Ejakulasi Pramatang

Apakah Komplikasi Ejakulasi Pramatang (Cepat Pancut)?

Baca Soalan

  • Ejakulasi pramatang atau “pancut awal” merupakan satu masalah yang agak biasa dalam kalangan lelaki. Ejakulasi pramatang boleh mendatangkan pelbagai jenis komplikasi bukan sahaja kepada pihak lelaki tetapi pasangannya juga.
  • Secara amnya, ejakulasi pramatang dikategorikan sebagai sejenis kondisi mental di mana tiada punca organik boleh ditemui untuk gejala ini. Oleh itu, ejakulasi pramatang biasanya tidak akan mendatangkan sebarang komplikasi fizikal secara langsung kepada pesakit.
  • Namun demikian, pancut awal boleh mendatangkan kemudaratan secara tidak langsung kepada pesakit dan kesan-kesan negatif tersebut akan memburukkan kualiti hidup pesakit.
  • Salah satu komplikasi utama bagi pesakit ejakulasi pramatang adalah masalah stres yang berlebihan. Pesakit yang mengalami kesan pancut awal biasanya akan mempunyai keyakinan diri yang rendah.
  • Dalam kalangan masyarakat sekarang, terdapat persepsi bahawa kaum lelaki haruslah “kuat” dan “mampu tahan lama” semasa menjalankan hubungan kelamin dengan pasangannya. Lelaki yang tidak mampu bertahan lama dan “pancut awal” akan dikatakan sebagai lemah dan “tidak cukup jantan”.
  • Hal ini akan menimbulkan banyak tekanan emosi kepada pihak lelaki. Kondisi ini akan menjadi lebih teruk apabila persepsi dan stereotaip masyarakat menghalang pesakit-pesakit terutamanya pesakit-pesakit lelaki daripada mendapatkan bantuan dan rawatan untuk masalah kelamin mereka.
  • Justeru itu, lelaki yang mengalami masalah pancut awal akan sentiasa risau tentang prestasi mereka dan mereka sering cemas dan tidak berpuas hati semasa menjalankan hubungan kelamin. Keadaan ini boleh menyebabkan geseran dan keretakkan dalam hubungan antara suami dan isteri.
  • Baru-baru ini, terdapat beberapa kajian yang menyatakan bahawa pasangan kepada lelaki yang mengalami ejakulasi pramatang juga akan mengalami tekanan emosi dan stres yang berlebihan. Stres dalam golongan ini biasanya berpunca daripada masalah hubungan mereka dengan suami, tetapi sebahagian kecil dari golongan wanita ini mengalami tekanan kerana mereka tidak berpuas hati dengan prestasi suami mereka dan ketidakrelaan suami mereka untuk mendapatkan rawatan untuk kondisi ejakualsi pramatang.
  • Stres yang kronik untuk kedua-dua pasangan akan menyebabkan perpisahan dan perceraian serta masalah psikiatrik seperti kemurungan.
  • Selain masalah stres, ejakulasi pramatang juga boleh menyebabkan masalah ketidaksuburan. Hal ini terjadi apabila pihak lelaki gagal menjalankan ejakulasi yang berkesan semasa menjalankan hubungan kelamin.
  • Pasangan lelaki tersebut akan menghadapi kesukaran untuk hamil kerana jumlah air mani yang dilepaskan ke dalam rahim adalah kurang daripada normal. Hal ini akan menimbulkan lebih banyak tekanan kepada pasangan yang ingin mendapatkan anak sendiri.
  • Kesimpulannya, ejakulasi pramatang boleh mendatangkan kesan negatif yang serius kepada kesihatan mental pesakit lelaki serta pasangannya. Oleh itu, rawatan awal harus diperoleh dengan secepat mungkin untuk mengelakkan komplikasi.

Written by: Dr Nathaniel Ho

MBBS

18 Aug 2018
Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy