Golongan Berisiko Dan Langkah Mengesan Kanser Payudara

Baca Soalan

Kesedaran Tentang Kanser Payudara

Bulan Oktober setiap tahun akan disambut sebagai Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang juga dikenali sebagai Pink Oktober atau Pinktober. Sempena bulan ini, kempen-kempen akan berjalan di seluruh dunia untuk tujuan mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kanser payudara. Kanser payudara merupakan kanser yang paling tinggi kadar insiden dalam kalangan wanita seluruh dunia, termasuklah negara kita. WHO telah mengeluarkan statistik bahawa Malaysia mencatatkan 7593 kes baru kanser payudara pada tahun 2018 dan menyebabkan sekurang-kurangnya 2800 kes kematian pada tahun yang sama. Iktibarnya, 27 daripada 10000 wanita akan menghidapi kanser payudara di Malaysia, hal ini menunjukkan betapa penting kesedaran kanser payudara supaya pencegahan dan rawatan yang paling efektif boleh diberikan. 


Golongan Berisiko Menghidap Kanser Payudara 

Bagaimanakah kita boleh mengenal pasti golongan yang lebih berisiko untuk menghidapi kanser ini? Pertama sekali, kita perlu memahami bahawa kanser payudara ini selalunya dikaitkan dengan tahap hormon estrogen dalam badan wanita. Wanita yang berusia lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini dengan insidennya meningkat selepas 40 tahun dan paling tinggi pada usia 65-70 tahun. Faktor genetik juga memainkan peranan yang penting dalam penyebab kanser payudara, gen BRCA-1 dan BRCA-2 ini telah disahkan untuk menyebabkan kanser ini. Dengan perkembangan teknologi zaman ini, gen-gen yang sedia ada pada setiap individu dapat dikesan termasuklah gen BRCA-1 dan BRCA-2, telah menolong wanita untuk mencegah atau mendapatkan rawatan sebelum kanser payudara ini boleh berlaku. Contoh yang paling terkemuka ialah pelakon America, Angelina Jolie yang menjalani pembedahan pembuangan payudara selepas mendapat tahu beliau mempunyai gen BRCA-1. Pencegahan ini dapat melenyapkan peluang sebanyak 95% untuk menghidapi kanser ini. 

Selain itu, kitaran haid juga boleh menjadi salah satu faktor. Bagi wanita yang mendapat haid pertama pada usia kurang daripada 12 tahun atau putus haid pada usia lebih daripada 55 tahun, mereka lebih berisiko kerana kitaran haid sebegitu menunjukkan tahap hormon estrogen mereka amat tinggi yang menyumbang pada insiden kanser payudara. Sekiranya anda mempunyai ahli keluarga wanita yang menghidap kanser tersebut, anda berkemungkinan tinggi akan menghidapi dengan penyakit ini. 

Faktor-faktor yang tersebut tidak dapat diubah, namun terdapat beberapa faktor lain yang anda boleh ubah, iaitu dari segi gaya hidup dan pemakanan. Golongan wanita yang mengamalkan gaya hidup yang aktif dengan kerap bersukan telah menunjukkan insiden kanser payudara yang lebih rendah berbanding dengan golongan wanita yang tidak aktif. Tambahan pula, pengambilan alkohol dan merokok yang dianggap sebagai karsinogen yang boleh menyebabkan pertukaran sel-sel di payudara kepada sel kanser. Bagi wanita yang menerima rawatan HRT (Hormone Replacement Therapy), risiko kanser payudara akan berlipatganda jika faktor genetik atau sejarah keluarga turut wujud. Dengan pengetahuan ini, kesedaran tentang faktor-faktor tersebut membolehkan seseorang lebih sedia maklum supaya pencegahan boleh dilakukan. 


Lakukan Pemeriksaan Payudara Sendiri

Demi mengesan kanser payudara dengan lebih awal, teknik pemeriksaan sendiri telah diperkenalkan oleh pihak kementerian kesihatan dan badan-badan kesihatan sedunia yang lain. Anda boleh menjalankan pemeriksaan ini sekali setiap bulan pada bila-bila masa. Teknik pemeriksaan sendiri yang betul adalah secara berikut:

  • Di depan cermin

Perhatikan payudara anda untuk sebarang perubahan atau ketumbuhan dalam beberapa posisi:

  • Tangan di sebelah badan.
  • Tangan dinaikkan atau diletakkan belakang kepala.
  • Tangan ditekan atas pinggang dan menegangkan dada anda.
  • Dalam posisi baring

Rasa perubahan di payudara, ketiak dan sekeliling tulang selangka.

  • Periksa sebelah kanan dengan meletakkan bantal di bawah bahu kanan dan letakkan tangan kanan di belakang kepala. Periksakan payudara kanan dengan 3 jari. 
  • Ulangkan teknik sama di sebelah kiri. 
  • Periksa di sekeliling ketiak dan tulang selangka untuk kalenjar limfa yang bengkak. 


Jangan panik sekiranya anda mengesan sebarang kelainan seperti benjolan atau ketumbuhan. Ketumbuhan di payudara tidak semestinya disebabkan oleh kanser payudara. Kanser ini haruslah didiagnosa oleh doktor yang berkelayakan dengan teknik “Triple Assessment” yang mengandungi pemeriksaan, mammogram atau ultrasound dan biopsi. Dengan komponen-komponen ini, ketumbuhan payudara boleh dikaji dengan lebih teliti dan doktor boleh mengetahui sama ada ketumbuhan ini merupakan kanser atau tidak. Di samping itu, kanser payudara juga boleh dikesan dengan lebih tepat dan teliti menggunakan Triple Assessment supaya doktor boleh merancangkan rawatan yang paling efektif berdasarkan keputusan teknik tersebut.

Marilah kita belajar tentang kanser payudara tanpa mengira jantina agar kita dapat membantu dan menyebarkan pengetahuan ini kepada orang-orang sekeliling terutamanya ahli keluarga dan orang yang kita sayangi. Ayuh kita menyokong “Pink Oktober” ini bersama-sama!

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?