Herpes

Apakah Jangkitan Herpes Kelamin Dan Rawatan Yang Sesuai

Baca Soalan

Apakah itu jangkitan virus herpes

Jangkitan virus herpes dikenali sebagai penyakit kulit menggelembung air. Virus herpes tergolong dalam kumpulan alpha herpesvirus. Virus herpes simplex adalah virus yang boleh berjangkit pada mana-mana bahagian badan, yang paling biasa adalah pada bahagian kelamin atau mulut. Virus ini membiak pada lapisan mukosa sel epithelial dan menyebabkan ulser atau kumpulan cecair di bawah kulit (blister).

Istilah herpes berasal dari perkataan Yunani yang bermaksud "merayap atau merangkak". Kira-kira 2000 tahun yang lalu semasa tamadun Yunani awal istilah herpes ini merujuk kepada cara jangkitan ini merebak iaitu melalui bukaan pada luka. 80% daripada jangkitan herpes simplex tidak menunjukkan sebarang gejala herpes simplex. Virus ini boleh memberikan bahaya kepada bayi yang baru lahir serta kepada orang yang mempunyai sistem imun yang lemah seperti pesakit HIV.

Jenis virus herpes

HSV-1: Dua pertiga daripada penduduk dunia mudah dijangkiti virus ini iaitu seramai 3.7 billion dan mereka terdiri daripada golongan yang berumur kurang daripada 50 tahun. HSV-1 juga dikenali sebagai herpes mulut. Virus jenis herpes ini boleh menyebabkan lepuh sekitar mulut dan di muka.

HSV-2 : Seramai 11% daripada populasi di dalam lingkungan 400 juta orang mendapat jangkitan ini. Di dalam kebanyakan jangkitan virus ini dikenali sebagai herpes kelamin kerana ia menyebabkan luka pada bahagian kelamin apabila ia berjangkit.

Penyebab herpes simplex

Virus herpes simplex boleh berjangkit daripada seseorang kepada seseorang yang lain melalui sentuhan terus. Kanak-kanak yang mengidap HSV-1 biasanya memperoleh jangkitan tersebut apabila mereka berinteraksi dengan rapat dengan orang dewasa yang sedang dijangkiti virus tersebut. Mereka kemudiannya akan membawa virus tersebut bersama sepanjang hayat.

HSV-1

Jangkitan dengan HSV-1 boleh berlaku melalui interaksi-interaksi umum seperti:

  • makan daripada alat perkakas yang sama

  • berkongsi pelembap bibir atau gincu

  • mencium

Virus tersebar dengan lebih cepat apabila seseorang yang dijangkiti mengalami jangkitan di dalam fasa aktif. Seramai 30 hingga 95 peratus orang dewasa yang mempunyai jangkitan HSV-1, tetapi tidak pernah mengalami fasa aktif yang digelar ‘dormant state’. Terdapat juga kebarangkalian yang menunjukkan beberapa pesakit yang mendapat jangkitan herpes genital HSV-1 mendapatinya melalui hubungan seksual secara oral.

HSV-2

Virus HSV-2 pula adalah virus jenis herpes yang berjangkit melalui hubungan seksual dengan seseorang yang mempunyai jangkitan tersebut. Menurut kajian oleh American Academy of Dermatology (AAD), seramai 20% daripada orang dewasa yang mempunyai kehidupan seksual yang aktif akan mendapat jangkitan HSV-2.

Antara faktor-faktor risiko lain untuk mendapat jangkitan HSV-2 termasuklah:

  • mempunyai pasangan seks yang ramai

  • mempunyai hubungan seks pada usia yang muda

  • seorang perempuan

  • mempunyai jangkitan seksual (STI) yang lain bersama HSV-2

  • mempunyai sistem imun yang lemah

Sekiranya seseorang wanita hamil mengalami herpes pada bahagian kelamin semasa melahirkan kandungan, bayi tersebut boleh mendapat jangkitan kedua-dua jenis herpes dan mereka berisiko untuk mengalami komplikasi yang serius. Jadi mat penting supaya ciri ciri penyakit herpes pada wanita dikenal pasti dengan baik terutamanya jika wanita tersebut sedang mengandung

Gejala herpes simplex

Gejala virus herpes simplex biasanya muncul sebagai:

  • luka yang melepuh (di dalam mulut atau di bahagian kelamin)

  • sakit semasa kencing (herpes genital)

  • gatal-gatal

Seseorang pesakit juga mungkin akan mengalami gejala-gejala yang serupa seperti selesema. Gejala-gejala ini termasuklah:

  • demam

  • kelenjar yang bengkak

  • sakit kepala

  • keletihan

  • kekurangan selera makan

HSV juga boleh tersebar ke mata, menyebabkan keadaan seperti keratitis herpes. Hal ini boleh menyebabkan gejala seperti kesakitan mata atau cecair keluar daripada mata.

