Haid Berlebihan

Menorrhagia - Penyebab, Gejala, Rawatan

Baca Soalan

Kitaran haid bagi setiap wanita adalah berbeza. Apa yang dikira 'normal' untuk seseorang mungkin dianggap tidak 'normal' untuk wanita yang lain. Walau bagaimanapun, haid tidak teratur boleh menyebabkan ketidakselesaan, menjejaskan tahap kesihatan dan mengganggu gaya hidup seseorang.

Secara puratanya, kebanyakan wanita mengalami tempoh kitaran haid selama 28 hari. Tempoh pendarahan haid pula boleh berlangsung selama 3-8 hari dan pendarahan biasanya adalah paling berat pada 2 hari pertama kitaran haid seseorang. Ketika pendarahan haid berlaku, seseorang dianggarkan akan kehilangan kira-kira 30-72 mililiter (5-12 sudu teh) jumlah darah. Namun, tempoh haid serta jumlah pendarahan ini boleh berubah bergantung kepada pelbagai faktor seperti tahap kesihatan dan gaya hidup seseorang.

Apa itu haid berlebihan?

Definisi haid berlebihan atau menorrhagia adalah:

  • Pendarahan yang berjumlah 80mL atau lebih dalam satu kitaran haid

  • Tempoh pendarahan yang berlangsung lebih daripada 7 hari

  • Atau kedua-duanya

Walaupun definisi di atas telah ditentukan, seseorang tidak perlu mengukur kehilangan darah bagi menentukan “menorrhagia.” Kebanyakan wanita mengenali pendarahan yang normal untuk diri mereka dan mampu mengenalpasti perubahan yang berlaku apabila haid menjadi tidak teratur.

Petunjuk baik bagi pendarahan haid yang berlebihan adalah jika anda:

  • perlu menukarkan produk penjagaan haid anda (tuala wanita atau tampon) setiap satu atau dua jam

  • melepaskan darah beku yang saiznya melebihi 2.5cm (kira-kira saiz syiling 50 sen)

  • mengalami pendarahan yang banyak sehingga terkena pakaian atau tempat tidur anda

  • perlu menggunakan dua jenis produk penjagaan haid bersama-sama (misalnya, tampon dan tuala wanita atau dua tuala wanita) bagi mengelakkan pendarahan haid daripada terbocor

Kesan pendarahan haid yang berlebihan ini boleh menyebabkan kekurangan darah merah (anemia) dan menyebabkan gejala-gejala seperti pening, rasa penat, kekurangan tenaga, degupan jantung yang laju, pernafasan yang lebih cepat dan kepucatan.

Punca haid berlebihan/ darah haid banyak

Terdapat pelbagai faktor risiko seperti usia dan masalah kesihatan yang boleh menjejaskan kitaran haid. Bagi hampir 50% wanita yang mengalami masalah ini, punca pendarahan berlebihan tidak diketahui. Namun, ia adalah penting seseorang itu mendapatkan pemeriksaan yang teliti untuk mengenalpasti jika terdapatnya sebarang masalah melalui sesi bersoal tanya mengenai gejala yang dialami, pemeriksaan fizikal serta ujian tambahan.

Kadangkala, punca menstruasi berlebih disebabkan oleh apa-apa penyakit atau keadaan yang boleh menjejaskan struktur dan fungsi rahim dan ovari seperti:

  • Anovulasi: Keadaan ini merujuk kepada kegagalan ovulasi akibat disfungsi ovari yang tidak berjaya melepaskan telur ketika kitaran haid tersebut. Tanpa pelepasan telur ini, tubuh tidak menghasilkan hormon progesteron seperti biasa sehingga menyebabkan ketidakstabilan lapisan rahim dan justerunya menyebabkan pendarahan haid yang berlebihan dan berpanjangan. Keadaan ini kerap terjadi kepada remaja perempuan yang baru bermula haid dan ovulasi.

  • Fibroid: Ia merupakan ketumbuhan bukan kanser di dinding rahim berotot yang boleh menyebabkan gejala seperti pendarahan berat dan kesakitan perut bawah.

  • Polyp: Ia merupakan ketumbuhan bukan kanser pada lapisan rahim dan ia menjejaskan wanita yang lebih tua.

  • Adenomyosis: Ia berlaku apabila tisu lapisan rahim tertanam di dalam otot rahim. Sindrom ovari polisistik (PCOS): Ovari mengalami disfungsi sehingga ia menyebabkan kitaran haid yang tidak teratur dan pendarahan haid yang berat.

