Kulat di Faraj

Penyebab, Gejala, Diagnosis Dan Ubat Sesuai Untuk Penyakit Kandidiasis

Baca Soalan

Definisi kandidiasis

Terdapat banyak jenis kulat yang hidup secara normal di dalam tubuh manusia tanpa memberi apa-apa kesan. Ini kerana jumlah mereka yang tidak banyak disebabkan oleh keadaan tubuh badan manusia yang boleh menangkis sebarang peluang untuk mereka membiak dan membawa pelbagai penyakit.

Walau bagaimanapun, apabila terdapat perubahan yang berlaku seperti kelemahan sistem imuniti tubuh, kulat-kulat ini boleh mengambil kesempatan untuk mencetuskan beberapa penyakit. Dengan itu, jangkitan yang terhasil daripada situasi ini dinamakan sebagai jangkitan oportunis.

Kandidiasis adalah jangkitan oportunis yang disebabkan oleh sejenis kulat yang dinamakan sebagai candida. Pada asalnya, ia boleh ditemui dalam jumlah yang sedikit dan tidak membawa sebarang masalah pada tempat-tempat seperti mulut, kulit dan faraj wanita serta kemaluan lelaki. Namun, apabila persekitaran berubah seperti yang telah dijelaskan di atas, maka kulat jenis ini mula membiak dan membawa pelbagai simptom.

Kulat candida yang berada pada badan manusia terdiri daripada pelbagai jenis, namun keluarga candida albicans adalah jenis yang paling dominan dan sering menjadi penyebab jangkitan.

Jenis kandidiasis umum pada tubuh

Mulut

Kulat candida yang berjaya membiak dan merebak di dalam mulut boleh membawa kepada suatu keadaan yang dipanggil sebagai seriawan. Antara tanda-tanda seseorang itu telah terjejas dengan seriawan adalah apabila terdapat tampalan-tampalan putih dan kuning di dalam mulut pada mana-mana bahagian (gusi, lidah, bibir, lelangit dan pipi dalam). Selain itu, pesakit akan mempunyai kawasan yang berwarna kemerahan dan kesakitan pada bahagian mulut. Golongan yang berisiko adalah bayi baru lahir, warga emas dan orang dewasa yang mempunyai sistem imuniti badan lemah seperti pesakit HIV, pesakit kanser yang dalam proses kemoterapi dan individu yang mengambil steroid atau antibiotic untuk jangka masa yang panjang. Di samping itu, orang yang terpaksa memakai gigi palsu juga boleh terdedah kepada risiko jangkitan candida selain daripada perokok dan pengambilan ubat yang menyebabkan mulut menjadi kering.

Untuk sesetengah situasi, jangkitan kulat ini boleh merebak kepada esofagus, ataupun juga dikenali sebagai salur makan yang menghubungkan antara rongga mulut dan perut manusia. Pesakit yang terjejas akan mengalami kesukaran untuk makan kerana setiap kali makanan ditelan, kesakitan akan tiba.

Kemaluan

Pada umumnya, jangkitan candida di kemaluan biasa terjadi kepada kaum wanita. Keadaan persekitaran faraj yang berubah ketika mengandung, mempunyai kencing manis, penggunaan ubat melalui vagina dan pelincir boleh menyebabkan daya ketahanan di situ menurun. Dengan itu, kulat tersebut boleh membiak dan merebak, seperti yang berlaku pada mulut.

Gejala-gejala yang biasa didapati daripada kandidiasis di bahagian ini adalah kemaluan gatal dan berbiji serta pedih. Ia boleh datang bersama-sama bengkak di kawasan luar faraj atau dikenali sebagai vulva. Proses membuang air kecil juga boleh menjadi suatu proses yang menyeksakan untuk pesakit apabila jangkitan ini berlaku. Selain itu, hubungan kelamin bersama pasangan mungkin tidak akan menjadi seperti biasa kerana ia boleh mendatangkan kesakitan. Keputihan yang tidak normal juga akan terjadi dan biasanya disifatkan oleh pesakit sebagai putih yang pekat dan seperti keju.

Di samping itu, bagi kaum lelaki, jangkitan tersebar melalui hubungan seks dengan pasangan yang telah terjejas. Selain daripada ruam, pesakit biasanya akan melaporkan perkara seperti kemaluan gatal dan pedih kepada doktor.

Adalah penting untuk segera berjumpa dengan doktor sekiranya anda mengalami simptom-simptom di atas.

Ruam lampin

Untuk bayi dan orang tua yang memakai lampin, ruam biasa berlaku di kawasan selangkangan ataupun celahan paha. Membiarkan lampin yang basah atau kotor terlalu lama merupakan sebab berlakunya kejadian ini. Namun, ibu bapa atau penjaga harus sentiasa peka. Ruam yang menyebabkan iritasi kepada kulit boleh mengakibatkan kesakitan dan selalunya ia adalah tanda kepada jangkitan kandidiasis. Ruam biasa tidak akan kekal lama tetapi jika ia disebabkan oleh kandidiasis, maka kawasan punggung bayi atau warga emas tersebut haruslah diperiksa untuk melihat sekiranya terdapat kemerahan di situ. Jangkitan ini tidak akan pergi dengan sendiri dan oleh kerana itu, ruam yang berlarutan dengan lama perlulah menimbulkan syak wasangka. Bawa segera bayi untuk berjumpa dengan doktor untuk pengesahan yang selanjutnya. Amalan yang ringkas dan sihat bagi mengelakkan kejadian ini adalah dengan memastikan lampin sentiasa bersih dan kering.

Semakin hari, terdapat semakin banyak jangkitan kulat jenis ini dilaporkan di seluruh dunia. Ia bukan sahaja melibatkan anggota badan seperti yang telah dinyatakan di atas, namun juga boleh menjejaskan pelbagai lagi organ. Antaranya adalah otak, jantung, hati, limpa, lapisan peritoneal atau pun perut, sistem peredaran darah, pundi kencing dan juga buah pinggang. Jangkitan jenis sistemik, terutamanya pada dalam darah, tentu sekali boleh membawa maut. Ia seringkali berlaku kepada individu yang terlantar lama di hospital seperti di unit rawatan rapi (ICU) atau rumah-rumah kebajikan orang tua. Status diabetes, sistem imuniti yang lemah, kerosakan buah pinggang dan penggunaan antibiotik akan meningkatkan lagi risiko pendedahan kepada kulat jenis ini.

Baru-baru ini juga, terdapat banyak negara telah mengesan kehadiran kulat candida jenis baru,iaitu candida auris. Ia adalah lebih bahaya daripada keluarga albicans. Kulat jenis ini akan menyerang pesakit yang berada di dalam hospital untuk tempoh yang lama. Penggunaan pelbagai jenis ubat antikulat juga masih tidak berkesan dan dikatakan bahawa ia telah mempunyai rintangan terhadap ubat-ubat tersebut.

Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?