Cara mendiagnosis herpes simplex

Seringkali diagnosis herpes simplex dibuat tanpa memerlukan ujian lain untuk mengesahkan diagnosis.

Diagnosis virus herpes simplex ini memerlukan sejarah perubatan berserta pemeriksaan fizikal pada tubuh badan termasuklah bahagian alat sulit oleh seorang doktor. Doktor akan mencari luka dan bertanya kepada anda tentang beberapa gejala anda.

Namun demikian, jika keadaan anda memerlukan perhatian yang lebih atau keadaan kesihatan anda memudaratkan, doktor akan menjalankan beberapa ujian lain untuk mengesahkan diagnosis. Doktor anda akan menjalankan ujian HSV (herpes culture) dan ia akan mengesahkan diagnosis jika anda mempunyai luka pada alat kelamin. Semasa ujian ini, doktor anda akan mengambil sampel cecair daripada luka dan kemudiannya akan dihantar ke makmal untuk dianalisis.

Ujian darah yang dilakukan untuk mencari antibodi untuk HSV-1 dan HSV-2 juga boleh membantu di dalam diagnosis jangkitan ini. Ujian ini sangat membantu apabila tidak terdapat sebarang luka pada badan pesakit.

Rawatan dan cara pencegahan herpes simplex

Pada ketika ini, masih tidak terdapat ubat yang boleh menyembuhkan penyakit ini. Rawatan yang terdapat di pasaran hanyalah dapat membantu di dalam mencegah luka dan mengelakkan daripada penyakit ini berulang.

Terdapat juga kemungkinan yang luka anda akan hilang tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, doktor anda akan menentukan sama ada anda memerlukan satu atau lebih ubat berikut:

  • acyclovir

  • famciclovir

  • valacyclovir

Ubat-ubatan ini terdapat dalam bentuk pil, atau boleh digunakan sebagai krim. Suntikan ubatan berikut hanya diberi sekiranya anda mengalami jangkitan yang kuat.

Mencegah penyebaran jangkitan herpes simplex

Walaupun tiada ubat yang mujarab untuk merawat herpes, anda boleh mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk mengelakkan jangkitan dan penyebaran HSV kepada orang lain.

Langkah-langkah pencegahan yang harus diambil termasuklah :

  • Cuba untuk mengelakkan hubungan fizikal seperti persentuhan dengan orang lain.

  • Tidak berkongsi barang-barang yang boleh menyebarkan virus seperti cawan, tuala, pakaian, alat solek seperti gincu.

  • Menghidari daripada melakukan seks oral, mencium atau sebarang jenis aktiviti seksual semasa dijangkiti virus

  • Membersihkan tangan anda dengan teliti dan menyapu ubat dengan kapas untuk mengurangkan sentuhan dengan luka

Individu-individu yang dijangkiti HSV-2 haruslah mengelakkan daripada melakukan sebarang jenis aktiviti seksual dengan inidvidu lain semasa sakit. Manakala bagi individu yang tidak mengalami sebarang gejala tetapi telah didiagnosis dengan virus tersebut, haruslah menggunakan kondom semasa hubungan seks dilakukan. Namun, walaupun kondom telah digunakan, virus masih juga boleh tersebar melalui bukaan luka pada kulit. Wanita yang hamil dan dijangkiti mungkin perlu mengambil ubat untuk mengelakkan virus daripada menjangkiti bayi di dalam kandungan.

Komplikasi penyakit herpes genital

Setelah dijangkiti virus HSV, virus tersebut akan kekal di dalam tubuh sepanjang hayat. Walaupun ia tidak menunjukkan sebarang gejala, virus tersebut akan terus hidup di dalam sel-sel urat saraf orang yang dijangkiti. Di dalam sesetengah individu, mereka hanya mengalami satu sahaja serangan jangkitan selepas mereka dijangkiti dan kemudian virus tersebut menjadi tidak aktif. Walaupun virus tidak aktif, rangsangan tertentu boleh mencetuskan jangkitan menjadi aktif.

Antaranya ialah:

  • tekanan perasaan ataupun stress

  • haid

  • demam atau dijangkiti apa-apa penyakit

  • pendedahan cahaya matahari atau selaran matahari

Dipercayai bahawa kebarangkalian serangan virus menjadi aktif semula akan berkurangan apabila tempoh masa bertambah. Hal ini kerana, semakin lama semakin banyak antibodi yang akan dihasilkan lantas mengelakkan jangkitan menjadi aktif semula. Individu yang sihat secara umumnya mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat komplikasi daripada jangkitan herpes.

Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?