Penyakit Kelamin

Penyebab, Gejala, Diagnosis Dan Ubat Sesuai Untuk Penyakit Kelamin

Baca Soalan

Apakah itu penyakit kelamin?

Bagi kebanyakan orang, gambar penyakit kelamin agak menakutkan. Bagi mencegah dan menangani penyakit kelamin secara berkesan, kita harus memahami penyakit ini. Penyakit kelamin, lebih dikenali sebagai sexually transmitted diseases (STD) dalam bidang perubatan, merupakan satu golongan penyakit yang merebak melalui hubungan kelamin. Hubungan kelamin di sini bermaksud hubungan seks melalui faraj, dubur atau oral (mulut).

Penyakit kelamin sebenarnya merebak dengan pendedahan terhadap cecair badan yang tercemar. Antara contoh cecair badan yang mungkin menjadi medium jangkitan ialah darah, air mani dan lendir faraj. Oleh sebab itu, penyakit kelamin boleh merebak dengan cara-cara yang selain daripada hubungan kelamin.

  • Melalui transfusi darah ketika darah yang diterima oleh pesakit itu tercemar.
  • Perkongsian jarum di antara penagih dadah.
  • Anak kepada seseorang ibu yang dijangkiti penyakit kelamin juga mungkin menghidap penyakit-penyakit ini kerana jangkitan boleh berlaku semasa mengandung melalui uri, ataupun semasa kelahiran anak melalui percampuran darah.
  • Pekerja-pekerja bidang kesihatan yang terdedah terhadap bahaya kecederaan tertusuk jarum (needle stick injury, NSI).

Seseorang yang telah dijangkiti penyakit kelamin boleh menjadi punca jangkitan kepada orang lain walaupun dia tidak menunjukkan sebarang simptom. Hal ini kerana penyakit kelamin tidak semestinya mengakibatkan kemunculan tanda-tanda jangkitan klasik.

Situasi di dunia dan di Malaysia

Prevalensi infeksi menular seksual merupakan suatu cabaran kesihatan awam yang telah lama dikenali. Pada tahun 1999, WHO membuat jangkaan bahawa sebanyak 340 juta kes baru telah berlaku di seluruh dunia. Kebanyakan kes-kes ini berlaku di Asia Selatan, Asia Tenggara, Afrika sub-Saharan, Amerika Latin dan kepulauan Caribbean. Antaranya, Afrika sub-Saharan mempunyai kadar jangkitan baru yang paling tinggi. Dalam kalangan pesakit penyakit kelamin, 60 peratus berumur 25 tahun ke bawah. Di Malaysia pula, kes penyakit kelamin didapati bertambah dari setahun ke setahun. Satu cabaran yang telah dikenal pasti ialah kadar jangkitan yang semakin meningkat dalam kalangan remaja yang berumur antara 16 hingga 24 tahun. Punca-punca kejadian ini termasuklah pendedahan awal kepada seks dan pengamalan seks bebas pada usia yang muda.

Jenis-jenis penyakit kelamin

Pelbagai jenis bakteria, virus dan parasit berupaya menyebabkan penyakit kelamin. Jenis penyakit kelamin wanita pula agak berbeza dengan penyakit yang menjejaskan kaum lelaki. Penyakit kelamin wanita Malaysia adalah lebih kurang sama dengan penyakit yang menjejaskan wanita di seluruh dunia. Antara jangkitan-jangkitan ini ialah:

Jangkitan bakteria

  • Chlamydia: Penyakit ini ialah salah satu penyakit kelamin yang paling biasa dijumpai di Malaysia. Antara komplikasinya yang paling serius ialah penyakit radang pelvis atau pelvic inflammatory disease (PID), kemandulan dan masalah ketika mengandung. Jangkitan chlamydia mudah berlaku melaui hubungan kelamin tanpa perlindungan dan jangkitan ini berlaku empat kali ganda lebih kerap berbanding dengan penyakit gonorrhea. Bayi yang dijangkiti chlamydia semasa proses bersalin boleh mengalami radang mata atau paru-paru (pneumonia).

