HPV

Apakah Penyakit HPV (Human papillomavirus) dan apakah vaksin HPV

Baca Soalan

Apa itu Jangkitan HPV

Virus HPV (Human Papilloma Virus) adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit, termasuklah penyakit jangkitan seksual (STD) dan juga kanser. Ia boleh menjangkiti kulit dan organ lain seperti serviks, saluran dubur, mulut dan tekak. Terdapat lebih dari 100 jenis HPV, semua menyebabkan penyakit yang berbeza. Sebanyak 30 jenis telah dikenal pasti boleh merebak melalui hubungan seksual. Sebagai contoh,

  • Jenis 6 dan 11 - menyebabkan ketuat di kawasan alat kemaluan

  • Jenis 16 dan 18 - paling banyak menyebabkan kanser serviks

Melalui statistik, sebanyak 4 daripada 5 orang akan mengalami jangkitan HPV dalam satu masa di dalam hidup. Namun kebanyakan akan hilang tanpa simptom dan tidak disedari oleh pesakit, serta tidak menimbulkan sebarang masalah.

Terdapat vaksin HPV yang boleh digunakan untuk mengurangkan risiko kanser serviks dan penyakit ketuat disebabkan virus ini.

Penulisan ini akan fokus kepada jenis yang menyebabkan ketuat di kawasan alat kelamin, iaitu jenis 6 dan 11.

Penyebab Jangkitan HPV

Jangkitan HPV diibaratkan sebagai penyakit jangkitan kelamin (STD). Jangkitan ini adalah yang paling banyak di dunia. Oleh sebab itu, ia juga merebak seperti jangkitan STD lain melalui hubungan seksual. Namun, ia amat senang menular kerana hanya memerlukan sentuhan kulit ke kulit untuk membolehkan virus tersebut tersebar.

Antara risiko mendapatkan HPV ialah:

  • Aktif dalam aktiviti seksual ketika masih muda

  • Mempunyai banyak pasangan seksual atau sering bertukar pasangan

  • Tidak mengambil vaksin

  • Lemah imunisasi seperti menghidapi HIV

  • Lelaki yang mengadakan hubungan seksual sesama jenis - penyebab utama penyakit hpv lelaki

Meskipun begitu, ramai yang tidak aktif secara seksual masih mengalami masalah ketuat, seperti ketuat di kaki dan tangan akibat virus HPV tapi berlainan jenis. Hal ini kerana ia senang merebak dengan hanya melalui sentuhan kulit ke kulit. Kebanyakan pesakit ini akan sembuh seperti biasa dan ketuat hilang.

Tanda dan Gejala Jangkitan HPV

Kebanyakan orang dijangkiti tetapi tidak akan mendapat gejala virus HPV, dan ia boleh berlalu begitu saja tanpa masalah. Namun tanda virus HPV juga boleh muncul beberapa tahun selepas seseorang dijangkiti, oleh itu sangat sukar untuk menentukan bilakah seseorang telah dijangkiti.

Tetapi jika ia tidak pergi, ini boleh menyebakan ketuat di kawasan alat kemaluan, di bahagian punggung atau di tangan dan kaki. Apakah itu ketuat? Ia adalah sejenis ketumbuhan di sekitar kawasan zakar dan punggung. Ia boleh jadi kecil atau besar, timbul atau tenggelam, atau berbentuk seperti kubis kecil (cauliflower). Ia boleh datang semula walaupun selepas rawatan.

Lebih teruk lagi, ia juga boleh menyebabkan kanser seperti kanser zakar, kanser serviks, kanser faraj, kanser mulut dan banyak lagi dan setiap penyakit di sini mempunyai simptom dan gejala yang berbeza.

Simptom dan tanda-tanda ini sangat penting bagi doktor kerana setakat ini tiada ujian darah atau air kencing yang boleh mengesan virus ini.

Pemeriksaan fizikal bagi lelaki perlu dilakukan untuk membuat diagnosis manakala bagi wanita selain pemeriksaan fizikal, ujian pap smear untuk mengambil sampel tisu boleh dilakukan.

Sila berjumpa doktor sekiranya anda merasakan terdapat sesuatu yang aneh di kawasan alat kemaluan dan terlibat dengan aktiviti yang berisiko.

Rawatan dan Ubat Jangkitan HPV

Setakat ini, masih belum ada cara membunuh virus HPV, dan kebanyakan virus ini akan hilang secara sendiri.

