Kencing Manis

Bagaimana Diagnosis Penyakit Diabetes Insipidus

Baca Soalan

  • Penyakit diabetes insipidus akibat kekurangan hormon di dalam badan boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada kesihatan.
  • Untuk pesakit diabetes insipidus, mereka mengalami kekurangan penghasilan atau respons terhadap aktiviti “antidiuretic hormone” atau ADH di dalam badan. ADH merupakan sejenis hormon yang mengurangkan pembuangan air daripada badan kita.
  • Oleh itu, pesakit diabetes insipidus tidak berupaya menyimpan air di dalam badan mereka.   
  • Mereka akan mengalami tanda-tanda seperti:
    • Pembuangan air kencing yang berlebihan
    • Kerap rasa dahaga 
    • Pengambilan air sejuk yang berlebihan untuk melegakan kedahagaan mereka
  • Oleh itu, jika seseorang itu mengalami tanda-tanda ini, diagnosis diabetes insipidus harus dipertimbangkan oleh pakar-pakar perubatan.
  • Pengetahuan tentang sejarah pesakit serta pemeriksaan fizikal yang teliti adalah diperlukan untuk memperoleh diabetes insipidus diagnosis.
  • Jika seseorang pesakit itu pernah atau sedang mengalami masalah otak atau penyakit buah pinggang, maka pesakit tersebut mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap diabetes insipidus.
  • Untuk memperoleh diagnosis diabetes insipidus, sampel darah dan sampel air kencing akan diambil daripada pesakit. Biasanya, air kencing pesakit akan dikumpul sepanjang 24 jam sebelum dihantar ke makmal.
  • Jumlah air kencing yang dibuang oleh pesakit dalam jangka 24 jam akan dicatatkan. Di makmal, kepekatan dan kandungan garam, gula dan protein dalam air kencing akan diuji.
  • Paras gula dalam darah, keseimbangan kandungan garam serta fungsi buah pinggang akan diuji menggunakan sampel darah pesakit.
  • Selepas sampel air kencing dan darah telah dihantar ke makmal, “fluid deprivation test” akan dijalankan. Pesakit akan berpuasa dan dilarang minum air untuk masa 7 jam dan sampel air kencing akan diperoleh.
  • Selepas itu, pesakit akan diberi ubat “desmopressin” dan sampel air kencing akan diperoleh sekali lagi. Kandungan kedua-dua sampel air kencing akan diuji di makmal untuk mengetahui punca kepada gejala pesakit.
  • Jika ujian menghadkan pengambilan air tidak mendatangkan keputusan yang konklusif, maka pesakit akan menjalani ujian-ujian lain.
  • Untuk golongan pesakit dewasa, ukuran paras hormon ADH dalam darah serta sukatan kepekatan darah boleh digunakan untuk menentukan diagnosis. Untuk golongan kanak-kanak, mereka akan diberi ubat “desmopressin” untuk beberapa hari dan respons mereka akan dicatatkan.
  • Sampel darah dan air kencing juga akan diambil setiap hari untuk diuji.
  • Jika gejala mereka makin reda selepas pemberian ubat “desmopressin”, maka pesakit tersebut berkemungkinan besar telah menghidap penyakit “cranial diabetes insipidus” yang disebabkan oleh masalah di otak.
  • Jika kondisi pesakit tersebut tidak berubah menjadi lebih baik, maka pesakit tersebut berkemungkinan menghidap “nephrogenic diabetes insipidus” yang berpunca daripada masalah buah pinggang.

Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy