Sesak Nafas

Cara Mencegah Kesan Buruk Jerebu Terhadap Kesihatan

Baca Soalan

Sepertimana yang diketahui oleh rakyat Malaysia, sejak tahun 1983 lagi Asia Tenggara terutamanya Malaysia, Singapura dan kawasan Kalimantan telah dilanda krisis jerebu, dengan catatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling tinggi di Semenanjung Malaysia pada tahun 2005 iaitu 541 manakala IPU paling tinggi dicatat pada tahap 839 di Kuching pada tahun 1997. Fenomena jerebu di negara kita berpunca daripada gabungan amalan pembakaran hutan di Indonesia dilakukan sekitar bulan Julai hingga Oktober dan sesetengah kawasan di Malaysia dari semasa ke semasa. Faktor lain termasuklah pelepasan asap kegiatan perindustrian dan kenderaan.

Untuk pengetahuan anda, jerebu terdiri daripada zarah- zarah kecil merangkumi habuk halus (bersaiz 10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas iaitu karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida yang boleh menjejaskan kesihatan. Partikel- partikel yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar boleh memasuki dalam saluran darah melalui saluran pernafasan. Kandungan jerebu juga boleh bercampur dengan elemen air dalam udara dan mengubah ciri- ciri kimia misalnya gas sulfur dioksida boleh bertukar kepada titisan asid sulfurik yang berbahaya kepada kulit manusia.

Oleh itu, orang ramai dinasihati supaya mengambil tahu tentang status terkini Indeks Pencemaran Udara (IPU) atau Air Quality Index (AQI) setiap hari untuk sebarang aktiviti di luar rumah. IPU merupakan kaedah untuk mengetahui tahap serius jerebu. 


Nilai IPU = 

Kualiti udara

0 - 50

Baik

51 - 100

Sederhana

101 - 200

Tidak sihat

201 - 300

Sangat tidak sihat

301 - 400

Berbahaya

401 - 500

Sangat berbahaya

Lebih 501

Darurat

 

Kanak- kanak, golongan tua, wanita mengandung dan individu dengan sistem imunisasi yang lemah terutamanya berisiko tinggi untuk menghidap masalah:

  • Radang sistem pernafasan: Bronkitis, serangan asma, rhinitis, jangkitan paru- paru (pneumonia), batuk kronik, susah bernafas, sakit tekak dan lain- lain.
  • Serangan jantung
  • Iritasi mata atau Konjunktivitis
  • Alahan kulit seperti serangan ekzema
  • Sakit kepala 
  • Mengurangkan daya penglihatan berbahaya terutamanya bagi pemandu jalan raya
  • Partikel jerebu berubah menjadi toksin dalam darah

Berdasarkan keterangan yang diberi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, sejak musim jerebu, kes- kes serangan asma, konjunktivitis, masalah kulit dan jangkitan sistem pernafasan melonjak 40% dalam negara.

Bagi mengelakkan dilanda komplikasi kesihatan di atas, anda dinasihati untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan persediaan kecemasan terutamanya bagi golongan yang mempunyai masalah kesihatan. Tips penjagaan kesihatan semasa musim jerebu adalah seperti berikut:

  1. Sentiasa menutup tingkap atau pintu agar jerebu tidak memasuki rumah.
  2. Memasang penapis udara (air purifier) untuk membersihkan udara dalam rumah terutamanya bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga dengan masalah alahan kulit atau masalah sistem pernafasan.
  3. Menyelaraskan sistem penghawa dingin supaya tidak menyedut masuk angin dari luar rumah ke dalam dan sentiasa memastikan fungsi penapisan udara diselenggara.
  4. Kipas dan penghawa dingin boleh digunakan untuk aliran udara dan menyejukkan keadaan dalam rumah.
  5. Banyakkan pengambilan air sekurang- kurangnya 2 liter sehari untuk memastikan tahap hidrasi badan.
  6. Sentiasa memakai topeng muka N95 ketika keluar rumah semasa tahap kualiti udara tidak sihat kerana dapat menghalang partikel jerebu daripada memasuki sistem pernafasan.
  7. Mengelakkan sebarang aktiviti di luar rumah.
  8. Sentiasa mandi selepas pulang ke rumah selepas menjalankan aktiviti di luar.
  9.  Untuk pengidap asma atau penyakit jantung pastikan bekalan ubat mencukupi dan mendapatkan bantuan perubatan segera jika keadaan menjadi semakin teruk.
  10. Kurangkan sumber pencemaran di rumah seperti merokok atau menghisap vape mahupun melakukan pembakaran sampah di kawasan luar rumah.

Kesimpulannya, orang ramai perlu mengambil tahu tentang masalah jerebu yang melanda negara ini agar lebih bersedia dalam kehidupan seharian untuk menghadapi sebarang komplikasi. Musim jerebu melanda negara kita pada setiap tahun. Justeru itu, orang ramai digalakkan untuk melabur demi kesihatan mereka misalnya dalam pembelian penapis udara dan penghawa dingin berkualiti tinggi kerana barang kelengkapan rumah ini boleh digunakan untuk jangka masa panjang.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?