Haid Tidak Teratur

Adakah Menstruasi (Menstruation) Atau Period Anda Normal?

Baca Soalan

Apakah itu menstruasi

Menstruasi atau haid adalah kitaran normal bagi setiap wanita bermula apabila seorang wanita itu mencapai tahap umur akil baligh iaitu antara 8-16 tahun, dengan purata kanak-kanak perempuan mencapainya pada umur 12 tahun, di mana kitaran haid ini akan berlaku pada setiap bulan.

Pengertian menstruasi adalah apabila berlakunya pendarahan dari faraj berpunca daripada darah yang turun dari lapisan dinding rahim atau dipanggil (Uterus). Selain menstruasi, perubahan bentuk badan juga akan berlaku menjelang umur akil baligh. Kitaran haid ini akan berterusan sehingga mencapai umur menopaus iaitu antara umur 45-50 tahun.

Kitaran menstruasi normal

Kitaran haid atau (Menstrual cycle) berlaku dalam tempoh 28-35 hari dan adalah berbeza bagi setiap individu. Secara umumnya, kitaran ini berlaku dalam 4 fasa.

Fasa pertama adalah penurunan darah daripada dinding rahim yang dipanggil darah haid, (Period) atau (Menstrual beleeding). Fasa ini selalunya berlaku dalam hari pertama hingga hari ke-5 kitaran menstruasi, namun secara purata ia boleh berlaku selama tiga hingga lapan hari. Hari pertama pendarahan berlaku adalah dikira hari pertama dalam kitaran tersebut.

Fasa kedua dalam kitaran ini berlaku antara hari ke-6 hingga hari ke-14. Ia berlaku selepas pendarahan berhenti. Ketika ini, dinding rahim akan mula menebal dengan lapisan yang kaya dengan pembuluh darah. Proses ini adalah persediaan sekiranya persenyawaan ovum dan sperma berlaku ia akan melekat pada dinding rahim yang kaya dengan nutrient ini. Seterusnya, pada hari ke-14, akan berlaku satu proses yang dinamakan ovulasi. Pada fasa ini, telur atau ovum akan keluar dari salah satu ovari dan bergerak melalui tiub Fallopion hingga ke rahim. Sekiranya terdapat sperma di dalam tiub Fallopion ketika ini, bersenyawaan akan berlaku dan proses seterusnya adalah migrasi ovum dan sperma yang telah bersenyawa ini ke dinding rahim dan tertanam di situ untuk proses perkembangan embryo yang seterusnya.

Sekiranya persenyawaan tidak berlaku, ovum yang keluar akan berubah dan mengeluarkan hormon yang memberitahu tubuh untuk mula menurunkan darah dari lapisan dinding rahim semula. Ovum yang telah mengecut tersebut akan keluar bersama-sama darah dari dinding rahim menerusi faraj. Fasa ketiga ini berlaku antara hari ke-25 hingga hari ke-28 kitaran haid berlaku.

Sebagaimana yang dikatakan sebelum ini, kitaran haid ini berbeza bagi setiap wanita, ia boleh berlaku kurang atau lebih dari 28 hari. Namun kitaran yang terlalu lama atau terlalu pendek adalah tidak normal dan perlu disiasat dan dirawat.

Masalah - masalah berkaitan menstruasi

Masalah yang mungkin dihadapi oleh wanita berkaitan dengan kitaran menstruasi mereka boleh dibahagikan kepada:

1) Sindrom pra-menstruasi (Pre–Menstrual Syndrome)

Perkara ini adalah biasa berlaku dalam hampir kesemua wanita. Ia adalah disebabkan oleh perubahan hormon dalam tubuh dan sindrom ini berlaku beberapa hari sebelum datangnya haid. Kebanyakan wanita mengalami perubahan emosi dimana merasa cepat marah, sedih atau kecewa. Mereka juga mungkin mempunyai keinginan yang kuat terhadap sesuatu atau dipanggil (Craving) contohnya terhadap makanan.

Pada ketika ini, wanita juga akan merasa kurang selesa pada tubuh mereka. Tubuh akan merasa lesu, perut berasa sebu, sakit pada payudara dan timbul jerawat pada bahagian muka.

Simptom-simptom ini berlaku dalam beberapa hari sehaja dan hilang selepas period bermula.

