenis yang paling biasa dialami oleh pesakit. Ia berwarna kuning-hijau dan merangkumi 80% daripada kes-kes batu hempedu.

    2. Berlaku kepada individu-individu yang mempunyai faktor-faktor genetik dan semulajadi yang menyebabkan garam ‘bile’ mengandungi kandungan kolesterol yang pekat

    3. Batu hemepedu kolesterol terdiri daripada kalsium, palmitate dan garam bilirubin.

  1. Batu Hempedu Berpigmen Hitam

    1. Terhasil daripada proses hemolisis daripada darah

    2. Mengandungi ‘calcium bilirubinate’

  1. Batu Hempedu Berpigmen Coklat

    1. Terjadi apabila terdapat jangkitan bakteria ataupun parasit di dalam sistem biliari

    2. Sering dijumpai pada sistem biliari yang pernah melalui sesuatu prosedur

  1. Batu Hempedu Bercampur

    1. Mengandungi campuran pelbagai jenis bahan-bahan yang membentuk batu hempedu

    2. Contoh bahan-bahan; calcium carbonate, palmitate phosphate, bilirubin dan pigmen-pigmen ‘bile’.

    3. Kandungan kalsium boleh membuatkan batu hempedu jenis ini dapat dikesan melalui x-ray.

Istilah-istilah Yang Berkaitan Batu Hempedu

Di dalam bahasa perubatan, batu hempedu dikenali sebagai ‘cholelithiasis’ yang secara terjemahannya di dalam bahasa greek: “proses penghasilan batu hempedu”. Ia boleh menyebabkan ‘choledocholithiasis’ iaitu saluran hempedu menjadi tersumbat. Saluran yang tersumbat ini akan menyebabkan keradangan berlaku yang dikenali sebagai ‘cholangitis’.

Kesan Batu Hempedu

Tanda-tanda klinikal:

  1. Tidak mempunyai sebarang simptom

    • Kebanyakan daripada kes-kes batu hemepdu tidak menunjukan sebarang simptom

    • Ia boleh ditemui secara tidak sengaja ketika melakukan pemeriksaan ‘imaging’ pada tubuh badan

    • Simptom yang biasa ditunjukkan oleh pesakit adalah berasa senak pada bahagian ulu hati

    • Jarang-jarang seseorang pesakit itu terus mengalami komplikasi tanpa menunjukkan sebarang simptom-simptom senak

  1. Mempunyai simptom

    • Senak pada bahagian ulu hati

      • Ini adalah simptom yang paling biasa berlaku

      • Kebiasaanya berlaku selepas pesakit mengambil makanan yang berlemak, apabila hemepdu mengecut untuk merembeskan ‘bile’ ke dalam sistem pencernaan

      • Pesakit biasanya akan berpeluh, berasa mual-mual dan muntah-muntah apabila simptom tersebut berlaku

    • Simptom-simptom yang jarang:

      • Kerap sendawa

      • Perut berasa penuh dengan segera selepas makan

      • Regurgitasi: berasa makanan atau asid perut naik ke tekak

      • Kembung perut

      • Kesakitan pada bahagian ulu hati atau berasa

      • Berasa mual dan muntah-muntah

      • Sakit dada

      • Sakit yang tidak spesifik pada bahagian abdomen

Komplikasi ataupun bahaya batu hempedu yang boleh berlaku:

  1. Cholescystitis

    • Kesakitan yang berlaku disebabkan oleh batu hempedu

    • Ia boleh berlaku sama ada di dalam keadaan akut ataupun kronik. Akut bermaksud berlaku secara mendadak, kronik pula bermaksud berlaku secara berpanjangan

  1. Choledocholithiasis bersama atau tidak bersama cholangitis

    • Choledocholithiasis: Sebuah keadaan di mana batu hempedu telah beralih daripada kantung hempedu ke dalam saluran ‘bile duct’

    • Cholangitis: Radang yang berlaku di dalam saluran biliari. Pesakit akan mengalami demam, jaundis dan sakit perut

  1. Radang pankreas disebabkan oleh batu hempedu

    • Batu hempedu pada saluran biliari menyebabkan aliran ‘bile’ berlaku pada arah yang berlawanan menuju ke pankreas

    • Iritasi daripada cecair ‘bile’ ini akan menyebabkan pankreas menjadi radang

  1. Lain-lain komplikasi

    • Kanser kantung hempedu

    • Batu hempedu beralih ke dalam usus

    • Sindrom Mirizzi: berlaku apabila batu berada di dalam saluran kepada hempedu. Namun batu tersebut turut menyebabkan saluran biliari tersumbat dengan menekan saluran biliari daripada luar. 

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?