Kencing Manis

Penyebab, Gejala, Diagnosis Dan Rawatan Penyakit Diabetes Insipidus

Baca Soalan

Apa Itu Diabetes Insipidus?

Diabetes Insipidus adalah sebuah penyakit yang berbeza daripada penyakit Diabetes Mellitus ataupun Kencing Manis. Pengertian diabetes insipidus adalah ia merupakan penyakit yang membuatkan tubuh seseorang untuk menghasilkan air kecil lebih banyak daripada yang sepatutnya. Penyakit ini berlaku apabila terdapat gangguan pada sejenis hormon yang dipanggil ‘anti-diuretic hormone’ (ADH) yang berfungsi di dalam mengawal keseimbangan kandungan air di dalam tubuh badan.

Diabetes Insipidus sendiri terbahagi kepada dua jenis:

  1. Central Diabetes Insipidus:
    Berlaku apabila tubuh badan tidak menghasilkan hormon ADH dengan cukup untuk mengekalkan air di dalam tubuh badan

  1. Nephrogenic Diabetes Insipidus:
    Tubuh badan menghasilkan hormon ADH dengan cukup, namun buah pinggang tidak memberikan respon terhadap hormon ADH yang dikeluarkan

Antara simptom-simptom yang dialami oleh pesakit-pesakit diabetes Insipidus adalah:

  • Kerap membuang air kecil, termasuk pada waktu tengah-tengah malam

  • Kuantiti air kecil yang banyak

  • Sentiasa berasa haus

Central Diabetes Insipidus

Central Diabetes Insipidus adalah suatu kondisi di mana berlakunya kekurangan di dalam penghasilan hormon ADH atau juga dikenali sebagai vasopressin di dalam tubuh badan. Ia adalah penyakit diabetes insipidus akibat kekurangan hormon ADH. Kekurangan penghasilan ADH ini menyebabkan kandungan air di dalam tubuh tidak dapat dikekalkan dan mengalami kondisi kerap membuang air kecil.

Kekurangan penghasilan ADH boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor-faktor yang mengganggu kawasan-kawasan di dalam tubuh melibatkan ‘hypothalamic osmereceptor’, ‘supraoptic’ atau ‘paraventricular nuclei’ dan ‘superior portion of the supraoptico-hypophyseal tract’. ADH dihasilkan di dalam hypothalamus dan akan dihantar ke dalam sistem aliran darah melalui ‘portal capillaries’ berhampiran kawasan ‘hypothalamus’.

Hypothalamus adalah merupakan sebuah struktur sebahagian daripada otak. Ia boleh dikatakan sebagai sebuah koordinator yang menyeragamkan fungsi-fungsi sistem endokrin di dalam tubuh badan. Hypothalamus akan mengumpulkan input-input yang diterima daripada ‘cortex’ otak, ‘fungsi autonomic’, input-input daripada cahaya serta suhu sekeliling dan input-input daripada sistem endokrin yang lain di dalam tubuh badan. Kemudian, hypothalamus akan mengeluarkan isyarat yang akan ditujukan kepada pituitary gland (kelenjar pituitary) yang kemudiannya akan melepaskan hormon-hormon yang mengandungi arahan-arahan yang spesifik kepada organ-organ yang berkenaan untuk melaksanakan tugas masing-masing. Sistem ini dikenali sebagai ‘Hypothalamo-pituitary axis’ yang akan memberikan arahan kepada organ-organ seperti tiroid, kelenjar adrenal dan kelenjar pembiakan yang dikenali sebagai gonads. Ia akan mempengaruhi kadar tumbesaran badan, pengeluaran susu ibu, keseimbangan kandungan air di dalam badan dan lain-lain.

Pesakit-pesakit yang mengalami penyakit Diabetes Insipidus pada kebiasaannya akan mengalami simptom-simptom seperti kerap kencing, kencing pada waktu malam dan kerap berasa haus (disebabkan oleh kandungan sodium yang tinggi relatif kepada kandungan air yang rendah). Simptom-simptom neurologi juga boleh terlihat jika punca penyakit ini mempunyai punca-punca yang berkaitan dengan sistem urat saraf (neurologi).

Kandungan sodium (natrium) di dalam serum pesakit yang mengalami Diabetes Insipidus didapati lebih tinggi daripada normal. Hal ini akan menyebabkan tubuh badan bertindak balas dengan merangsang rasa haus supaya air dapat menggantikan air yang keluar dengan banyak daripada tubuh badan disebabkan oleh kekerapan membuang air kecil. Kandungan sodium yang tinggi di dalam darah ini dikenali sebagai hypernatremia yang mana jika tidak dirawat boleh menyebabkan komplikasi yang teruk.

