Kencing Manis

Komplikasi Dan Kesan Buruk Penyakit Diabetes Jenis 2

Baca Soalan

  • Komplikasi kencing manis boleh dibahagikan kepada mikrovaskular (disebabkan oleh kerosakan pada saluran darah kecil) dan makrovaskular (disebabkan oleh kerosakan pada salur darah yang lebih besar).
  • Komplikasi mikrovaskular merangkumi kerosakan pada mata (retinopathy) yang menyebabkan masalah penglihatan seperti kebutaan, kerosakan buah pinggang (nephropathy) yang membawa kepada kegagalan buah pinggang dan saraf (neuropathy) yang membawa kepada ketidakupayaan dan masalah kaki diabetik (termasuk jangkitan teruk yang membawa kepada amputasi).
  • Komplikasi makrovaskular termasuk penyakit kardiovaskular seperti:
    • Serangan jantung
    • Angin ahmar
    • Kekurangan aliran darah ke kaki
  • Terdapat bukti dari kajian UK Prospective Diabetes Study yang menunjukkan bahawa kawalan metabolik yang baik dalam kedua-dua jenis diabetes 1 dan 2 boleh melambatkan komplikasi ini.

Retinopati diabetes (penyakit mata)

  • Retinopati diabetes adalah antara kesan kencing manis yang paling lazim dikenal pasti yang menyebabkan cacat penglihatan dan seterusnya buta.
  • Dianggarkan bahawa 60% pesakit yang menghidapi kencing manis jenis 2 akan mengalami masalah penglihatan selepas 20 tahun menghidap penyakit diabetes.
  • Masalah ini disebabkan oleh kerosakan salur darah kecil ke lapisan belakang mata iaitu retina, yang menyebabkan hilangnya penglihatan yang progresif dan seterusnya kebutaan. Biasanya, pesakit mengadu kabur penglihatan.
  • Diagnosis perubahan awal dalam salur darah retina boleh dibuat melalui pemeriksaan mata.

Nefropati (penyakit buah pinggang)

  • Bahaya kencing manis adalah apabila penyakit ini menyebabkan kerosakan salur darah pada buah pinggang. Hal ini boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang berfungsi seperti biasa, dan akhirnya menyebabkan kematian.
  • “Microalbuminuria” adalah tanda awal penyakit buah pinggang disebabkan oleh diabetes.
  • Penyakit buah pinggang disebabkan oleh kencing manis (nefropati) didefinikan apabila:
    • Kandungan protein dalam air kencing (proteinuria) melebihi 500 mg dalam 24 jam

    • “Microalbuminuria” iaitu perkumuhan albumin 30-299 mg dalam 24 jam

  • Jika tiada sebarang rawatan diterima oleh pesakit mereka akan memerlukan cucian darah (dialisis).

Neuropati (masalah saraf)

  • Diabetes menyebabkan kerosakan saraf melalui beberapa cara yang berbeza, termasuk kerosakan langsung akibat kandungan gula yang tinggi dalam darah.
  • Oleh yang demikian, aliran darah ke saraf berkurang kerana salur darah kecil bermasalah.
  • Kerosakan saraf ini boleh mengakibatkan:
    • Kehilangan deria
    • Kerosakan kepada anggota badan
    • Mati pucuk pada lelaki yang menghidap diabetes
  • Gejala-gejala yang biasa dialami oleh pesakit adalah bergantung pada saraf mana yang terlibat. Sebagai contoh, kebas kaki, sakit kaki ataupun mati pucuk.
  • Masalah deria pada kaki boleh menyebabkan pesakit tidak dapat mengesan luka dan seterusnya mendapat jangkitan pada kaki.
  • Sekiranya tidak dirawat lebih awal, ini boleh menyebabkan bahagian badan berkenaan dibuang secara amputasi. Diagnosis awal boleh dibuat dengan mengesan gejala dan pemeriksaan yang teliti oleh doktor.
  • Masalah saraf boleh dinilai dengan sejenis alat seperti wayar halus iaitu (10-g monofilament). 
  • Komplikasi diabetes yang paling kerap dialami oleh sakit ialah ulser pada kaki (diabetic foot ulcer) terutamanya dalam kalangan masyarakat yang tidak memakai kasut yang sesuai.
  • Pemeriksaan yang kerap dan penjagaan yang baik dapat mencegah kaki dari dipotong.

Penyakit kardiovaskular

  • Bahaya kencing manis adalah penyakit ini boleh menjadi pencetus kepada beberapa jenis penyakit yang lain seperti :
    • Serangan jantung
    • Angina
    • Kegagalan fungsi jantung 
    • Kematian secara mengejut
  • Kesan kencing manis adalah kerosakan pada salur darah melalui proses yang dipanggil "aterosklerosis", atau salur darah tersumbat.
  • Apabila arteri tersumbat, ia boleh mengakibatkan aliran darah berkurangan ke otot jantung (menyebabkan serangan jantung), atau ke otak (menyebabkan angin ahmar atau strok), atau ke kaki (menyebabkan kesakitan dan mengambil masa yang lama untuk jangkitan tersebut sembuh).
  • Gejala yang sering dialami adalah berbeza. Sesetengah pesakit mengalami sakit dada, sakit kaki atau lumpuh.
  • Beberapa risiko yang boleh dikawal adalah:
    • Merokok
    • Tekanan darah tinggi
    • Paras kolestrol yang tinggi 
    • Masalah kegemukan (obesiti)
  • Jika risiko ini dapat dicegah, komplikasi ini dapat dihindari.

Written by: Dr Sashini Seeni

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy