Demam

Penyebab, Gejala, Diagnosis, Petua Dan Ubat Sesuai Untuk Demam

Baca Soalan

Pengenalan demam

Demam yang juga dikenali sebagai “pyrexia” merujuk kepada suhu badan yang lebih tinggi daripada biasa. Ia boleh menjejaskan sesiapa sahaja tidak mengira umur dan ia merupakan salah satu cara sistem imun kita cuba memerangi jangkitan.

Suhu normal tubuh

Kerap kali, kita mengatakan kita mempunyai demam apabila badan terasa panas dan berkeringat. Namun, sentuhan atau anggaran merupakan cara yang tidak tepat untuk menentukan demam. Bagi mengenal pasti demam dengan lebih tepat, kita menggunakan termometer untuk memeriksa suhu badan. Suhu normal manusia adalah di sekitar suhu 37°C atau 98.6°F. Walau bagaimanapun, suhu normal badan boleh berubah sedikit bergantung kepada beberapa faktor lain seperti kitaran haid wanita atau senaman. Suhu badan kita juga biasanya lebih rendah pada waktu pagi dan lebih tinggi pada waktu malam. Semua perubahan ini adalah dikira normal.

Oleh itu, secara umumnya, berikut merupakan suhu-suhu yang ditentukan bagi menyeragamkan definisi demam:

  • Bayi mempunyai demam apabila suhu badannya melebihi 38°C atau 100.4°F.

  • Seorang kanak-kanak mempunyai demam apabila suhu mereka melebihi 37.5°C atau 99.5°F.

  • Dewasa mempunyai demam apabila suhu mereka melebihi 37.2-37.5°C atau 99-99.5°F.

Cara-cara memeriksa suhu badan

Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan untuk memeriksa suhu badan seperti termometer oral (mulut), rektum (dubur), tympanik (telinga) dan dahi (temporal artery). Adakalanya, suhu juga diperiksa menggunakan termometer di ketiak tetapi ia adalah tidak begitu tepat. Kesemua cara-cara ini mungkin akan memberikan ukuran suhu yang berbeza.

  • Purata suhu normal adalah sekitar 37°C menggunakan termometer oral.

  • Suhu rektum adalah 0.3-0.6°C lebih tinggi daripada suhu oral.

  • Suhu telinga adalah 0.3-0.6°C lebih tinggi daripada suhu oral.

  • Suhu ketiak biasanya 0.3-0.6°C lebih rendah daripada suhu oral.

  • Suhu dahi biasanya 0.3-0.6°C lebih rendah daripada suhu oral.

Doktor lebih kerap menggunakan termometer oral, tympanik atau dahi untuk memeriksa suhu badan kerana lebih selesa dan lebih senang dilakukan. Termometer rektum (dubur) biasanya disyorkan untuk bayi kerana ukurannya yang lebih tepat. Namun, terdapat risiko kecederaan di rektum sekiranya termometer dimasukkan terlalu mendalam.

Oleh sebab suhu adalah berbeza bagi termometer yang berlainan, setiap kali anda melaporkan suhu kepada doktor anda, nyatakan dari mana suhu anda diperiksa.

Jenis-jenis demam

Kita boleh menentukan jenis demam yang sedang berlaku mengikut beberapa faktor seperti sifat, tempoh serta gejala yang berkaitan untuk membantu bagi mengenal pasti penyebab demam tersebut.

Sekiranya kita melihat menggunakan sifat dan tempoh demam tersebut, contoh-contoh demam termasuk:

  • Demam berterusan: Demam yang kekal sepanjang 24 jam dan tidak berubah lebih daripada 1°C dalam tempoh tersebut. Demam ini sering berlaku akibat jangkitan seperti bakteria atau viral di paru-paru, jangkitan saluran kencing dan demam denggi.

  • Demam seketika (intermittent): Dalam tempoh 24 jam, demam hanya berlaku beberapa jam sehari dan pada masa yang lain, suhu badan adalah normal. Perubahan suhu ini boleh berlaku dalam corak berulang. Contoh penyakit yang boleh menyebabkan demam sebegini termasuk malaria dan septicemia (jangkitan darah).

  • Demam “remittent”: Demam berlaku sepanjang hari tetapi ia boleh turun naik lebih daripada 2°C dalam masa 24 jam. Demam ini tidak begitu kerap dan boleh dialami oleh pesakit dengan demam tifoid dan jangkitan injap jantung (endokarditis infektif).

