Kencing Manis

Penyebab, Gejala, Diagnosis, Rawatan Dan Ubat Penyakit Kencing Manis

Baca Soalan

Pengenalan jenis kencing manis

Kencing manis juga dikenali sebagai diabetes mellitus. Ia adalah satu penyakit yang menyebabkan kadar gula atau glukosa dalam badan menjadi terlalu tinggi atau digelar ‘hyperglycaemia’ di mana ia berbahaya kepada badan. Namun, diabetes mellitus tidak ada kena mengena dengan sejenis penyakit lain yang digelar diabetes insipidus walaupun namanya hampir serupa. Diabetes insipidus adalah sejenis penyakit yang menyebabkan retensi air kerana masalah buah pinggang.

Untuk fakta kencing manis, ia merupakan salah satu penyakit kronik yang menelan banyak kos perubatan bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Menurut epidemiologi diabetes pada tahun 2018, dianggarkan sebanyak 2.5 juta rakyat Malaysia yang mempunyai penyakit kencing manis berusia antara 18 tahun dan ke atas. Ini menjadikan Malaysia antara negara yang mempunyai penghidap kencing manis yang paling tinggi di Asia.

Antara punca utama penyakit ini ialah kerana gaya hidup yang tidak sihat seperti diet yang tidak seimbang dan kurang bersenam akan menyumbang kepada terjadinya obesiti. Obesiti bukan sahaja boleh menyebabkan kencing manis, malah ia boleh menyebabkan darah tinggi, kolesterol tinggi dan meningkatkan risiko penyakit jantung. Untuk rekod, Malaysia juga merupakan antara negara yang mempunyai ramai rakyat yang obes berbanding negara-negara Asia yang lain. Hal ini sudah pasti akan menelan kos yang tinggi untuk membiayai kos mengubati penyakit kencing manis dan juga mengubati kesan penyakit kencing manis seperti buta mata dan kehilangan kaki akibat diabetic foot. Akibatnya, Malaysia juga akan kerugian dari segi tenaga buruh dan perkara ini akan turut menjejaskan ekonomi negara.

Sebagai pengenalan diabetes, kita perlu memahami bahawa gula merupakan salah satu komponen yang penting agar badan boleh berfungsi dengan baik. Namun, ia bergantung kepada bagaimana sistem badan kita mengawal gula agar tidak terlalu banyak dan terlalu sedikit dalam badan.

Gula atau glukosa merupakan satu elemen yang sangat penting dalam badan. Setiap sel dan tisu di dalam tubuh badan memerlukan gula sebagai nutrisi yang penting. Aktiviti harian seperti berjalan, berfikir, bersenam, makan dan juga tidur memerlukan gula sebagai sumber tenaga. Apabila kita makan, badan akan mencerna karbohidrat sebelum ia menjadi gula tidak kompleks dan memasuki darah untuk dibawa ke seluruh badan. Gula akan dibawa oleh darah ke setiap sudut bahagian badan bersama-sama oksigen. Sekiranya sel tidak mendapat gula yang cukup, sel boleh mati. Namun, gula yang berada di dalam aliran darah hanya boleh dipindahkan ke dalam sel-sel yang diperlukan sekiranya terdapat hormon insulin. Insulin boleh diibaratkan sebagai kunci ataupun jambatan untuk memindahkan gula di antara darah dan sel-sel tisu badan. Insulin berfungsi sebagai elemen paling penting di dalam sistem buffer tubuh badan agar gula berada pada paras yang normal. Ia akan dihasilkan dengan lebih banyak oleh pankreas sekiranya kadar gula dalam darah yang dikesan di dalam badan lebih tinggi daripada sepatutnya dan sebaliknya jika kadar gula rendah.

Disfungsi atau ketiadaan hormon insulin akan menyebabkan kadar gula di dalam darah menjadi tinggi dalam jangka masa yang panjang. Hal ini tidak baik untuk tubuh badan kerana ia boleh merosakkan pembuluh darah dan urat saraf. Diabetes mellitus terjadi disebabkan ketiadaan atau kekurangan insulin dalam badan atau badan menjadi lali dengan insulin. Kelalian terhadap insulin ini digelar sebagai ‘insulin resistance’. Kedua-dua keadaan ini boleh terjadi kepada seseorang di dalam sebuah jangka masa yang sama.

Apakah jenis-jenis diabetes?

Penyakit kencing manis atau diabetes boleh dibahagikan kepada 3 kategori, bergantung kepada penyebab atau patofisiolgi diabetes melitus. Antaranya adalah:

  1. Penyakit Diabetes Jenis 1:

    Penyakit ini hanya merangkumi 7% daripada keseluruhan insiden kesemua jenis kencing manis. Penyakit ini disebabkan oleh tindakan autoimun di mana badan tidak boleh menghasilkan insulin yang cukup atau tiada langsung insulin kerana sel-sel pankreas yang rosak.

    Penyakit ini biasanya dikesan pada kanak-kanak di mana mereka akan menunjukkan simptom-simptom seperti terlampau haus, kerap kencing dan lebih teruk lagi mereka juga mungkin mengalami satu situasi yang berbahaya yang dikenali sebagai diabetic ketoacidosis.