Namun terdapat rawatan khusus yang boleh diberikan oleh doktor untuk merawat ketuat, iaitu;

  • Ubat krim atau cecair - boleh disapu sendiri atau di klinik dan mengambil masa beberapa minggu. Ia boleh menyebabkan rasa panas dan sakit sepanjang rawatan. Contohnya krim Imiquimod, gel podofilox, dan cecair sinecatechins.

  • Surgeri - boleh menggunakan laser untuk membuang ketuat, namun boleh meninggalkan parut.

  • Terapi Cryotherapy - menggunakan cecair nitrogen dan membekukan ketuat, sekali dalam setiap 4 minggu.

Rawatan boleh mengambil sehingga berminggu atau berbulan, dan mungkin tidak berkesan untuk sesetengah individu. Oleh itu, cara membunuh virus HPV yang terbaik ialah dengan mengelakkan, mencegah dan menghentikan penularan penyakit ini.

Cara mencegah Jangkitan HPV

Bolehkah anda mencegah jangkitan virus ini? Jawapannya ia boleh. Berikut merupakan beberapa cara atau langkah yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan risiko mendapatkan HPV dan penyakit yang berkaitan.

  • Dapatkan vaksinasi untuk HPV. Vaksin adalah selamat dan sangat efektif dalam menyediakan badan untuk melawan penyakit berkaitan, seperti ketuat dan ketumbuhan kanser. Remaja berumur 11 hingga 12 tahun disarankan untuk mendapatkan dua dos vaksin untuk melindungi mereka dari kanser serviks. Remaja lelaki dan wanita yang aktif secara seksual juga dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin seawal umur 21 tahun jika mereka tidak pernah mendapatkan vaksin. Lelaki yang melakukan hubungan seksual sesama jantina juga digalakkan untuk mengambil vaksin.

  • Ujian saringan pap smear. Ujian saringan ini boleh dilakukan di klinik kesihatan secara berkala dari umur 21 hingga 65 tahun. Ini penting untuk mengesan virus tersebut di peringkat awal dan merawat kanser lebih awal mempunyai prognosis yang lebih baik secara total.

  • Menggunakan kondom semasa hubungan seksual

  • Mengelakkan hubungan seksual bebas, dan kekal dengan satu pasangan seksual yang tidak dijangkiti dan beliau juga hanya melakukan hubungan seksual bersama anda sahaja.

  • Jika anda atau pasangan, salah satunya mempunyai ketuat di kawasan kemaluan, tangguh hubungan seksual sehingga ketuat telah dirawat. Namun tidak diketahui berapa lamakah tempoh seseorang masih boleh menjangkiti pasangannya walaupun setelah mendapatkan rawatan dan tiada ketuat lagi.

Sila berjumpa dengan doktor anda untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut.

Kesan Jangkitan HPV

Jangkitan ini boleh menyebabkan kerosakan dari segi fizikal dan emosi. Namun, bukan semua orang akan mengalami komplikasi ini, dan tahap keseriusan komplikasi bergantung kepada pelbagai faktor, seperti faktor jenis virus dan kondisi pesakit.

Dari segi fizikal;

  • Menyebakan ketuat dan kanser. Ketuat walaupun kurang bahaya berbanding kanser, ia boleh mengganggu hubungan seksual pesakit dan pasangan. Kanser seperti kanser serviks merupakan salah satu kanser yang agresif, dan jika ia tidak dirawat dengan kadar yang segera atau hanya dikesan apabila telah sampai ke tahap 4, ia boleh membawa maut. Kanser lain seperti kanser zakar, kanser testis dan kanser ovari juga membahayakan kesihatan.

  • Vaksin juga melibatkan kos yang banyak yang ditanggung oleh kerajaan dan pesakit.

  • Rawatan untuk ketuat boleh menyebabkan parut dan ini merimaskan pesakit.

Dari segi emosi;

  • Penyakit ini seperti penyakit STD boleh mengganggu keharmonian hubungan antara pasangan, dan boleh menyebabkan murung dan rendah keyakinan diri. Namun harus diingatkan bahawa jika anda atau pasangan mempunyai ketuat, amat sukar untuk mengetahui siapa yang menjangkiti siapa, dan tidak semestinya bermakna pasangan anda curang. Sila berbincang dengan doktor tentang kesihatan seksual dan risiko untuk semua STDs.

Ini cuma sebahagian dari komplikasi yang boleh terjadi, namun masih ada lagi kemungkinan yang tidak dinyatakan disini.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?