  • Penyakit radang pelvis (Pelvic Inflammatory Disease): Ia merujuk kepada jangkitan saluran organ reproduktif seperti rahim, tiub fallopian atau ovari yang boleh menyebabkan kesakitan pelvis atau abdomen, pendarahan selepas seks, pendarahan haid yang tidak teratur, discaj dari faraj dan demam panas.

  • Endometriosis: Keadaan ini terjadi akibat tisu dari lapisan rahim yang dijumpai di luar rahim.

  • Kanser rahim atau serviks: Gejala yang paling biasa berlaku adalah pendarahan dari faraj yang tidak normal, terutamanya selepas menopaus.

Masalah kesihatan yang lain juga boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon sehingga menjejaskan pendarahan haid. Contoh-contohnya termasuk:

  • Gangguan pembekuan darah seperti penyakit Von Willebrand

  • Hipotiroidisme: Kelenjar tiroid yang tidak menghasilkan hormon tiroid yang mencukupi boleh menyebabkan pendarahan haid yang berlebihan serta gejala lain seperti keletihan, peningkatan berat badan dan kemurungan.

  • Diabetes

Ubat-ubatan yang digunakan juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti gangguan haid. Contoh-contohnya termasuk:

  • Alat kontraseptif dalam rahim (IUD): Ia boleh memanjangkan tempoh pendarahan haid atau menyebabkan pendarahan yang lebih berat terutamanya ketika 3 hingga 6 bulan pertama selepas ia dipasangkan.

  • Ubat antikoagulan

  • Ubat untuk kemoterapi

  • Suplemen herba: Ubat-ubat ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon dan menjejaskan kebolehan badan untuk membeku darah. Contoh-contoh herba termasuk ginseng, ginkgo dan soya.

Cara menghentikan pendarahan haid yang lama

Pilihan rawatan dan cara mengatasi menstruasi berlebihan adalah bergantung kepada:

  • Punca darah haid banyak

  • Gejala yang berkaitan seperti kesakitan perut dan ketidaksuburan

  • Tahap kesuburan wanita: Keperluan kontraseptif atau rancangan untuk menjadi hamil pada masa hadapan

  • Kontraindikasi terhadap ubat-ubat

  • Masalah perubatan yang lain

  • Pilihan pesakit bagi rawatan yang mempunyai kesan jangka pendek seperti ubat atau jangka panjang seperti pembedahan

Contoh cara-cara menghentikan pendarahan haid yang lama termasuk:

  • Alat kontraseptif dalam rahim Levonorgestrel (LNG-IUD) - Mirena: Alat kontraseptif yang mengandungi hormon progestogen ini dimasukkan ke dalam rahim oleh pegawai perubatan. Hormon yang dilepaskan boleh membantu mengstabilkan lapisan rahim bagi mengurangkan pendarahan haid yang berat.

  • Ubat tanpa hormon: Contoh-contoh ubat yang boleh digunakan termasuk asid tranexamic dan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDS). Ubat-ubat ini tidak mengandungi hormon maka ia tidak akan menjejaskan tahap kesuburan pesakit.

  • Ubat hormon: Contoh-contoh ubat termasuki pil kontrasepsi gabungan yang mengandungi estrogen dan progestogen atau tablet progestogen boleh membetulkan ketidakseimbangan hormon bagi mengurangkan pendarahan haid yang berat. Ubat-ubat ini juga merupakan kontraseptif yang boleh mencegah kehamilan daripada berlaku.

Pembedahan juga merupakan salah satu cara mengatasi darah haid yang keluar terlalu banyak. Namun, pilihan rawatan ini adalah bergantung kepada saiz rahim dan keinginan pesakit untuk mengekalkan kesuburan dan keinginan untuk menjadi hamil pada masa hadapan.

  • Ablasi endometrium: Prosedur ini digunakan untuk membuang lapisan rahim bagi mengurangkan pendarahan haid.

  • Embolisme arteri rahim : Prosedur ini melibatkan pelepasan gelembung udara yang kecil ke dalam saluran darah yang membekalkan darah kepada rahim dan ia membantu mengecutkan saiz fibroid bagi mengurangkan pendarahan haid.

  • Histerektomi: Ia merupakan pembedahan bagi membuang organ rahim. Prosedur ini lebih sesuai bagi wanita yang sudah melengkapi keluarga mereka.

  • “Myomectomy”: Ia merupakan sejenis pembedahan bagi membuang fibroid, ketumbuhan di dalam dinding rahim.

Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?