Penyakit Kelamin

Tanda Dan Gejala Penyakit Kelamin Bagi Wanita Dan Lelaki

Baca Soalan

Penyakit kelamin merupakan penyakit yang merebak melalui hubungan seks. Antara penyakit kelamin yang sering berlaku adalah chlamydia, sifilis dan gonorrhoea. Penyakit kelamin yang lebih dikenali sebagai ‘Sexually Transmitted Diseases (STD)’ boleh berjangkit melalui hubungan seksual melalui oral (mulut), faraj atau dubur.

Gejala Penyakit Kelamin

  • Kebanyakan penyakit kelamin tidak akan menunjukkan sebarang simptom atau tanda anda telah dijangkiti. Walau bagaimanapun, anda harus sentiasa peka akan sebarang perubahan pada tubuh badan anda.
  • Antara tanda-tanda penyakit kelamin secara umum:
    • Luka atau lepuh pada kemaluan sekitar kawasan dubur atau mulut
    • Ketumbuhan ketuat pada kawasan kelamin
    • Kegatalan pada genitalia
    • Discaj daripada vagina atau zakar
    • Kelenjar yang sakit atau bengkak sekitar kawasan kelamin
    • Ruam sekitar kawasan yang sama
  • Gejala STD wanita khususnya
    • Sakit semasa kencing
    • Sakit dalaman semasa bersetubuh
    • Pendarahan atau ‘spotting’ selepas hubungan seks
    • Kaum wanita harus mengetahui gejala penyakit kemaluan wanita seperti perubahan pada warna, bau atau jumlah keputihan, kemerahan faraj, kegatalan, dan pendarahan vagina antara tempoh haid atau selepas menopaus.
  • Simptom-simptom ini boleh bermaksud anda dijangkiti penyakit kelamin ataupun menghidapi penyakit lain.

Ujian bagi Penyakit STD

Bilakah anda perlu diuji?

  1. Anda boleh pergi untuk mendapatkan ujian apabila anda rasa diri anda mungkin berisiko. Anda seharusnya berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat dan ujian jika anda mempunyai gejala penyakit kelamin, pasangan seks anda telah disahkan dijangkiti STD atau mempunyai tanda - tanda seperti STD.
  2. Anda juga dinasihatkan untuk menjalankan ujian STD jika anda terlibat dalam aktiviti seks berisiko tinggi. Ia adalah lebih baik jika anda mendapatkan ujian ini setiap tahun tidak kira jika anda mempunyai simptom atau tidak. Merawat penyakit kelamin awal dapat mencegah daripada berlakunya komplikasi yang tidak diingini.

Amalan Seks Selamat

  • Penyakit kelamin merupakan penyakit yang boleh dicegah. Anda boleh mengurangkan risiko anda dijangkiti.
  • Pilih aktiviti seks yang berisiko rendah.
  • Kurangkan jumlah pasangan seks anda.
  • Sentiasa peka akan keadaan kawasan kelamin anda sendiri dan pasangan anda untuk sebarang perubahan atau simptom.
  • Pastikan anda dan pasangan anda mendapatkan ujian STD secara berkala. Gunakan kondom semasa hubungan seks.
  • Penggunaan kondom bukan hanya untuk mencegah kehamilan tetapi sebagai halangan kepada STD daripada berjangkit.
  • Anda harus menilai risiko anda untuk STD apabila bersama dengan pasangan anda.
  • Jangan berasa malu untuk bertanya tentang soalan kesihatan seksual mereka. Ia juga amat penting untuk membincangkan nilai-nilai, sempadan, jangkaan dan pengetahuan mereka tentang penyakit kelamin.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?