Demam lebih kerap diklasifikasikan mengikut penyebabnya seperti:

  • Jangkitan virus yang menyebabkan jangkitan saluran pernafasan, selesema dan cirit-birit

  • Jangkitan kuman paru-paru (pneumonia), jangkitan saraf (meningitis), jangkitan saluran kencing

  • Demam denggi atau malaria

  • HIV

  • Kanser

  • Penyakit keradangan

  • Penyakit autoimun seperti lupus, arthritis rheumatoid, dan penyakit usus radang

  • Penyakit endokrin seperti hipertiroidisme

  • Kesan sampingan ubat

  • Kesan sampingan dadah rekreasi seperti amphetamine dan kokain

  • Tiada sebab yang dapat ditentukan

Doktor biasanya akan dapat menentukan penyebab demam dengan lebih tepat jika mengambil kira gejala-gejala yang dialami. Contoh-contoh demam yang kerap dilihat di Malaysia termasuk:

  • Demam viral adalah istilah payung untuk pelbagai jenis jangkitan virus yang menjejaskan tubuh. Jangkitan virus boleh menyebabkan pelbagai gejala seperti demam tinggi, sakit kepala, sakit badan, sakit sendi, loya, muntah dan sebagainya.

  • Selesema (common cold) dan flu adalah jangkitan saluran pernafasan yang disebabkan oleh pelbagai jenis virus. Gejala-gejalanya termasuk demam, batuk, sakit tekak, hidung berair, sakit otot atau badan, sakit kepala dan keletihan. Kedua-dua penyakit ini sukar dibezakan kerana menyebabkan gejala yang sama. Secara amnya, flu menyebabkan gejala yang lebih teruk daripada selesema. Flu juga boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang paru-paru dan jangkitan bakteria.

  • Pneumonia boleh disebabkan oleh jangkitan bakteria, virus dan kulat dan ia menyebabkan radang paru-paru sehingga sarung udara diisi dengan cecair atau nanah. Gejala-gejalanya termasuk kesakitan dada apabila anda bernafas, batuk, kahak, demam panas, kekeliruan (bagi warga tua, >65 tahun), sesak nafas, keletihan dan sebagainya.

  • Jangkitan saluran kencing biasanya disebabkan oleh bakteria dan boleh menjejaskan sama ada pundi kencing, urethra (saluran dari buah pinggang ke pundi kencing) atau buah pinggang. Gejala-gejalanya termasuk kencing yang lebih kerap, kesakitan atau sensasi bakar apabila kencing, kencing berbau, darah di dalam kencing, sakit perut bahagian bawah, demam panas, keletihan, kekeliruan atau perubahan tingkah laku bagi warga tua.

  • Demam denggi disebabkan oleh virus Denggi yang disebarkan oleh nyamuk Aedes. Gejalanya biasanya bermula 3-14 hari selepas jangkitan dan mereka termasuk demam tinggi, sakit kepala, sakit otot dan sendi, muntah dan ruam kulit. Penyakit ini biasanya disyaki jika seseorang hidup di kawasan yang diketahui mempunyai kadar demam denggi yang tinggi.

Tanda-tanda yang patut anda perhatikan

Bagi jangkitan yang ringan, demam mungkin boleh hilang dengan rehat yang mencukupi dan ubat. Namun, demam terlalu tinggi boleh menyebabkan komplikasi terutamanya bagi bayi dan kanak-kanak. Oleh itu, kunjungi doktor anda sekiranya:

Kanak-kanak

  • Tidak bermaya, muntah berulang kali, mempunyai sakit kepala yang teruk atau sakit perut, tidak dapat membuat hubungan mata dengan anda atau mempunyai gejala lain yang ketara yang menyebabkan ketidakselesaan.

  • Mempunyai demam yang berlangsung lebih daripada tiga hari.

  • Mempunyai masalah sistem imun tubuh atau penyakit lain yang sedia ada.

Dewasa

  • Suhu anda melebihi 39°C

  • Demam dan sakit kepala yang teruk

  • Tidak boleh tahan cahaya terang atau kepekaan terhadap cahaya yang luar biasa

  • Ruam kulit yang luar biasa, terutamanya jika ruam cepat bertambah buruk

  • Sakit belakang leher terutamanya apabila anda membengkokkan kepala anda ke hadapan

  • Kesukaran bernafas atau sakit dada

  • Kekeliruan

  • Muntah berterusan

  • Sakit perut atau kesakitan apabila membuang air kecil

  • Sawan

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?