Psoriasis

Penyebab, Gejala, Diagnosis, Ubat Dan Rawatan Penyakit Kulit Psoriasis

Baca Soalan

Apa itu psoriasis

Maksud psoriasis adalah sebuah keadaan di mana kulit mengalami kemerah-merahan, gatal-gatal dan mengalami pengelupasan berbentuk sisik. Psoriasis adalah sebuah keadaan yang boleh dialami oleh kedua-dua lelaki dan perempuan, kebanyakan kes berlaku di antara usia 30 hingga 39 dan 50 hingga 69 tahun. Ia mempunyai boleh mendatangi pesakit di dalam pelbagai bentuk dan lebih banyak berlaku pada beberapa bahagian tubuh badan.

Psoriasis merupakan masalah radang yang disebabkan oleh tindakan imuniti badan terhadap sel-sel kulit. Sel-sel imun ini bertindak dengan menyebabkan sel-sel kulit menghasilkan lapisan-lapisan kulit baru dengan lebih kerap daripada biasa.

Kesannya, lapisan - lapisan kulit yang baru ini akan menyebabkan lapisan kulit yang normal menjadi lebih tebal dan berwarna kemerah-merahan. Permukaannya juga akan mengelupas sedikit demi sedikit dan kelihatan seperti plak-plak kecil berwarna perak (erythematous plaques with silver scale) disebabkan oleh proses tindakan imuniti terhadap sel - sel kulit.

Psoriasis adalah satu penyakit yang dipengaruhi oleh faktor genetik dan ia boleh menyebabkan masalah pada bahagian kulit dan sendi-sendi. Walaupun ianya tidak mengancam nyawa, namun kondisi ini akan menyebabkan gangguan dari segi fizikal dan mental pesakit. Hal ini kerana bahagian tubuh yang terlibat kebiasaannya merupakan bahagian kulit yang biasanya terdedah. Sesetengah pesakit akan mengalami keadaan di mana kulit menjadi tegang, sakit, gatal-gatal dan berdarah.

Antara lokasi-lokasi kulit yang sering terlibat dalam masalah psoriasis adalah pada bahagian ubun-ubun kepala, siku, lutut bahagian belakang dan punggung .Namun begitu, ia boleh sahaja berlaku pada mana-mana bahagian kulit. Pada kebiasaannya ia tersebar secara simetri. Kulit akan berwarna merah, timbul plak-plak berbentuk sisik dan ia mempunyai sempadan yang jelas. Plak-plaknya berwarna keperak-perakan, sesetengahnya berkilat, mempunyai permukaan yang lembap dan mudah terkopek.

Rasa gatal-gatal juga merupakan salah satu simptom boleh berlaku dalam kalangan pesakit. Ini adalah berlainan bagi setiap pesakit. Sebahagian pesakit hanya akan mengalami rasa gatal-gatal yang tidak teruk. Namun bagi sesetengah yang lain pula, kegatalan yang dialami agak teruk sehingga membuatkan seseorang itu kerap menggaru kawasan tersebut sehingga luka. Parut yang terbetuk akibat psoriasis dikenali sebagai ‘lichenification’ iaitu suatu keadaan yang menyebabkan kulit menjadi lebih tebal daripada biasa dan menginggalkan garisan-garisan parut. Rekahan juga boleh terbentuk dan ianya boleh menyebabkan kesakitan pada kulit pesakit.

Kawasan yang terkena psoriasis akan meninggalkan kawasan yang berwarna pudar atau perang. Ianya akan surut selepas beberapa bulan. Sebanyak 30% pesakit psoriasis akan menghadapi masalah pada sendi-sendi. Ianya dikenali sebagai ‘psoriatic arthritis’ dan skala CASPAR akan digunakan untuk mengukur sejauh mana tahap psoriatic arthritis yang sedang dialami oleh pesakit. Jika sakit sendi ini tidak dirawat dengan baik dan secepat mungkin, pesakit akan mengalami masalah kecacatan serta kehilangan upaya yang kekal.

Jenis Psoriasis

Psoriasis mempunyai beberapa bentuk klinikal yang sering ditemui semasa diagnosis. Antara bentuk-bentuk yang sering dijumpai adalah:

  1. Chronic plaque psoriasis

    • Ia adalah sejenis psoriasis yang paling kerap ditemui dalam kalangan pesakit

    • Tersebar secara simetri pada kawasan-kawasan badan seperti ubun-ubun, siku, lutut dan kawasan punggung

    • Menyebabkan rasa gatal-gatal pada bahagian yang terlibat

  1. Guttate psoriasis

    • Berciri-cirikan plak-plak psoriasis yang kecil

    • Biasanya bermula pada bahagian perut, bahagian hujung lengan dan kaki

    • Sesetengah pendapat mengatakan bahawa terdapat kaitan di antara guttate psoriasis dan jengkitan streptococcal pharyngitis (iaitu jangkitan pada bahagian saluran pernafasan)

  1. Pustular psoriasis

    • Sebuah keadaan psoriasis yang paling bahaya dan boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan segera

    • Jenis yang paling bahaya dikenali sebagai “von Zumbusch”

    • Gelembung-gelembung kecil yang mengandungi nanah terbentuk pada permukaan kulit

    • Keadaan ini boleh diikuti dengan kemerah-merahan pada kulit, demam, cirit-birit, ‘leukocytosis’ iaitu meningkatnya bilangan sel darah putih dan ‘hypocalcemia’ iaitu kukurangan mineral kalsium dalam darah.