    Akibat ketiadaan insulin, badan akan memecahkan protein dan lemak untuk mendapatkan gula atau glukosa. Produk yang terhasil daripada proses ini dikenali sebagai ketone, dimana ia akan menyebabkan keadaan badan menjadi sangat berasid. Ia boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera. Antara simptom-simptom diabetic ketoacidosis ialah

    • Tidak sedarkan diri
    • Sakit perut
    • Bernafas terlalu cepat
    • Nafas berbau manis seperti buah
    • Kulit yang pucat


    Penghidap penyakit diabetes jenis 1 akan memerlukan insulin dari luar badan sepanjang hayat mereka. Mereka juga lebih berisiko untuk mendapat penyakit autoimun yang lain.


  1. Penyakit Diabetes Jenis 2:


    Penyakit ini merupakan jenis kencing manis yang dialami oleh majoriti masyarakat iaitu sebanyak 90-95% daripada jumlah kes-kes kencing manis. Kebiasaannya pesakit tergolong daripada golongan dewasa atau warga emas tua serta kebanyakan pesakit adalah pesakit yang obes.

    Antara faktor-faktor penyumbang kepada penyakit ini ialah kegemukan atau obesiti yang berpunca daripada gaya hidup tidak sihat dan diet yang tidak seimbang.


  1. Penyakit Diabetes Ketika Mengandung:

    Penyakit jarang berlaku ini boleh dialami oleh wanita mengandung. Ia biasanya akan hilang selepas bersalin. Namun wanita ini akan lebih terdedah untuk mendapatkan kencing manis jenis 2 di masa hadapan.

Berapakah kadar normal gula dalam darah

Kadar gula dalam darah bergantung kepada jumlah karbohidrat yang memasuki badan. Secara amnya, di klinik ataupun hospital, terdapat kadar gula normal menurut usia dan ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu kadar gula rawak (random glucose) atau kadar gula berpuasa (fasting glucose). Kadar gula ketika berpuasa akan dikira jika pesakit tidak mengambil sebarang makanan dan minuman sepanjang 8 jam atau lebih, kebiasaannya diambil selepas bangun daripada tidur pada waktu pagi. Glukometer boleh digunakan untuk memeriksa kadar gula di dalam darah dengan cepat dan boleh dilakukan di klinik atau rumah.

Berikut merupakan kadar gula untuk diagnosis kencing manis:

  • Rawak (Random Glucose) - lebih dari > 7.0 mmol/L

  • Berpuasa (Fasting Glucose) - lebih dari > 11.0 mmol/L

Namun untuk diagnosis yang lebih tepat terdapat sejenis ujian yang dikenali sebagai ujian darah HbA1c. Ia boleh dilakukan untuk melihat kadar gula dalam darah dalam masa 3 bulan yang lepas. Amat disyorkan supaya anda berhubung dengan seorang doktor sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkenaan ujian-ujian darah ini.

Apakah definisi kencing manis jenis 2?

Patofisiolgi diabetes melitus jenis 2 adalah pada kebiasaannya berlaku disebabkan oleh pemilihan gaya hidup yang tidak sihat. Makanan yang tinggi kandungan kalori dan gula, diet yang tidak seimbang, tidak aktif bersenam, merokok dan pada akhirnya ini semua perkara ini menyumbang kepada kegemukkan atau obesiti. Ini adalah faktor risiko paling penting untuk seseorang mendapat penyakit kencing manis.

Usia yang semakin lanjut dan faktor-faktor keturunan juga telah dikenal pasti sebagai antara salah satu risiko yang tidak boleh diubah. Kencing manis jenis 2 boleh terjadi apabila badan telah menjadi kalis atau lali dengan tindakan insulin kerana tubuh sudah biasa terdedah kepada kadar gula yang tinggi. Ia juga boleh berlaku sekiranya sel-sel pankreas telah rosak dan tidak lagi mampu mengeluarkan insulin yang cukup untuk memenuhi keperluan tubuh badan ataupun kedua-duanya berlaku serentak.

Tanda-tanda seseorang itu sedang mengalami kencing manis

  • Kadar kencing yang banyak,
  • Berasa terlampau haus,
  • Terlalu penat,
  • Gatal-gatal pada bahagian kemaluan

Namun tidak semua pesakit mempunyai simptom-simptom ini kerana kebanyakan daripada pesakit-pesakit diabetes mellitus jenis 2 tidak mempunyai sebarang simptom. Akibat daripada kencing manis jenis 2 ini, pesakit boleh mengalami sakit kaki diabetik (diabetic foot), kerosakan buah pinggang, buta mata, kerosakan sistem saraf dan juga meningkatkan risiko menghidapi penyakit jantung.

Untuk merawat keadaan ini, ia perlu bermula dengan merubah gaya hidup supaya menjadi lebih sihat sebagai contoh dengan pengambilan makanan yang rendah kandungan gula dan karbohidrat serta meningkatkan kekerapan bersenam. Sekiranya kandungan gula masih tidak dapat dikawal dengan baik dengan kaedah-kaedah ini, ubat merendahkan gula atau hypoglycaemic agent boleh digunakan sebelum menggunakan insulin. Pada peringkat awal, diabetes boleh disembuhkan sekiranya pesakit berjaya mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?