Sulit
5 tahun
Kecederaan Lisfranc di kaki
Saya wanita berusia 25 tahun. Mengalami kecederaan lisfranc dan baru buka cast di kaki pada 15/10 lalu. Saya telah kembali bekerja pada 21/10 lalu dan berjalan tanpa tongkak. Saya ingin bertanya, adakah normal jika kaki saya kembali membengkak? Berapa lama saya boleh berjalan seperti biasa? Adakah normal kaki berasa lenguh di bahagian betis sehingga ke kaki?
5 tahun
Salam sejahtera dan terima kasih kerana mengajukan soalan kepada kami
Melalui penerangan anda, saya memahami kebimbangan anda dalam hal ini. Untuk pengetahuan anda, walaupun kecederaan Lisfranc memerlukan 6-12 minggu untuk memakai cast tetapi kecederaan tersebut memerlukan jangka masa setahun untuk sembuh sepenuhnya. Kaki yang bengkak selepas pembukaan cast adalah normal untuk beberapa hari, namun jika ia kembali bengkak adalah tidak normal dan anda boleh kembali cedera semula.
Jangka masa untuk anda berjalan seperti biasa bergantung pada diri anda dalam penjagaan kaki anda selepas pembukaan cast. Anda perlu ketahui bahawa otot anda dalam keadaan lemah dan memerlukan fisioterapi untuk kembalikan kekuatan otot.
Rasa lenguh pada betis sehingga kaki berkemungkinan kerana otot kaki anda masih lemah dan memerlukan masa untuk kembali kuat semula. Saya sarankan untuk anda gunakan tongkat buat masa ini sehingga kaki anda rasa selesa untuk berjalan tanpa bantuan. Anda perlu berjumpa dengan doktor di klinik jika simptom kesakitan atau bengkak menjadi lebih teruk.
Namun begitu ini hanyalah penerangan am dalam hal ini, saya nasihatkan anda untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan kesimpulan lebih lanjut. Anda juga boleh klik di link (DoctorOnCall) untuk berhubung dengan doktor kami secara peribadi untuk nasihat dan maklumat lebih lanjut daripada pakar. Terima kasih.































