Sakit Kepala

Bagaimana Merawat Dan Melegakan Sakit Kepala?

Baca Soalan

Rawatan Awal Sakit Kepala

Sakit kepala merupakan sejenis gejala yang boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Sakit kepala merupakan gejala yang kerap dialami oleh mana-mana individu dan ia boleh berlaku pada setiap orang tanpa mengira umur dan jantina. Secara umumnya sakit kepala tidak selalunya berpunca dari penyakit yang serius dan biasaya sakit kepala tidak menyebabkan komplikasi yang berpanjangan. Pada era ini, terdapat pelbagai cara mengatasi sakit kepala. Sakit kepala harus dirawat dengan secepat mungkin supaya ia tidak akan menjejaskan kualiti hidup dan produktiviti pesakit.

  1. Cara terbaik menghilangkan sakit kepala adalah bergantung kepada punca sakit kepala tersebut.
  2. Bagi kebanyakan orang, sakit kepala biasanya berpunca dari kekurangan tidur, keletihan, cuaca yang panas, tekanan emosi dan haid.
  3. Oleh itu, sakit kepala boleh dirawat dengan menangani dan mengatasi punca-puncanya. Sebagai contoh, tekanan emosi dan stres merupakan faktor pencetus yang paling lazim bagi sakit kepala sebelah atau migrain.
  4. Mengurangkan tekanan emosi melalui meditasi, senaman dan mengambil cuti rehat merupakan antara langkah menghilangkan sakit kepala sebelah yang berkesan.
  5. Semasa mengalami sakit kepala, pesakit digalakkan untuk berehat atau baring di dalam bilik yang gelap dan senyap sehingga sakit kepala berkurang.
  6. Teknik menenangkan diri seperti menarik dan menghembus nafas dalam untuk beberapa kali boleh membantu menghilangkan sakit kepala.
  7. Selain itu, urutan di bahagian leher, bahu dan dahi akan mengurangkan ketegangan otot dan mengurangkan kesakitan. J
  8. ika sakit kepala adalah serius atau masih berterusan, ubat tahan sakit seperti paracetamol boleh digunakan.
  9. Untuk migrain, pek ais atau tuala sejuk boleh diletakkan di bahagian dahi untuk mengurangkan kesakitan.
  10. Rawatan alternatif seperti chiropraktik, akupuntur dan aromaterapi telah terbukti berkesan untuk sesetengah pesakit yang mengalami sakit kepala kronik.
  11. Sesetengah makanan dan minuman penghilang sakit kepala seperti tembikai, ubi keledek dan teh kosong juga boleh membantu melegakan simptom sakit kepala.

Analgesic-induced Headache

“Analgesic-induced headache” merupakan sejenis sakit kepala yang berlaku apabila seorang pesakit menggunakan ubat tahan sakit untuk jangka masa yang terlalu panjang. Rawatan terbaik bagi sakit kepala ini adalah dengan menghentikan pengambilan ubat tahan sakit serta-merta dan menggunakan ubatan pencegah yang lain yang sesuai atas nasihat doktor untuk merawat sakit kepala.

Rawatan Sakit Kepala Sekunder

Rawatan bagi sakit kepala sekunder adalah bergantung kepada punca sakit kepala tersebut. Sebagai contoh, sakit kepala yang disebabkan oleh jangkitan sinus dirawat dengan ubat antibiotik. Pesakit harus mengenali dan memahami gejala sakit kepala yang serius dan mendapatkan rawatan segera sekiranya mereka mengalami sebarang tanda amaran.

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?