Darah Tinggi

Apakah Penyakit Hipertensi Pulmonal Dan Rawatan Sesuai?

Baca Soalan

Apakah Hipertensi Pulmonari

Hipertensi pulmonari ataupun di dalam istilah perubatan dikenali sebagai (Pulmonary hypertension) adalah penyakit di mana seseorang itu mempunyai tekanan darah yang tinggi di dalam paru-paru. Tekanan darah yang normal di dalam paru-paru adalah 8 sehingga 20 mmHg ketika berada di dalam keadaan yang tenang. Hipertensi pulmonal adalah satu keadaan di mana apabila bacaan tekanan darah di dalam paru-paru mencapai 25 mmHg ketika rehat ataupun 30 mmHg ketika melakukan aktiviti fizikal.

Buat pengetahuan anda, sistem kitaran darah yang berada di dalam tubuh badan manusia boleh dibahagikan kepada sistem kitaran sistemik dan sistem kitaran pulmonari. Sistem kitaran sistemik merupakan sistem yang bermula daripada jantung dan pergi ke seluruh badan membawa darah segar yang mengandungi oksigen melalui saluran darah yang paling besar di dalam tubuh iaitu aorta. Kitaran ini kemudiannnya akan kembali ke jantung melalui dua saluran vena yang terbesar di dalam badan iaitu saluran (Superior vena cava) daripada kepala dan tangan, serta saluran (Inferior vena cava) yang menyalurkan baki darah yang kembali ke jantung daripada kaki dan bahagian bawah tubuh.

Sistem kitaran darah pulmonari pula ataupun (Pulmonary circulatory system) membawa darah yang mempunyai kadar oksigen yang rendah daripada jantung setelah diterima daripada kedua-dua vena cava kepada kitaran paru-paru. Paru-paru akan membekalkan oksigen kepada darah yang melalui saluran ini dan kemudiannya akan dihantar kembali kepada jantung. Arteri pulmonari merupakan satu-satunya arteri di dalam tubuh badan yang membawa bekalan darah yang mempunyai kadar oksigen yang rendah kerana ia berasal daripada keseluruhan tubuh badan. Manakala, saluran vena daripada paru-paru iaitu vena pulmonari merupakan satu-satunya saluran vena yang membawa bekalan darah yang mempunyai kandungan oksigen yang tinggi.

Bagaimana Hipertensi Pulmonari Terjadi

Hipertensi pulmonal adalah keadaan yang berlaku apabila terdapat peningkatan tekanan darah sistem kitaran pulmonari lebih daripada tahap normal. Tekanan darah yang normal di dalam saluran arteri pulmonari adalah 8 hingga 20 mmHg ketika rehat seperti yang telah dinyatakan di atas. Apabila tekanan di dalam arteri mencapai tekanan 25 mmHg semasa rehat ataupun 30 mmHg, maka ia akan dikategorikan sebagai hipertensi pulmonari. Hal ini boleh terjadi disebabkan oleh beberapa faktor.

Perkara utama yang boleh menyebabkan tekanan di dalam salur darah menjadi tinggi adalah kerana saluran di dalam arteri menjadi sempit.

Antara faktor-faktor yang boleh menyebabkan saluran arteri sempit adalah:

  1. Terdapat ‘thrombus’ iaitu platelet yang berkumpul dan menyumbat bahagian dalam salur darah.

  2. Ketumbuhan di dalam salur darah seperti angiosarcoma.

  3. Ateritis iaitu keradangan di dalam salur darah yang disebabkan oleh jangkitan ataupun serangan imuniti daripada tubuh badan sendiri (penyakit auto-imun).

  4. Saluran ateri sempit sejak dari lahir yang dikenali sebagai “congenital pulmonary artery stenosis”

  5. Jangkitan parasit seperti hydatidosis yang disebabkan oleh parasit Echinococcus.

Selain daripada disebabkan oleh kesempitan saluran arteri, beberapa penyakit lain juga boleh menyebabkan tekanan di dalam salur darah pulmonari menjadi tinggi seperti:

  1. “Chronic obstructive pulmonary disease” sama ada disebabkan oleh emfisema ataupun bronkitis kronik.

  2. Masalah pada bahagian kiri jantung kedua-dua waktu semasa sistolik dan diastolik.

  3. Masalah pada bahagian injap jantung mitral dan intap aortik.

  4. Lain-lain masalah yang disebabkan oleh masalah kongenital.

Tanda-tanda Penyakit Hipertensi Pulmonari

Tanda-tanda yang boleh dikenalpasti apabila mengalami hipertensi pulmonal adalah seperti berikut:

  1. Sesak nafas sama ada ketika duduk mahupun berbaring

  2. Mudah menjadi penat

  3. Sakit dada

  4. Degupan jantung yang laju

  5. Kesakitan terutamanya pada bahagian kanan abdomen

  6. Kurang selera makan

  7. Kepala berasa ringan atau pening

  8. Pitam atau pengsan

  9. Bengkak pada bahagian kaki

  10. Sianosis iaitu warna kebiru-biruan disebabkan oleh bahagian tubuh yang kurang mendapat oksigen

  11. Beberapa simptom lain yang jarang-jarang berlaku seperti berasa mual, muntah dan batuk-batuk kering ataupun berdarah.