2) Senggugut (Dysmenorrhoea)

Kebanyakan wanita akan mendapat simptom dysmenorrhoea atau senggugut ketika haid, terutamanya pada beberapa hari awal. Sakit tersebut biasanya adalah pada kawasan bawah abdomen, belakang dan juga kaki. Sesetengah wanita memerlukan ubat tahan sakit untuk melegakan sakit senggugut. Ia juga boleh dikurangkan dengan menggunakan pad pemanas dan juga minuman panas seperti the chamomile. Namun begitu, senggugut yang terlalu teruk memerlukan pemeriksaan doktor bagi memastikan tiada masalah lain yang menyebabkan kesakitan tersebut.

3) Darah haid terlalu banyak (Menorrhagia)

Biasanya, darah haid akan keluar paling banyak pada 2-3 hari pertama menstruasi. Menorrrhagia adalah apabila seorang wanita mengalami pendarahan haid yang terlalu banyak atau terlalu lama sehingga mengganggu aktiviti harian atau mengakibatkan masalah kesihatan lain seperti kurang darah (anemia).

Simptom bagi masalah ini adalah:

  • Pad atau tampon penuh dalam masa sejam atau kurang dalam beberapa jam berturut
  • Perlu menggunakan dua pad dalam satu masa bagi mengawal dan membendung aliran darah haid
  • Terpaksa bangun dari tidur pada tengah malam untuk menukar pad atau tampon
  • Pendarahan lebih dari 8 hari
  • Keluar darah beku yang banyak
  • Aktiviti harian terganggu akibat pendarahan yang banyak
  • Terdapat simptom anemia seperti letih, lemah dan sesak nafas

4) Tidak datang haid (Amenorrhoea)

Masalah ini boleh terbahagi kepada dua iaitu:

· (Primary Amenorrhoea) – Tidak pernah datang haid walaupun telah mencecah atau melepasi umur akil baligh

· (Secondary Amenorrhoea) – Mendapat haid apabila mencapai akil baligh pada mulanya dan kemudian tidak lagi. Seseorang itu dikatakan menghidap (Secondary Amenorrhoea) apabila tidak datang haid dalam tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan

5) Menstruasi tidak teratur

Menstruasi tidak teratur adalah menstruasi yang tidak tetap. Ia juga dipanggil (Irregular period). Keadaan ini berlaku apabila seorang wanita mengalami kitaran (Menstrual Cycle) lebih dari 35 hari atau tidak tetap tempoh masanya.

Darah haid mereka boleh datang terlalu cepat atau terlalu lambat, terlalu sedikit atau terlalu banyak.

Penyebab masalah menstruasi

Masalah menstruasi yang berlaku boleh disebabkan oleh kadar hormon di dalam badan yang tidak stabil. Ia juga disebabkan oleh abnormaliti pada struktur yang terlibat dalam menstruasi seperti ketumbuhan fibroid di dalam uterus boleh menyebabkan masalah menorrhagia.

Masalah daripada (signalling pathway) atau mekanisma yang mengawal kitaran haid juga boleh menyebabkan gangguan kepadanya. Sebagai contoh ketumbuhan pada kalenjar pituitary boleh menyebabkan amenorrhoea. Namun begitu, kemungkinan seorang pesakit mengandung haruslah disiasat apabila datang ke klinik dengan masalah tidak datang haid.

Penyebab menstruasi tidak teratur selalunya adalah berkaitan dengan hormon seperti masalah (Polycystic Ovarian Syndrome) atau masalah thyroid yang turut mengganggu kadar kestabilan hormone estrogen dan progesterone dalam tubuh seorang wanita.

Selain itu, kitaran menstruasi atau haid ini juga boleh terganggu akibat tekanan emosi, kehidupan yang terlalu sibuk, kegiatan yang terlalu aktif atau lasak dan masalah berat badan sama ada berlebihan atau terlalu kurang.

Rawatan masalah menstruasi

Rawatan bagi mengatasi masalah menstruasi adalah bergantung kepada puncanya.

Sekiranya masalah berpunca daripada ketumbuhan abnormal di dalam rahim, ia boleh dibuang dengan cara pembedahan. Masalah yang berpunca daripada bahagian lain seperti dari kelenjar thyroid atau pituitary haruslah dirawat dengan menyelesaikan masalah pada organ tersebut.

Sebagai contoh, untuk mengatasi masalah haid tidak teratur, pemeriksaan untuk mengetahui puncanya haruslah dilakukan. Sesetengah pesakit yang mengalami masalah kitaran haid tidak teratur dapat dirawat dengan mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat dan kurang tekanan serta.

Pengambilan makanan yang seimbang dapat membantu mengawal berat badan sekaligus membantu mengembalikan kestabilan hormon.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?