
Sulit
4 tahun
Sakit bahu kiri hinggah ke dada
saya sering rasa sakit bahu sebelah kiri… terkadang sakit hinggah ke dada sebelah kiri dan tengkuk… sebelum ni sudah pernah ke hospital… sudah x-ray dan scan… doktor ckp tiada masalah… tapi sakit bahu dan dada kiri sering saya rasakan… ada kah saya ada masalah jantung… pertama kali kena sakit dada hinggah susah tarik nafas… lepas dari tu sering rasa sakit dada dan bahu hinggah sekarang… mohon bagi penerangan doktor… terima kasih…

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Selamat sejahtera dan terima kasih atas soalan yang diajukan.
Berdasarkan keterangan anda di atas, kami memahami kebimbangan anda tentang masalah sakit dada yang anda hadapi. Untuk makluman anda, sakit dada biasanya boleh disebabkan oleh pelbagai sebab:
- Refluks asid perut iaitu keadaan yang mana isi perut yang bersifat asidik naik ke esofagus dan menimbulkan rasa sakit dada memandangkan posisi esofagus yang terletak di belakang tulang dada.
- Sakit terkait otot dan tulang seperti costochondirits iaitu keradangan tulang rusuk. Biasanya pesakit sukar menentukan apakah sakit tersebut di dada atau rusuk terutamanya jika terkena tulang rusuk atas.
- Kecelaruan keresahan atau dalam bahasa Inggeris dikenali juga sebagai anxiety . Ia gejala fizikal yang timbul bersamaan dengan rasa bimbang seseorang.
- Kesan pengambilan ubat-ubatan. Kebanyakan ubat jika tidak digunakan dengan benar dapat menimbulkan kesan sampingan dan reaksi yang dapat mempengaruhi kesihatan seseorang
Keadaan atau penyakit lain yang jarang tetapi boleh timbul pada keluhan sakit dada adalah seperti berikut:
- Batu hempedu. Saluran hempedu mudah tersumbat sehingga menyebabkan keradangan dan timbulnya keluhan yang mirip sakit dada memandangkan posisinya yang dekat dengan dada
- Pancreatitis atau hepatitis iaitu keradangan organ dalaman seperti pankreas dan hati juga dapat menyebabkan sakit dada dikeranakan posisi organ tersebut yang dekat dengan dada
- Perikarditis iaitu keradangan selaput jantung ataupun myorcarditis iaitu keradangan otot jantung. Pada keadaan ini rasa sakit biasanya bertambah setiap kali menarik nafas.
- Pneumonia juga dikenali sebagai paru-paru berair biasanya akibat masalah jantung
- Pneumothorax iaitu satu keadaan apabila udara yang seharusnya keluar terperangkap di tepi paru-paru. Kes berkaitan penumothorax biasanya dianggap kecemasan dan disertai dengan sesak nafas. Ia dapat timbul akibat pelbagai hal seperti jangkitan ataupun trauma.
Untuk mengetahui punca sebenar serta rawatan yang tepat kepada masalah anda, maklumat lanjut adalah diperlukan sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat. Oleh itu, sekiranya gejala ini mengganggu aktiviti anda, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor dan memberi aduan mengenai gejala yang anda hadapi.
Jangan tunggu sehingga sakit menyerang. Jaga jantung anda bermula sekarang.
Sila menghubungi klinik atau hospital yang terdekat sekiranya terdapat gejala seperti yang berikut:
- Muntah atau pitam
- Berpeluh yang tidak terhenti
- Gejala bertambah berat
- Gejala yang anda alami berterusan
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Jika anda mempunyai keraguan, kami nasihatkan anda untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan kesimpulan yang lebih tepat. Anda juga boleh klik link ( DoctorOnCall ) untuk berhubung dengan doktor pakar kami secara peribadi. Terima kasih
Sakit dada boleh disebabkan oleh masalah jantung. Dapatkan nasihat daripada pakar kardiologi