  • Gonorea: Penyakit kelamin ini disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai Neisseria gonorrhoea dan boleh menjejaskan kedua-dua jantina. Jangkitan boleh berlaku di bahagian kemaluan, dubur, usus dan tekak. Lebih kurang 90 peratus pesakit mengalami simptom-simptom seperti keluaran lendir bernanah dari bahagian kemaluan dan sakit semasa membuang air kecil.

  • Sifilis: Penyakit ini berpunca daripada satu organisma yang dikenali sebagai 'spirochete' Sifilis dan boleh merebak melalui hubungan kelamin secara oral, dubur dan vagina ataupun daripada ibu yang dijangkiti sifilis kepada bayinya semasa kehamilan. Secara umumnya, penyakit ini berlaku dalam empat peringkat. Pada peringkat awal, kudis muncul di bahagian zakar atau faraj. Kudis ini biasanya tidak menyebabkan kesakitan dan akan hilang sendiri. Pada peringkat-peringkat berikut, simptom-simptom yang mungkin berlaku ialah demam, menggigil dan sakit otot.

  • Radang salur kencing tidak spesifik (Non-specific urethritis): Penyakit ini selalunya menjejaskan kaum lelaki. Mereka mungkin mengalami sakit ketika membuang air kecil dan keluaran lendir dari salur kencing.

Jangkitan virus

  • Ketuat di bahagian kemaluan (Genital warts): Organisma yang menyebabkan penyakit ini ialah Human Papilloma Virus (HPV). Para pesakit selalunya mengadu kemunculan ketuat putih atau bintik-bintik putih di bahagian sulit. Walaupun begitu, kebanyakan pesakit tidak mengadu apa-apa simptom.

  • Herpes di bahagian kemaluan (Genital herpes): Penyebabnya ialah Herpes Simplex Virus (HSV). Kebanyakan pesakit tidak melapokan sebarang simptom. Walau bagaimanapun, simptom yang mungkin berlaku termasuklah demam, gatal, bengkak dan ulser di bahagian kemaluan.

  • AIDS dan HIV: AIDS (Acquired Immunodeficiency Syndrome) atau Sindrom Kurang Daya Tahan merupakan penyakit serius yang berpunca daripada Human Immunodeficiency Virus (HIV). Para pesakit yang dijangkiti HIV menghidap AIDS setelah virus ini merosakkan sistem pertahanan tubuh badan. Oleh sebab sistem pertahanan menjadi lemah, jangkitan bakteria dan virus lain lebih senang berlaku.

Jangkitan parasit

  • Trichomoniasis: Organisma yang bertanggungjawab dikenali sebagai Trichomonas vaginalis. Majoriti pesakit tidak mengalami apa-apa simptom tetapi sesetengah pesakit wanita mengalami keluaran lendir kuning atau hijau dari faraj, gatal dan bengkak di bahagian kemaluan. Pesakit lelaki pula tidak mengalami apa-apa simptom tetapi boleh menjadi pembawa penyakit ini.

  • Kutu di bahagian kemaluan (Pubic lice): Gejala yang paling biasa berlaku ialah gatal di bahagian kulit kemaluan. Para pesakit juga mungkin mendapati najis kutu atau telur kutu di bahagian yang terjejas.

  • Kudis buta (Scabies): Penyakit ini boleh melibatkan mana-mana bahagian badan. Kegatalannya lebih teruk pada waktu malam.

Kesimpulan


Pengenalpastian punca-punca penyakit kelamin amatlah penting supaya rawatan yang berkesan boleh diberikan. Hal ini kerana rawatan yang diberi haruslah berkesan terhadap organisma yang menyebabkan penyakit itu. Walaupun begitu, pencegahan adalah lebih penting daripada rawatan kerana penyakit-penyakit ini lebih senang dicegah daripada dirawat.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?