Psoriasis

Apakah Gejala dan Ciri-Ciri Penyakit Psoriasis

Baca Soalan

Gejala Psoriasis

  • Tanda-tanda dan gejala psoriasis bergantung pada jenis psoriasis yang anda hidapi.
  • 4 gejala psoriasis yang paling biasa termasuk:
    • Ruam atau tompok kulit merah, radang, selalunya ditutup dengan sisik berwarna perak. Dalam kes yang teruk, plak akan merebak, bergabung antara satu sama lain dan meliputi kawasan yang besar.

    • Gatal, kulit tegang dan boleh retak atau berdarah.

    • Masalah kuku, termasuk perubahan warna dan kuku berlubang. Kuku juga boleh tercabut. Kebanyakan ibu bapa bertanya kuku berlubang tanda penyakit apa, ini mungkin disebabkan oleh psoriasis kuku

    • Plak bersisik pada kulit kepala

Dimanakah psoriasis akan muncul?

  • Psoriasis boleh muncul di mana-mana, pada kelopak mata, telinga, mulut dan bibir, lipatan kulit, tangan dan kaki, dan kuku.
  • Psoriasis kulit kepala boleh terjadi dengan skala kecil dan halus atau boleh menjadi sangat teruk dengan plak tebal yang meliputi seluruh kulit kepala. Ia boleh meliputi garis rambut ke dahi, belakang leher dan sekitar telinga.
  • Psoriasis yang melibatkan muka paling kerap menjejaskan kening, kulit antara hidung dan bibir atas, dahi dan garis rambut. Psoriasis pada sekitar muka harus dirawat dengan teliti kerana kulit di sini lebih sensitif.
  • Tanda-tanda juga boleh berlaku pada kuku dimana warna kuku berubah menjadi hijau, kuning atau perang. Lubang kecil juga akan terbentuk pada permukaan kuku. Pengumpulan serpihan putih di bawah kuku menyebabkan kuku terangkat. Ini menyebabkan kesakitan dan kuku boleh tercabut. Kuku juga akan menjadi tebal namun mudah rapuh.
  • Jenis psoriasis yang paling biasa di bahagian genitilia adalah psoriasis inverse, tetapi bentuk psoriasis lain boleh muncul pada alat kelamin, terutama pada lelaki. Psoriasis pada bahagian ini memerlukan rawatan dan penjagaan lebih teliti.

Apakah tahap keparahan psoriasis?

  • Tahap psoriasis boleh terbahagi kepada ringan, sederhana atau teruk. Tahap keparahan ditentukan berdasarkan kepada keluasan bahagian badan yang terjejas oleh psoriasis.
    • Ringan: Psoriasis ringan merangkumi kurang daripada 3 peratus daripada badan

    • Sederhana: Psoriasis sederhana merangkumi antara 3 dan 10 peratus daripada badan

    • Teruk: Jika psoriasis menjejaskan lebih daripada 10 peratus bahagian tubuh, ia adalah pada tahap yang teruk

  • Walau bagaimanapun, tahap psoriasis juga diukur dengan sejauh mana psoriasis menjejaskan kualiti hidup seseorang. Sebagai contoh, psoriasis boleh memberi kesan yang serius ke atas aktiviti harian seseorang walaupun ia melibatkan kawasan kecil, seperti tapak tangan atau tapak kaki.

Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?