Nephrogenic Diabetes Insipidus

Nephrogenic Diabetes Insipidus (NDI) adalah sebuah keadaan di mana tubuh pesakit menghasilkan hormon ADH yang cukup namun menghadapi rintangan (resistance) yang berlaku pada ‘collecting tubules’ di dalam buah pinggang ataupun terdapat beberapa masalah yang berlaku seperti kecederaan yang berlaku pada bahagian ‘medullary’ di dalam buah pinggang. Kekurangan penyerapan sodium chloride juga turut menyumbang kepada keadaan ini.

NDI adalah sebuah keadaan yang tidak jarang berlaku dan kebanyakan daripada pesakit-pesakit yang terlibat adalah dalam kalangan mereka yang tua, tidak sihat dan telah mempunyai masalah buah pinggang yang akut ataupun kronik hal ini kerana mereka mempunyai masalah di dalam proses memekatkan air kencing. Di dalam penyakit kegagalan buah pinggang kronik, air yang keluar daripada buah pinggang kepada air kecil berlaku disebabkan oleh ketidakupayaan buah pinggang untuk mengekalkan bahan-bahan larutan di dalam tubuh lantas menyebabkan bahan-bahan larutan menarik air keluar sekali ke dalam air kecil serta disebabkan oleh masalah di dalam penerimaan reseptor V2 di dalam buah pinggang.

Poliuria

Poliuria merupakan kondisi yang menyebabkan seseorang itu mengalami kekerapan membuang air kecil dengan kerap. Ia boleh diberikan definisi sebagai pengeluaran kencing melebihi 3 liter sehari oleh orang dewasa dan 2 liter/meter persegi mengikut saiz tubuh badan kanak-kanak tersebut. Ia haruslah dibezakan dengan nocturia iaitu sebuah keadaan yang menyebabkan seseorang itu kerap membuang air kecil pada waktu malam tetapi tidak menyebabkan pengeluaran air kecil melebihi daripada jumlah yang normal.

Terdapat beberapa faktor-faktor yang boleh menyebabkan poliuria namun punca yang kerap menyebabkan keadaan ini berlaku adalah disebabkan oleh keadaan yang dikenali sebagai ‘osmotic diuretics’ yang berpunca daripada kandungan glukosa yang tinggi di dalam tubuh badan. Kandungan glukosa yang tinggi ini berlaku disebabkan oleh kencing manis yang tidak terkawal.

Peningkatan produksi air kencing ini dikenali sebagai diuresis dan bahan-bahan yang menyebabkan diuresis berlaku adalah diuretik. Untuk memudahkan pemahaman, diuretik boleh dibahagikan kepada semulajadi (natural) dan sintetik.

Solute (osmotic) diuresis

Sesetengah pesakit yang mempunyai masalah poliuria terutamanya yang berlaku secara akut berlaku disebabkan oleh solute atau osmotic diuresis di mana masalah utama yang berlaku adalah disebabkan oleh ketidakupayaan buah pinggang untuk menyerap kembali air kencing yang telah ditapis. Hal ini kerana solute atau larutan yang pekat terkandung di dalam air kencing yang telah ditapis tidak membenarkan air diserap kembali ke dalam saluran di dalam buah pinggang.

Punca-punca utama yang menyebabkan poliuria disebabkan oleh solute diuresis adalah:

  1. Glucosuria - Bermaksud glukosa di dalam air kencing. Ia disebabkan oleh kandungan glukosa yang tinggi pada pesakit kencing manis

  1. Urea diuresis - Keadaaan yang kebiasaannya berlaku kepada pesakit yang sedang sembuh daripada kecedereaan buah pinggang yang akut

  1. Sodium diuresis - Disebabkan oleh kemasukan air ke dalam tubuh badan melalui laluan intravena atau selepas saluran air kecil yang tersumbat pada daripada kedua-dua belah buah pinggang

  1. Mannitol - Bahan yang diberikan kepada pesakit untuk menurunkan tekanan intracranial yang tinggi, boleh juga menyebabkan osmotic diuresis dan poliuria.


‘Water diuresis’

Antara contoh-contoh ‘water diuresis’ adalah Primary polydipsia (meminum air dengan banyak), Central Diabetes Insipidus (CDI) dan Nephrogenic Diabetes Insipidus (NDI). Kondisi-kondisi ini mengeluarkan kuantiti air kencing yang banyak namun air kencing tersebut cair dan tidak pekat.

Di dalam primary polydipsia, kuantiti air kecil yang dikeluarkan adalah munasabah kerana ia berlaku disebabkan oleh seseorang yang meminum air dengan banyak. Namun, dalam keadaan Diabetes Insipidus, jumlah air kencing yang dihasilkan oleh buah pinggang tiada kaitan dengan amaun air yang diminum.

Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?