Cara Berhenti Merokok

Bahaya Rokok Serta Cara Berhenti Merokok Yang Efektif

Baca Soalan

Pengenalan

Merokok merupakan satu tabiat yang buruk kerana ia bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan perokok malah ia juga memudaratkan kesihatan orang lain. Kandungan rokok telah terbukti meningkatkan risiko untuk menghidap pelbagai jenis penyakit yang serius. Oleh itu, setiap perokok digalakkan untuk berhenti merokok.

Bahaya Merokok

  • Kesan kepada perokok

Bahaya merokok yang paling utama ialah kemudaratan kesihatan perokok. Menurut keputusan kajian, merokok meningkatkan risiko sebanyak 10 kali ganda untuk menghidap 40 jenis penyakit serius.

Penyakit-penyakit serius yang sering dikaitkan dengan merokok ialah kanser paru-paru, penyakit jantung, angin ahmar dan kanser-kanser lain seperti kanser mulut dan kanser esofagus. Selain itu, ibu mengandung yang merokok juga akan mempunyai risiko tinggi untuk mengalami komplikasi-komplikasi seperti melahirkan anak yang tidak cukup bulan, tidak cukup berat badan atau mati semasa mengandung.

Selain kemudaratan kesihatan fizikal, merokok juga sering menjejaskan kesihatan mental dan sosial. Kajian telah menunjukkan bahawa perokok mempunyai tahap stres yang lebih tinggi berbanding dengan orang yang tidak merokok dan akibatnya mereka mengalami kecenderungan yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit psikiatrik seperti kemurungan. Harga rokok yang tinggi juga boleh menimbulkan kesusahan ekonomi kepada perokok. Kesulitan ekonomi ini boleh bertambah teruk jika seseorang perokok itu menghidap penyakit kronik seperti penyakit jantung akibat merokok untuk jangka masa yang lama.

  • Kesan kepada perokok pasif

Perokok pasif merujuk kepada orang yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok. Perokok pasif mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding dengan perokok untuk menghidap penyakit-penyakit serius seperti kanser dan penyakit jantung. Ahli-ahli keluarga terutamanya kanak-kanak merupakan golongan perokok pasif yang paling utama di negara kita. Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok pasif mudah menjadi sakit dengan mengalami batuk dan selesema. Selain itu, mereka juga mudah menghidap penyakit asma serta jangkitan telinga, hidung dan tekak.

Cara Berhenti Merokok

Pada zaman sekarang, terdapat pelbagai cara dan tips untuk berhenti merokok yang boleh digunakan. Namun demikian, faktor yang paling penting ialah keinginan perokok untuk berhenti merokok. Perokok-perokok yang ingin berhenti merokok boleh meminta nasihat daripada doktor di klinik berhenti merokok untuk membina keazaman dan keyakinan untuk berhenti merokok. Doktor akan meminta perokok untuk menetapkan satu tarikh untuk berhenti merokok dan perokok tersebut haruslah membuat nota peringatan dan membina keyakinan untuk berhenti merokok sebelum tarikh tersebut.

Doktor akan memberi cadangan tentang langkah-langkah yang membantu melawan keinginan merokok seperti: 

  • Menyibukkan diri dan melupakan keinginan diri untuk merokok

  • Melengah-lengahkan tindakan merokok seperti dengan memberitahu sendiri “sebentar lagi” atau “10 minit lagi”

  • Minum air kosong yang banyak dan mengelakkan minuman berkafein

  • Menjauhkan diri dari perokok-perokok lain

  • Menjauhkan diri dari tempat yang membenarkan tabiat merokok

  • Mengunyah gula kunyah atau buah-buahan untuk melegakan keinginan merokok

  • Meditasi dan memohon doa

Selepas perokok telah membina keinginan yang tinggi untuk berhenti merokok, doktor boleh mencadangkan beberapa kaedah untuk membantu berhenti merokok.

  1. Salah satu cara yang paling popular ialah nicotine replacement therapy atau rawatan penggantian nikotin.
  2. Perokok boleh menggunakan gula kunyah, lozenges, semburan atau pelekat yang mengandungi nikotin untuk mengurangkan ketagihan kepada kandungan nikotin di dalam rokok.
  3. Selain rawatan penggantian nikotin, ubat-ubatan lain seperti buproprion dan varenicline juga boleh digunakan untuk mengurangkan ketagihan dan menghindarkan penggunaan rokok.

Selain ubat-ubatan, behavioral therapy, iaitu sejenis rawatan psikologi yang mengubah tabiat serta tingkah laku seseorang juga boleh digunakan untuk membantu seorang perokok berhenti merokok. Kaedah ini melibatkan sesi-sesi kaunselling dengan seorang kaunselor atau pakar psikologi. Melalui sesi-sesi ini, kaunselor akan membantu perokok mencari unsur-unsur yang menyebabkan mereka untuk merokok seperti tekanan emosi, kesusahan ekonomi dan sebagainya. Selepas unsur-unsur tersebut telah dikenali, kaunselor akan membantu perokok menbuat pelan tindakan untuk membantu mereka berhenti merokok secara beransur-ansur.

Pada masa sekarang, penggunaan electronic cigarette atau rokok elektrik vape telah menjadi popular dalam kalangan perokok. Kebaikan penggunaan e-cigarette berbanding dengan rokok biasa ialah kos jangka lama yang lebih rendah, tidak menyebabkan rokok pasif dan tidak mempunyai kandungan tembakau, tar dan bahan-bahan kimia berbahaya yang lain. Namun begitu, bahaya rokok elektrik telah kian ditemui oleh pakar-pakar perubatan. Kajian telah menunjukkan bahawa penggunaan rokok elektrik boleh meningkatkan risiko menghidap kanser dan jangkitan paru-paru walaupun risiko tersebut adalah lebih rendah berbanding dengan rokok tembakau. Rokok elektrik juga sering menyebabkan kesan-kesan sampingan seperti sakit kepala, loya, muntah, pening, kegatalan mata dan jantung berdebar-debar. Oleh itu, penggunaan rokok elektrik untuk berhenti merokok adalah tidak digalakkan.

Kajian telah menunjukkan bahawa penggunaan kombinasi semua cara di atas ialah cara yang paling berkesan untuk berhenti merokok. Oleh itu, perokok yang mempunyai peluang paling tinggi untuk berhenti merokok ialah perokok yang

  • mempunyai keazaman yang tinggi

  • patuh dengan nasihat dan pelan tindakan yang ditetapkan oleh kaunselor dan

  • menggunakan ubatan berhenti merokok seperti yang telah dinasihatkan.

Kebaikan Berhenti Merokok

Perokok-perokok yang sedang mencuba berhenti merokok harus diingatkan bahawa keputusan mereka untuk berhenti merokok adalah untuk kebaikan kesihatan mereka serta ahli-ahli keluarga mereka supaya mereka akan mempunyai keyakinan dan keazaman untuk berhenti merokok sepenuhnya.

Faedah-faedah yang diperoleh daripada berhenti merokok adalah termasuk

  • Umur yang lebih panjang – secara amnya, orang yang tidak merokok boleh hidup 10 tahun lebih lama berbanding dengan orang yang merokok

  • Mencegah penyakit – berhenti merokok akan membantu mencegah pelbagai jenis penyakit serius seperti penyakit jantung dan kanser

  • Kualiti hidup yang lebih tinggi – orang yang merokok lebih sering sakit dan mengalami simtom-simtom seperti batuk, selesema dan sesak nafas berbanding dengan orang yang tidak merokok

  • Menjamin kesihatan orang lain – berhenti merokok akan mengelakkan ahli-ahli keluarga dan orang lain di sekeliling daripada terdedah kepada rokok pasif

  • Meningkatkan deria penglihatan, bau dan rasa

  • Meningkatkan kesihatan gigi dan gusi

  • Memiliki nafas yang lebih segar dan menyenangkan

  • Meningkatkan kesuburan

  • Menjamin kesihatan mental yang lebih baik

  • Menjimatkan wang – secara amnya, berhenti merokok boleh membantu menjimatkan wang sebanyak RM 1500 hingga RM 4000 setiap tahun

  • Melindungi alam sekitar – bahan-bahan kimia di dalam rokok boleh membunuh tumbuh-tumbuhan dan puntung rokok yang dibuang boleh menyebabkan kebakaran

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?