Kulat di Faraj

Bagaimana Cara Pencegahan Penyakit Kandidiasis (Candidiasis)

Baca Soalan

Jangkitan kandidiasis adalah disebabkan oleh jangkitan kulat Candida. Candida sememangnya hidup pada kulit dan di sesetengah bahagian badan manusia (seperti di dalam faraj). Biasanya kulat ini tidak menyebabkan sebarang masalah tetapi, jika pertumbuhan Candida secara berlebihan terjadi, jangkitan kandidiasis akan berlaku.

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko bagi jangkitan kandidiasis termasuk kehamilan, penggunaan ubat antibiotik, kontraseptif hormon, perubahan pH faraj akibat darah haid atau air mani, penyakit diabetes mellitus, pembilasan faraj dan sistem imun lemah (contoh: pengambilan ubat steroid dan kemoterapi atau jangkitan HIV). Pakaian ketat dan peluh yang banyak juga boleh meningkatkan kelembapan dan persekitaran ini boleh mengalakkan pertumbuhan kulat yang berlebihan.

Jangkitan kandidiasis boleh menyebabkan gejala-gejala yang amat tidak selesa seperti keputihan dan kegatalan di tempat kemaluan, kesakitan kulit daripada menggaru kulit, kemerahan, bengkak dan retak di dinding faraj serta kesakitan apabila membuang air kecil atau ketika hubungan seks.

Cara menghilangkan / mengatasi kegatalan pada faraj dan kemaluan

Cara mengatasi gatal pada kemaluan akibat keputihan adalah dengan menghapuskan jangkitan kandidiasis ini. Rawatannya adalah menggunakan ubat antikulat. Anda akan diberikan krim antikulat untuk digunakan di kawasan kemaluan, tablet yang anda masukkan ke dalam faraj anda, pil untuk dimakan atau kombinasi ubat-ubat ini.

Pastikan anda menggunakan ubat ini mengikut arahan dan habiskan ubat anda untuk mengelakkan daripada jangkitan berulang. Anda juga boleh menggunakan emolien (pelembap) bagi mengurangkan kesakitan dan kegatalan kulit di sekeliling faraj anda.

Sekiranya jangkitan anda adalah akibat penyakit lain seperti penyakit diabetes, pastikan anda menerima rawatan yang mencukupi untuk mengawal penyakit anda.

Cara mencegah / menghindari jangkitan kandidiasis

Terdapat pelbagai cara yang boleh diambil untuk mencegah jangkitan kandidiasis seperti:

  • Elakkan pakaian yang ketat atau sintetik seperti seluar dalam nilon, legging, lycra, jeans dan seluar ketat. Pakai pakaian yang longgar dan yang diperbuat daripada kapas.

  • Pastikan kawasan kemaluan dan pangkal paha sentiasa bersih dan kering. Tukar kepada pakaian yang kering sekiranya baju anda basah.

  • Basuh dan lapkan bahagian kemaluan anda dari hadapan ke belakang.

  • Basuh kemaluan dengan air garam atau air kosong sahaja.

  • Jangan membilas bahagian dalaman faraj anda. Produk kebersihan wanita seperti pencuci faraj (douch) boleh mengganggu keseimbangan bakteria dalam faraj dengan menghapuskan bakteria baik yang sepatutnya berada di dalam faraj untuk melawan jangkitan.

  • Elakkan penggunaan produk wangi di kawasan kemaluan seperti sabun wangi, penyembur kemaluan, deodoran faraj, kain lap wangi, tampon dan tuala wanita yang berwangi serta bahan lain seperti pembasmi kuman dan antiseptik yang boleh menyebabkan iritasi.

  • Ketika haid, kerap tukarkan tampon, pad dan seluar dalam anda.

  • Jika anda menghidap penyakit diabetes, pastikan paras gula darah anda dikawal dengan baik.

  • Gunakan ubat antibiotik hanya jika anda memerlukannya.

Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
*Maklumat anda akan kami lindungi. Tiada penjualan kepada pihak ketiga