  1. Erythrodermic psoriasis

    • Badan dipenuhi dengan ruam berwarna kemerah-merahan dan keadaan kulit yang bersisik

    • Pesakit memnpunyai risiko yang tinggi untuk mendapat jangkitan dan ketidak seimbangan elektrolit di dalam tubuh disebabkan keadaan kulit yang tidak dapat melindungi tubuh badan

  1. Inverse psoriasis

    • Keadaan psoriasis yang berlaku pada bahagian kulit yang sepatutnya jarang mendapat psoriasis

    • Kawasan-kawasan yang terlibat adalah seperti pada bahagian ketiak, kawasan kemaluan, bahagian hadapan pinggang dan kawasan dada

  1. Nail psoriasis

    • Psoriasis yang berlaku pada bahagian hujung jari dan kuku

    • Ia boleh jadi bermula daripada kuku sahaja ataupun bermula pada kuku dan bahagian kulit yang lain serentak.

    • Psoriasis jenis ini sering kali berlaku dalam kalangan pesakit yang mengalami psoriatic arthritis

    • Terdapat seperti lubang-lubang kecil terbentuk pada permukaan kuku. Kuku akan menjadi rapuh dan mudah terhakis walaupun hanya terkena geseran kecil.

Faktor-faktor risiko psoriasis dan bagaimana mengawalnya

Antara faktor-faktor yang terlibat dalam masalah psoriasis ini adalah:

    Faktor genetik:

    • Faktor genetik merupakan faktor yang paling utama dalam menentukan sama ada seseorang itu cenderung atau tidak untuk mendapat psoriasis

    • Hampir 40% pesakit yang mengalami psoriasis mempunyai ahli keluarga terdekat yang mempunyai masalah yang sama.

    • Psoriasis lebih berisiko untuk berlaku kepada pasangan kembar seiras berbanding kembar tidak seiras sekiranya kembar mereka menghidap psoriasis. Ini adalah faktor risiko psoriasis yang paling kuat bagi penyakit psoriasis

    Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko pada individu:

    • Merokok

      1. Kajian menunjukkan bahawa individu-individu yang merokok dan pernah merokok mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat psoriasis

    • Obesiti

      1. Insiden psoriasis berlaku dengan lebih teruk kepada individu-individu yang obes dan mempunyai BMI yang tinggi

      2. Obesiti dikenalpasti akan meningkatkan bilangan sel-sel yang menyebabkan radang berlaku

    • Ubat-ubatan

      1. Sesetengah ubat-ubatan seperti beta-blocker, lithium dan ubat anti-malaria dikenalpasti turut boleh menyebabkan psoriasis menjadi lebih teruk

    • Jangkitan

      1. Jangkitan virus ataupun bakteria juga boleh membuatkan kondisi psoriasis semakin teruk

      2. Contoh-contoh jangkitan adalah seperti jangkitan daripada bakteria Streptococcal dan virus HIV

    • Alkohol

      1. Kajian telah menunjukkan bahawa kadar pengambilan minuman alkohol yang tinggi dalam kalangan pesakit-pesakit yang mengalami psoriasis

      2. Pengambilan minuman alkohol yang banyak juga telah dikaitkan dengan keadaan psoriasis yang semakin teruk

      3. Alkohol juga turut membuatkan rawatan psoriasis tidak efektif

      4. Kadar toksisiti kepada organ hati akan mengingkat apabila ubat untuk merawat psoriasis iaitu methothrexate diambil bersama alkohol. Keadaan organ hati akan menjadi semakin teruk jika pengambilan alkohol diteruskan.

    • Kekurangan Vitamin D

      1. Kekurangan Vitamin D telah banyak dikaitkan dengan terjadinya penyakit-penyakit autoimun seperti penyakit kencing manis jenis 1, multiple sclerosis (MS) dan penyakit ‘inflammatory bowel disease’

      2. Namun kaitan kekurangan vitamin D di dalam penyakit psoriasis masih tidak dapat disahkan mekanismanya.

      3. Kajian telah dilakukan dalam kalangan 86 orang pesakit. Sebanyak 43 orang daripada mereka mempunyai psoriasis manakala 43 pesakit yang lain pula mempunyai penyakit kulit lain-lain. Pesakit-pesakit psoriasis mempunyai kadar serum 25-hydroxyvitamin D (sejenis vitamin D di dalam tubuh) yang lebih rendah.

    • Stres

      1. Stres sering kali dikatakan boleh menyebabkan keadaan psoriasis menjadi semakin teruk

      2. Namun data-data yang dikumpulkan masih tidak cukup untuk menentukan kaitan di antara psoriasis dengan stres. Kajian yang lebih lanjut diperlukan untuk menentukan kaitan di antara keadaan-keadaan ini.

Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?