Senarai di atas adalah merupakan beberapa ciri hipertensi paru paru yang boleh berlaku pada seseorang pesakit. Ianya amat bergantung kepada keadaan umum pesakit tersebut.

Ujian Diagnostik Hipertensi Pulmonari

Pertama sekali, maklumat lebih mendalam tentang sejarah perubatan pesakit akan dikenalpasti sekiranya terdapat tanda-tanda yang boleh menyebabkan hipertensi pulmonari berlaku. Sebagai contoh, sejarah pengambilan beberapa jenis ubat-ubatan yang boleh menyebabkan paru-paru menjadi kurang elastik, pendedahan terhadap faktor-faktor sekeliling serta faktor-faktor keturunan.

Ujian ekokardiografi akan dilakukan kepada pesakit untuk melihat gambaran keadaan jantung. Ujian doppler juga akan dilakukan bersama ekokardiografi untuk mengenalpasti kelajuan dan arah aliran darah. Ujian ini juga boleh membantu dalam mengenalpasti jika terdapat sebarang masalah kongenital pada jantung.

Jika terdapat sebarang perkara yang kelihatan seperti tidak normal di dalam jantung selepas ujian di atas, beberapa ujian lanjut pula akan dilakukan ke atas pesakit. Ujian-ujian ini termasuklah ((Electrocardiogram)ECG), (Pulmonary function test), ukuran (Arterial blood gas), ujian X-ray pada dada dan CT scan.

Ujian standard emas ataupun (Gold standard) di dalam diagnosis hipertensi pulmonari adalah (Right heart catheterization). Ia merupakan satu prosedur yang dilakukan dengan memasukkan sejenis alat kecil seperti wayar yang dimasukkan ke dalam saluran vena jugular sebelah kanan untuk sampai ke ruangan ventrikel jantung sebelah kanan. Tekanan yang berada di dalam ventrikel sebelah kanan jantung ini akan diukur dan akan mengesahkan sekiranya seseorang pesakit tersebut mempunyai diagnosis hipertensi pulmonari ataupun tidak.

Rawatan Hipertensi Pulmonari

Untuk cara menyembuhkan hipertensi paru paru, terdapat beberapa pilihan ubat-ubatan yang diberikan oleh pakar kepada pesakit mengikut kesesuaian. Ubat-ubatan yang diberikan kepada pesakit adalah ubat-ubatan yang bertindak ke atas otot-otot (Smooth muscle) salur darah yang mengawal diameter dan saiz yang membenarkan jumlah darah yang mengalir di dalam darah. Ubat-ubatan ini termasuklah (Prostaglandin), (Endothelial receptor antagonist) dan (Phosphodiesterase type 5 inhibitor(PDE)). Ubat-ubatan ini akan diberikan oleh doktor anda mengikut kesesuaian anda kerana hipertensi pulmonari mempunyai pelbagai variasi dan rawatan bagi setiapnya berbeza-beza mengikut puncanya.

Harus diketahui bahawa perawatan hipertensi paru paru secara ubat-ubatan bukanlah cara penyelesaian utama bagi penyakit ini.

Bagi langkah-langkah yang melibatkan pembedahan pula, ‘atrial septostomy’ digunakan untuk membuka ruang di antara ruang atrium kanan dan kiri di dalam jantung. Apabila ruang ini dibuka, darah akan mengalir daripada atrium kanan terus ke atrium kiri tanpa perlu melalui paru-paru yang sedang mengalami tekanan darah tinggi. Namun, prosedur ini akan menyebabkan kurang darah yang akan mendapat oksigen kerana ia tidak melalui paru-paru.

Pembedahan ‘pulmonary thromboendarterectomy’ pula adalah prosedur di mana darah beku yang terdapat di dalam saluran darah paru paru dikeluarkan jika tekanan darah tinggi berlaku di sebabkan oleh penyumbatan darah beku. Prosedur pembedahan ini merupakan satu prosedur yang dikategorikan sebagai major (besar) dan juga sukar.

Penyelesaian bagi masalah ini adalah dengan menjalani pembedahan transplan paru-paru. Paru-paru sihat yang didermakan akan di pindahkan kepada pesakit dan kebiasaannya akan melegakan masalah tekanan darah tinggi ini. Namun, pesakit akan perlu mematuhi prosedur-prosedur selepas transplan dan akan terdedah dengan komplikasi-komplikasi transplantasi. Jumlah purata (Survival rate) bagi pesakit yang menjalani prosedur ini adalah kurang lebih selama lima tahun.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan tentang perkara-perkara yang telah dibincangkan, hubungi doktor-doktor kami secara atas talian pada pautanwww.DoctorOnCall.com.my sekarang!

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?