Penyakit Kelamin

Bagaimana Mencegah Penularan Penyakit Kelamin

Baca Soalan

Cara mencegah penyakit kelamin

Sekiranya anda adalah seorang individu yang aktif dengan aktiviti seksual, maka anda harus mempersiapkan diri anda dengan banyak informasi agar pencegahan penyakit menular seksual ataupun juga dikenali sebagai STD boleh dilakukan dengan jayanya.

Adalah digalakkan untuk anda tidak mengambil ringan mengenai perkara ini kerana langkah-langkah yang boleh dianggap ringkas namun melecehkan ini boleh menyelamatkan kualiti hidup mahupun nyawa anda sendiri pada kemudian hari

Amalan seksual yang sihat

  1. Perkara paling penting yang anda perlu lakukan sebelum meneruskan hubungan kelamin anda dengan pasangan adalah bertanya mengenai status kesihatannya.
  2. Elakkan untuk melakukan seks dengan pasangan yang terbukti mempunyai penyakit kelamin seperti HIV, herpes dan sebagainya.
  3. Perhatikan jika terdapat sebarang ruam, cecair atau sebarang petanda luar biasa pada alat kelamin pasangan.
  4. Waktu paling selamat untuk mengadakan hubungan tanpa perlindungan adalah apabila anda dan pasangan hanya melakukannya antara satu sama lain tanpa ada hubungan dengan pihak lain.
  5. Selain itu, sekiranya anda dan pasangan telah bebas dari sebarang STD sekurang-kurangnya selama 6 bulan, maka adalah selamat juga untuk melakukan seks tanpa perlindungan.

Cara melindungi diri agar tidak tertular penyakit menular seksual:

  1. Anda disarankan untuk memakai kondom yang diperbuat daripada lateks setiap kali melakukan hubungan kelamin. Selain dari mencegah kehamilan, pemakaian kondom mempunyai peratusan yang tinggi untuk menjauhkan pemakai dari mendapat jangkitan.
  2. Di samping itu, anda perlu membasuh kemaluan anda sebelum dan selepas aktiviti seks.
  3. Elakkan dari berdamping dan bermesra dengan pasangan jika anda mempunyai masalah untuk mengawal penggunaan alkohol ataupun dadah.Hal ini kerana besar kemungkinan untuk anda tidak mengamalkan seks selamat.
  4. Jauhi juga dari berkongsi tuala dengan pasangan sebelum atau selepas aktivit kelamin.
  5. Adalah digalakkan untuk anda selalu membuat pemeriksaan kesihatan, terutamanya ujian saringan bagi HIV. Ujian darah untuk penyakit lain seperti hepatitis juga boleh dibuat di klinik-klinik dan hospital-hospital. Usah risau kerana keputusan ujian adalah sulit dan tidak akan didedahkan kepada orang ramai.

Ubat untuk mengatasi penyakit menular seksual

  • Jika anda seorang yang sangat aktif secara seksual dan mampu dari segi kewangan, anda boleh memilih untuk mengambil PrEP ataupun pencegah jangkitan HIV yang boleh diambil sebelum terdedah kepada virus.
  • Harganya boleh dikatakan sedikit tinggi dan doktor akan bertanyakan beberapa soalan dan melakukan beberapa ujian untuk memastikan anda benar-benar layak untuk mendapat suntikan ini.
  • Selain itu, untuk mencegah dari penyakit hepatitis, anda boleh menjalani program vaksinasi untuk hepatitis B. Anda bakal diberikan tiga suntikan dan ia terbukti berkesan dalam memberi perlindungan dari jangkitan.

Bagi mendapat informasi lebih lanjut mengenai penyakit menular seksual penyebab dan cara mengatasinya, anda boleh bertanyakan kepada doktor yang terdekat.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?