Tips Kekal Selamat Dalam Pengangkutan Awam & Perjalanan Semasa Wabak COVID-19

Baca Soalan

Seperti yang kita ketahui, pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi dan sebagainya merupakan aspek penting yang tidak asing lagi kepada kehidupan masyarakat dunia. Kita boleh lihat dengan jelas kepadatan pengguna pengangkutan awam lebih-lebih lagi pada waktu puncak sebelum dan selepas mereka pulang daripada kerja. Mereka berasak-asak memenuhi ruang koc kereta api kerana kebanyakannya memilih pengangkutan awam ini untuk mengelakkan kesesakan jalan raya di bandaraya dan alternatif ini lebih menjimatkan. Namun, hal ini amat membimbangkan jika senario ini berlaku sewaktu musim wabak COVID-19 ini kerana risiko penularan virus ini secara pesat akan berlaku. Di dalam gerabak kereta api tersebut mungkin terdapat orang yang kurang sihat dan positif COVID-19. Maka, tidak terkejut jika ia berlaku, akan terdapat kluster pengangkutan awam yang timbul. 

Normal Baharu Dalam Pengangkutan Awam

Oleh itu, pastinya semua orang tertanya-tanya tentang bagaimanakah langkah pencegahan penularan COVID-19 ini dipraktikkan? Walaupun sudah beberapa kali kedengaran dan diwar-warkan di kaca televisyen atau corong radio, masih penting untuk diingatkan agar langkah pencegahan ini dapat dilaksanakan dengan berdisiplin. Ini ialah normal baharu yang perlu diamalkan oleh setiap individu atau rasa tanggungjawab untuk menjaga diri dan keselamatan orang sekeliling. Ingat, anda mungkin terselamat daripada komplikasi bahaya jangkitan virus ini, namun kenanglah ibu-bapa anda yang berkemungkinan lebih berisiko tinggi untuk menghadapi komplikasi serius tersebut. 

  • Pakai topeng muka lebih-lebih lagi jika anda mengalami gejala seperti batuk, bersin dan selsema. 
  • Walaupun sukar, kekalkan jarak sosial yang terbaik yang boleh anda laksanakan. Jika boleh jarak 1 hingga 2 meter ialah jarak yang selamat. Jarak ini bukan sahaja diamalkan sewaktu berada dalam gerabak, namun, amalkan juga sewaktu beratur membeli tiket.
  • Bawa cecair pembasmi virus atau kuman agar anda boleh lebih kerap mencuci tangan dan mengekalkan kebersihan tangan anda. Hal ini kerana, pasti sukar untuk mencari air kosong dan sabun di kawasan pengangkutan awam melainkan tandas. 
  • Gunakan pembayaran atas talian atau penggunaan kad bagi mengelakkan urus niaga dengan individu sekeliling. 
  • Jika boleh elakkan penggunaan pengangkutan awam semasa waktu puncak dan elakkan memilih kawasan yang padat untuk dikunjungi. 
  • Anda boleh berkomunikasi dengan orang sekeliling sewaktu menggunakan pengangkutan, namun, pastikan jarak sosial anda terjaga. 
  • Dahulukan golongan yang memerlukan bantuan seperti Orang Kelainan Upaya, Ibu Hamil, Warga Emas dan orang yang sakit. 

Adakah Anda Benar-Benar Perlu Untuk Memulakan Perjalanan?

Bagi mereka yang ingin memulakan perjalanan, eloklah anda berfikir sejenak tentang keperluan perjalanan anda seperti kepentingan perjalanan tersebut lebih-lebih lagi pada musim penularan virus ini. Fikirkan alternatif lain seperti penggunaan atas talian untuk berkomunikasi dengan menggunakan telefon bimbit. Jika tidak boleh dielakkan, basuh tangan dengan air dan sabun sebelum dan selepas memulakan perjalanan, elakkan penggunaan kawasan rehat dan isi minyak petrol pada kenderaan anda sebelum memulakan perjalanan. Jika anda ada menggunakan topeng muka atau tisu yang mengandungi pembasmi kuman sewaktu perjalanan, pastikan anda membuangnya pada tempat yang betul selepas anda sampai ke destinasi yang dituju. Jangan lupa untuk menyelenggara kenderaan anda bagi memastikan perjalanan anda selamat ke tempat yang ingin dituju. Anda tidak mahu tersadai di kaki jalan raya dan menunggu keseorangan sehingga bantuan diberikan. Sepanjang perjalanan juga, anda digalakkan memberi ventilasi dan pengudaraan yang baik. Buka tingkap anda sedikit bagi memastikan udara bersih memenuhi ruang anda. 

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?